Artikel

REVIU BUKU - Kisah-kisah Tidak Sahih Dari Meja Penceramah

oleh Waridah Lothpi pada 25 May 2021

Kita lihat salah satu bab, kisah Rasulullah SAW dianiaya oleh jiran Yahudi.

Semua orang tahu kisahnya. Maher Zain siap masukkan babak ini dalam klip video. Asatizah juga ramai yang sebarkan ketika mahu memperingati mad’u perihal akhlak.

Selain daripada senarai rujukan panjang, ayuh perhatikan bagaimana penulis membuka gelanggang perbahasan;

“1. Di manakah peristiwa ini berlaku? (Fuh, segar otak. Tak terfikir pun untuk fikir!) Pastilah ia tidak berlaku di Mekah kerana tiada orang Yahudi di Mekah.

2. Jika ia berlaku di Madinah, kita harus pula menjawab persoalan; benarkah Rasulullah SAW berjiran dengan seorang lelaki Yahudi?

Beranikah dia untuk berlaku kasar dengan baginda, sedangkan Rasulullah SAW ialah ketua di Madinah, dan dikelilingi pula sahabat-sahabat lain seperti Umar r.a.?

Rasulullah SAW memiliki beberapa orang isteri, dan setiap isteri memiliki rumah masing-masing. Jadi, rumah yang manakah sentiasa menjadi mangsa lelaki Yahudi itu?”

MashaAllah, mind blowing. Apa kata ulama mengenai kisah ini? Spoiler pula jika diceritakan. Silakan tuan puan baca sendiri.
—-
Penulis memulakan lembaran dengan rendah hati, “Apabila saya melakukan kajian tentang perkara ini dan memulakan penulisannya, saya tidak pernah menganggap sama sekali bahawa kajian saya semestinya betul. Ia tetap terbuka kepada ruang kritikan dan penghujahan. Namun biarlah kritikan itu bersumberkan bahan ilmiah juga, bukannya semberono dan menggunakan logik akal yang tidak terpandu.”

Saya mula kenal Ustaz Dzulkhairi Md Noor sewaktu mengikuti rakaman Daurah Solat. Beliau terangkan secara terperinci tentang bacaan-bacaan solat yang lebih tepat, berbanding apa yang kita biasa amalkan. Setiap yang disebut disertakan dengan bukti dan hujah. Bukan saja-saja nak menyanggah secara teori sahaja.

Justeru apabila beliau tampil dengan buku “Kisah-kisah Tidak Sahih di Meja Penceramah”, saya sudah boleh mengagak apa yang bakal dipersembahkan. Bukan sejenis ilmuan yang menulis tanpa ‘peluru’. Fakta yang dihidang, asasnya mengajak pembaca untuk berfikir sebelum tadah dan terima.

Kita membesar dengan kisah-kisah ini;

- Umar Al Khattab membunuh anak perempuan.
- Umar Al Khattab dimarahi isteri.
- Tentera Badar berpuasa sewaktu perang di kala Ramadan.
- Wanita yang dikatakan mendahului Fatimah r.a. ketika masuk syurga.
- Kisah Hasan Al Basri dengan Rabi’Ah Al Adawiyyah.

Dan tak lupa, cerita tentang Tha’labah. Aduh, kisah ini paling perit. Fitnah yang ditimpakan ke atas sosok tak bersalah zaman berzaman.

Kita tengok pula sedikit kisah wanita ikon yang ditabalkan sebagai wali Allah, Rabiah Al Adawiyah.

“Namun malangnya, beliau menjadi mangsa kepada beberapa pelampau dalam agama yang menjadikan beliau sebagai simbol kesufian yang berlebih-lebihan.

Dikatakan langsung tak pedulikan syurga dan neraka semata-mata mencari kasih sayang Allah. Dikatakan pernah mengungkapkan ayat sebegini apabila kononnya bermimpi berjumpa Rasulullah SAW;

“Siapa yang tidak kenal dengan Rasulullah? Tetapi apakan daya saya. Cinta kepada Allah SWT memenuhi ruang hati saya, hingga tidak ada ruang untuk mencintai Tuan atau benci kepada syaitan.”

Ini adalah satu PENDUSTAAN kepada Rabiah Al Adawiyah. Sedangkan semua umat Islam mengaku cintakan baginda dan bencikan syaitan.”

Buku ini menyemak semula kepercayaan dan apa yang kita pegang sepanjang hayat. Meskipun kesemuanya hanya cerita, tetapi setiap satu daripadanya telah membentuk apa yang kita yakini, malah ada yang ‘menunggangnya’ untuk memaksa ketaatan pihak lain atas nama agama.

Kalau 20 tahun lalu, sesiapa yang ada ilmu dianggap ‘raja’ dan dikagumi orang.

Tidak lagi di tahun 2021.
Ilmu yang ada perlu dibuktikan dahulu dari mana asalnya. Jika tidak, ‘sesiapa’ itu hanyalah berstatus penglipur lara.

Jangan terima tanpa periksa.

Wajib, wajib baca.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024