Artikel

Debat manusia tidak percaya Tuhan

oleh Helmi pada 25 Apr 2005

TIDAK semua pejuang kemerdekaan dicatatkan nama mereka dengan tinta emas. Ada yang hanya menjadi catatan kaki dan ada yang dianggap sebagai serpihan sejarah sahaja.

Salah seorang daripada mereka ialah Mokhtaruddin Lasso, bekas pejuang anti-Jepun dalam masa perang dulu dan kemudian salah seorang pengasas Parti Kebangsaan Melayu Malaya PKMM (Malay Nationalist Party).

Sebuah cerita mengenainya dicatat oleh Ahmad Boestamam dalam bukunya Putera Setia Melayu Raya mengenai Dr. Burhanuddin Al-Hilmy (penerbitan Pustaka Kejora 1972).

Peristiwa yang diceritakan ialah mengenai perdebatan hangat mengenai agama di antara Mokhtaruddin dan Dr. Burhanuddin pada malam selepas kongres pertama PKMM di Ipoh pada bulan November 1945. Berikut sedutan laporan Boestamam mengenainya.

``Dr. Burhanuddin, Mokhtaruddin Lasso dan saya berbual-bual di pejabat harian Suara Rakyat, lidah rasmi PKMM yang saya ditugaskan menjadi pengarangnya, di Jalan Brewster.

Secara tiba-tiba saya dengar Mokhtaruddin bertanya kepada Dr. Burhanuddin. Apakah benar Tuhan itu ada, tuan doktor?

Pertanyaan ini dikeluarkannya sambil tersenyum. Saya terperanjat juga mendengarkan pertanyaan itu. Tidak saya duga. Mungkin, hati saya segera menduga, Mokhtaruddin hendak menguji keteguhan Dr. Burhanuddin beragama.

Sudah tentu saja Tuhan ada, Dr. Burhanuddin menjawab pendek.

Benarkah Dia berkuasa? Mokhtaruddin bertanya lagi. Benar, jawab Dr. Burhanuddin.

Kalau benar Dia berkuasa suruhlah Dia membuat sepasang terompah kayu sekarang dan kalau Dia boleh membuatnya saya akan percaya Tuhan itu ada dan Dia berkuasa, tetapi tidak sebaliknya, berkata Mokhtaruddin kepada Dr. Burhanuddin.

Saya melihat tepat ke muka Dr. Burhanuddin. Saya mahu memastikan apakah reaksinya kepada pertanyaan ini. Apakah dia akan menjawabnya atau apa? Tidak syak lagi pertanyaan Mokhtaruddin itu pertanyaan yang hanya boleh datang daripada seorang free thinker, seorang yang tidak percaya adanya Tuhan, seorang komunis, seorang yang bersandar bulat kepada dialectical materialism.

Dan ini tidak pula memeranjatkan saya. Sebagai seorang bekas pejuang yang menentang Jepun yang berpangkalan dalam hutan, Mokhtaruddin tak syak lagi telah bergaul dan seterusnya mengikuti kursus politik komunis yang menjadi pelopor melawan Jepun itu.

Saya cemas. Hati kecil saya menyesali Mokhtaruddin kerana membuat pertanyaan itu. Masakan patut Tuhan diminta membuat pekerjaan yang remeh seperti membuat terompah kayu itu? Dr. Burhanuddin memberikan jawapannya dengan tenang. Tidak ada tanda marah dalam suaranya sewaktu memberikan jawapan ini.

Ini tidak bererti Tuhan tidak boleh membuat terompah kayu itu, dia meneruskan kata-katanya. Dia boleh. Kalau alam ini dapat dicipta-Nya kenapa pula perkara mudah dan kecil seperti membuat terompah kayu itu tidak boleh?

Kalau banyak orang, banyak manusia yang menjadi makhluk Tuhan sudah boleh membuat terompah kayu belaka kenapakah harus diperlukan juga tenaga Tuhan bagi perkara yang remeh ini? Tidakkah sama saja seperti menyuruh seorang ayah mengesat hingus atau menghisap puting sedangkan bayi kecil pun sudah tahu membuatnya?

Mokhtaruddin saya lihat tertegun. Tetapi dia belum puas hati lagi. Dia menimbulkan pula masalah lain yang berhubung dengan soal Tuhan juga.

Orang Islam menyembah Tuhan yang mereka panggil Allah katanya. Tetapi ada juga orang yang menyembah bulan, matahari dan banyak yang lain lagi. Mereka kata benda-benda itu dikatakan esa, tidak dua dan tidak tiga?

Dr. Burhanuddin tersenyum dulu sebelum menjawab. Ada orang yang memanggil kasut itu kasut tetapi ada pula yang memanggilnya sepatu, dia menjawab.

Tetapi bukankah kasut dan sepatu itu benda yang satu itu juga?

Begitu juga dengan Tuhan, ada yang memanggilnya Allah, ada yang memanggilnya God, ada yang memanggilnya tok pekong, ada yang memanggilnya sami, ada yang bertuhankan bulan, matahari dan entah apa lagi. Panggilannya saja yang berbeza tetapi bendanya tetap yang satu itu juga. Ertinya Tuhan itu memang Esa.

Dan kalau saudara masih meragukan adanya Tuhan, tambah Dr. Burhanuddin lagi (dan kini seperti hendak mengajar Mokhtaruddin pula), maka hujah saudara tadi dapat saya kembalikan untuk menikam saudara kembali.

Bagaimana? Mokhtaruddin bertanya.

Bukankah saudara mengatakan tadi ada orang yang mengatakan bulan itu Tuhan, matahari itu Tuhan, Allah itu Tuhan dan seterusnya?

Mokhtaruddin menganggukkan kepalanya.

Dan komunis pun percayakan naturekan? Mokhtaruddin menganggukkan kepala lagi.

Tidakkah itu menunjukkan setiap orang percayakan adanya Tuhan kerana tidak ada orang yang mengatakan tidak ada?

Ya, Tuhan itu ada dan Esa. Mokhtaruddin mengangkat kedua-dua belah tangannya ke atas dan berkata: Cukuplah ini saja tuan doktor dan kita kira seri - tak kalah, tak menang.’’ Demikian cetusan hati cerita Boestamam.

Baginya yang menang ialah Dr. Burhanuddin.

Saya mengagumi kebesaran Dr. Burhanuddin sebagai seorang pembela Islam yang tenang - paling tenang. Dan apakah yang menguatkan kekaguman saya itu?

Sepanjang perdebatan itu Dr. Burhanuddin tidak sekali pun mengeluarkan hadis dan firman bagi menguatkan hujah-hujahnya… berhadis dan berfirman dengan seorang yang tidak memandang hadis dan firman itu berhikmat sama saja dengan menjiruskan air di atas daun keladi, tentu tidak akan memberi kesan.

dipetik dari tulisan MAZLAN NORDIN.

Utusan Online 24/4/2005

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024