Artikel
DBP: SATU JASAD, TIGA WAJAH
oleh Helmi pada 07 Jun 2006
Oleh Firdaus Abdullah
Sasterawan Negara, Allahyarham Usman Awang mengibaratkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai nama dari satu sejarah, api dari satu zaman.” Nama yang bersejarah itu telah wujud selama 50 tahun, bermula 22 Jun 1956 bila Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu di Bukit Timbalan Johor Bahru meluluskan resolusi penubuhan DBP.
Dan selama 50 tahun nama yang bersejarah itu telah menyala sebagai api satu zaman, menjadi obor perjuangan mendaulatkan bahasa dan sastera.
Ungkapan-ungkapan puitis Usman Awang yang dipetik di atas adalah baris-baris dari seni kata lagu rasmi DBP yang melodinya dicipta oleh Allahyarham Shaiful Bahri. Usman Awang juga melihat DBP sebagai obor kebangsaan yang menyala membakar semangat rakyat, abadi dan keramat.
Bagi kebanyakan masyarakat awam, nama DBP lebih sering dikaitkan dengan slogan Bahasa Jiwa Bangsa.” Semenjak akhir-akhir ini oleh sesetengah pihak yang lain, DBP dilihat hanya sebagai penerbit dan pembekal buku-buku teks sekolah kerajaan. Malah saya pernah mendengar seorang pegawai tinggi sebuah badan berkanun mengatakan bahawa pada tanggapannya DBP hanyalah satu syarikat menjual buku-buku terpakai.
Tetapi Usman Awang melihat dengan pandangan positif pelbagai dimensi sejarah dan budaya serta dimensi sosial dan politik yang melekat pada jasad DBP. Memang benar semenjak akhir-akhir ini pelbagai pandangan negatif telah dilemparkan kepada DBP sehingga ada yang menganggapnya sudah tidak relevan. Dan ada pula yang mencemuhkannya sebagai macan (harimau) kertas.
Secara jujur memang perlu diakui bahawa tanggapan pelbagai pihak terhadap DBP adalah pelbagai ragam dan dari semasa ke semasa mengalami keadaan pasang surut, bertukar ganti antara positif dan negatif. Ada yang memuji dan mengagumi. Dan ada pula yang mengutuk serta memandang enteng.
Namun demikian baris-baris puisi Usman Awang yang menjadi seni kata lagu rasmi DBP itu tetap mempunyai nilai-nilai sejarah dan politik serta nilai nilai-nilai seni dan budaya yang wajib difahami dan dihayati. Baris-baris puisi tersebut boleh dianggap sebagai kenyataan empirikal dan sekali gus boleh pula dianggap sebagai penyuaraan hasrat dan harapan. Dengan kata lain, itu adalah adunan antara realiti dan idealisme. Dan dalam konteks serta pemahaman yang sedemikianlah kewujudan DBP selama 50 tahun itu patut dinilai dan difahami.
Setelah berumur setengah abad tentu banyak yang sudah dicapai oleh DBP. Tetapi kerana harapan yang diletakkan pada agensi ini terlalu tinggi, sudah tentu pelbagai kejayaan yang dicapainya sepanjang 50 tahun itu dianggap belum mencukupi. Dalam hubungan inilah, pada hemat saya, setiap pihak perlu bermuhasabah dan melihat segala permasalahan secara jujur dan objektif.
Muhasabah itu perlu dilakukan pada peringkat peribadi di kalangan kakitangan DBP sendiri, pada peringkat organisasi. Demikian pula masyarakat awam yang meletak harapan pada DBP mestilah juga melakukan muhasabah agar dengan demikian dapat menilainya secara adil dan saksama.
Sesungguhnya, muhasabah pada peringkat diri memang perlu dilakukan oleh kakitangan DBP, khususnya untuk menilai pencapaian diri sebagai penjawat awam, sekali gus menilai sumbangan masing-masing dalam melaksanakan tanggungjawab kepada organisasi, masyarakat dan kerajaan yang memerintah. Peri perlunya melakukan muhasabah diri ini adalah untuk memastikan setiap kakitangan DBP mengamalkan budaya kerja yang ikhlas, jujur dan cekap demi memperkukuh integriti diri dan organisasi sejajar dengan hasrat Kerajaan yang menekankan soal integriti sektor awam serta mencemerlangkan sistem penyampaian di sektor berkenaan.
Muhasabah diri dalam kalangan kakitangan DBP ini juga perlu dilakukan demi memastikan ia memiliki kakitangan yang sentiasa mengutamakan kualiti kerja, kualiti perkhidmatan dan juga kualiti produk yang masing-masing mempunyai saham dalam menghasilkannya. Justeru, setiap kakitangan DBP perlu melakukan muhasabah diri kerana ia memikul amanah rakyat dan kerajaan.
Selain muhasabah diri, perlu juga dilakukan muhasabah organisasi. Yang saya maksudkan dengan ungkapan muhasabah organisasi ialah melakukan sejenis pengauditan organisasi untuk mengenal pasti masalah organisasi, untuk menilai keberkesanan pengurusan dan untuk mengukur kadar produktiviti. Mungkin ini sama maksudnya dengan mengadakan analisis berdasarkan faktor-faktor kekuatan, kelemahan, peluang dan saingan yang diperlukan dalam usaha kita mengatasi pelbagai masalah demi peningkatan keberkesanan dan produktiviti.
DBP perlu melakukan analisis kerana dalam usianya meningkat 50 tahun sekarang berada dalam iklim politik dan sosial yang berbeza berbanding dengan kewujudannya dalam dasawarsa 1950-an, 1960-an dan 1970-an yang lalu. Aliran perdana masyarakat nasional pada masa itu mempunyai persepsi dan sikap yang tidak berbelah bagi mengenai isu-isu kebahasaan, terutama mengenai status dan peranan bahasa Melayu. Tetapi sekarang keadaan telah berubah dan realiti sudah berlainan. Dan sehubungan dengan itu persepsi dan pandangan masyarakat terhadap DBP sedikit demi sedikit mengalami perubahan yang kurang menggembirakan. Inilah antara realiti yang patut disedari.
Dengan kesedaran terhadap realiti tersebut diharapkan DBP dapat menyusun strategi dengan lebih berkesan dan lebih bijaksana, sesuai dengan pengajaran orang-orang tua agar kita melakukan sesuatu seperti menarik rambut dalam tepung, rambut jangan putus dan tepuk jangan berderai. DBP boleh merubah strategi tetapi matlamat dan prinsip jangan dikompromikan. Seperti kata orang-orang tua kita: Tidak salah beralih tegak asal di tanah yang sebidang, tidak salah beralih duduk asal di tikar yang sehelai.
Selain itu kewujudan DBP perlu dilihat secara lebih kreatif. Pada saya, kewujudan DBP adalah ibarat satu jasad tiga wajah. Analogi satu jasad tiga wajah ini adalah hasil daripada pentafsiran kembali hakikat kewujudan DBP. Konsep ini perlu difahami dan dihayati dari semasa ke semasa. Ertinya, kewujudan DBP mestilah dilihat secara yang lebih kreatif dengan mengambil kira peranannya sebagai badan kerajaan, sebagai badan perjuangan dan sebagai badan ilmu.
Pertama, DBP sebagai badan kerajaan. Maksudnya ia mendapat bantuan kewangan daripada Kementerian Pelajaran, diikat oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Kementerian Pelajaran dan kementerian-kementerian lain. DBP sebagai badan kerajaan perlu pula menerima hakikat bahawa kerajaan mana yang memerintah, parti politik mana yang memerintah, pemimpin mana yang berkuasa, merekalah yang menentukan gerak-gerinya sebagai badan kerajaan.
Dalam pada itu, DBP tidak semestinya disamakan dengan badan kerajaan yang lain seperti pejabat tanah kerana ia mempunyai dimensi yang lain, iaitu sebagai badan perjuangan. Kelahiran DBP yang diterima sebagai badan kerajaan adalah hasil daripada sebuah perjuangan. Ia diwujudkan pada Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ketiga di Johor Bahru pada tahun 1956, berupa kemuncak daripada satu perjuangan. Ini diungkapkan Usman Awang sebagai, Nama dari satu sejarah, api dari satu zaman.”
Kedua, saya melihat DBP sebagai badan perjuangan untuk menuntut pelbagai perkara yang ada kaitannya dengan pengisian atau usaha mencapai sebuah negara bangsa dan diwujudkan mengikuti acuan kita sendiri.
Wajah ketiga DBP adalah sebagai badan ilmu yang tentu sahaja perhatian ditumpukan terhadap ilmu yang ada kaitannya dengan kebahasaan dan kesusasteraan, dan secara tidak langsung dengan ilmu-ilmu kemanusiaan yang lain. Inilah rasionalnya. Misalnya, DBP telah mengadakan Bahagian Sains Sosial dan Kemanusiaan, sekali gus memajukan bahasa Melayu dalam bidang sains sosial.
Demikianlah, DBP dalam realiti dan idealismenya sepanjang kewujudannya 50 tahun yang lalu akhir-akhir ini telah menjadi mangsa salah tanggapan. Orang lupa tentang pelbagai jasa dan bakti yang telah disumbangkan DBP. Oleh sebab itu saya ingin mengimbas zaman lampaunya, seperti yang terangkum dalam lirik Usman Awang itu. DBP adalah nama dari suatu sejarah. Sepanjang kewujudannya, DBP telah menyumbang pelbagai perkara dalam kehidupan kita berbangsa dan bernegara. Dan sebagai Ketua Pengarah, ingin saya mengingatkan diri saya sendiri tentang ciri-ciri awal DBP, meskipun tidak bermakna saya akan kembali bernostalgia kepada ciri-ciri awalnya.