Artikel

Mengapa Harus Cinta?

oleh Helmi pada 24 Nov 2004

Perlukah Cinta?

Cinta sudah dianggap sama penting dengan keperluan asasi.
Makanan, pakaian dan perlindungan kelihatan tidak
sempurna dan tidak lengkap tanpa cinta yang mengiringi
setiap individu yang berperasaan dan berfikiran normal. Cinta adalah fitrah semula jadi yang dianugerahkan oleh Allah kepada manusia. Malah cinta juga wujud di kalangan haiwan, dan makhluk-Nya yang lain. Kewujudan cinta memastikan kelangsungan hidup dan pembangunan institusi kekeluargaan, komuniti dan masyarakat.

Cinta yang didambakan adalah cinta yang merangsang
perasaan, menaikkan semangat perjuangan dan memberi
makna dalam kehidupan. Cinta yang diperlukan adalah cinta
yang menguatkan bukan melemahkan, cinta yang menyucikan
perasaan dan kehormatan, bukan mengotorkan dan merosakkannya. Pendek kata, keinginan melakukan apa jua
kerja memerlukan cinta sebagai pendorong. Semangat untuk
bangkit diperoleh melalui cinta tulus yang sentiasa subur
menuju ke arah penyempurnaannya.

Kata-kata ‘cinta itu buta’ adalah frasa yang mampu
mencemarkan kemuliaan cinta. Ini kerana terdapat cinta yang
menjadikan pengamalnya tidak dapat melihat kebenaran dan
hakikat kehidupan yang sebenar. Dia mudah terjerumus ke
dalam kancah maksiat. Cinta yang berlandaskan ilmu adalah
sebaik-baiknya kerana mampu menjadi cahaya penyuluh
kehidupan, yang menunjukkan jalan kebenaran, keadilan dan
keamanan.

Manusia yang saling bercinta dengan penuh kesedaran
menyedari mereka bertanggungjawab atas segala tindaktanduk
dan perbuatan mereka dalam percintaan. Mereka takut
kepada perhitungan Allah, seandainya cinta yang mereka
sanjung dan puja itu membawa kehancuran diri ataupun
kemurkaan Allah. Oleh sebab itu, memahami hakikat cinta
yang sebenar adalah penting supaya kita dapat membawa cinta
yang kita pelihara dan sanjung itu ke tahap yang menjurus
kepada kemuliaan anugerah Allah.

Apa Kata Pakar Mengenai Cinta?

Terdapat pelbagai kajian mengenai hakikat cinta di serata
dunia. Pakar psikologi cinta barat rata-rata menyatakan cinta adalah hubungan unik sesama manusia yang menggambarkan
sikap saling memerlukan antara satu sama lain bagi
memenuhi kehendak dan kebahagiaan hidup di dunia. Robert
J. Sternberg menyatakan cinta berpaksi kepada tiga unsur
penting iaitu keintiman, nafsu dan komitmen. Sigmund Freud
pula membayangkan cinta sebagai rangkaian kehendak
seksual yang tidak dipenuhi sepenuhnya atau sublimated
sexuality.

Theodore Reik sebaliknya melihat cinta sebagai perkara yang terbit lantaran rasa tidak puas hati kepada diri sendiri dan bahagian yang diperolehnya dalam kehidupan. Menurutnya, manusia mencari cinta apabila kehidupannya mengecewakan dan dia memerlukan orang lain bagi mengubati kekecewaannya itu. Seterusnya, Erich Fromm melihat cinta sebagai unsur yang terbit daripada perasaan mengambil berat dan bertanggungjawab, hormat dan mengambil tahu mengenai
keadaan orang lain.

Pakar psikologi cinta Islam pula menjalankan kajian
mengenai cinta berlandaskan wahyu yang diturunkan oleh
Allah. Cinta yang digambarkan dalam kebanyakan ayat-ayat
Quran dan hadis Rasulullah didapati sebagai cinta yang
mempunyai pelbagai versi, tujuan dan matlamat. Cinta tidak
hanya dipandang sebagai hubungan sesama manusia sahaja
tetapi melibatkan hubungan dengan Tuhan, perbuatan dan
seluruh kehidupan manusia.

Imam Ghazali melihat cinta sebagai unsur yang menyenangkan dan memberi tarikan dalam hati manusia. Imam Ibnu Qayyim al-Jauziyah mengupas terperinci soal cinta manusia dan cinta ketuhanan yang saling berkait antara satu sama lain. Ibnu Hazm pula banyak mengupas persoalan cinta sesama manusia tanpa melupakan ajaran Islam yang meletakkan
beberapa batas dalam pergaulan dan percintaan.

Kesemua pakar-pakar cinta ini berusaha mengupas hakikat
cinta melalui pengalaman peribadi dan pengetahuan yang luas
mengenainya. Kesungguhan mereka dalam membuat kajian
yang terperinci terhadap cinta menggambarkan hakikat cinta
sebenarnya mampu diterokai oleh manusia dan dimanfaatkan
sepenuhnya bagi pembangunan insaniah, keluhuran akhlak
dan keseimbangan hidup di dunia dan di akhirat. Hakikatnya
cinta menjadikan manusia seorang pemikir yang tidak pernah
alpa kepada apa yang dicintainya dan yang penting, cinta
sebaik-baiknya menjadikan mereka manusia unggul pada zaman kehidupannya.

Keabadian Cinta

Islam meletakkan cinta pada tempat yang tertinggi iaitu cinta suci kepada Yang Maha Pencinta dan menjadikannya agenda utama dalam kehidupan. Kemuliaan cinta terletak pada
keikhlasan individu yang terbabit dalam percintaan. Dr.
Mahmud asy-Syarif di dalam bukunya Al-Hubb fil Quran menyatakan, “Islam adalah agama cinta dan mukmin tidak
merasakan manisnya iman sehingga ia merasakan hangatnya
cinta”. Rasulullah, Rasul pembawa cinta dan kesejahteraan
memberitahu tiga perkara yang membolehkan seseorang berasa manisnya iman, iaitu apabila dia mencintai Allah dan Rasul lebih daripada yang lain, mencintai seseorang hanya kerana Allah dan benci untuk kembali kepada kekafiran seperti dia tidak suka dilemparkan ke dalam neraka.

Oleh yang demikian, cinta yang diredai adalah cinta berlandaskan Quran dan Sunah. Cinta berlandaskan ilmu pengetahuan diturunkan khas kepada manusia dalam bentuk
yang penuh terjaga dan dilengkapi dengan seribu satu
petunjuk yang membawa kepada kebahagiaan rohani, emosi,
mental dan jasmani. Dengan memahami hakikat kemuliaan
cinta yang terletak pada niat dan cara percintaan, dapatlah
disimpulkan kemuliaan cinta manusia terletak atas kebijaksanaannya dalam memandu cinta ke arah kebenaran
dan keluhuran hidup.

Cinta dapat menjadikan manusia mulia ataupun hina
kerana pemikiran manusia sentiasa dipengaruhi oleh faktor-faktor luaran seperti nafsu, pengaruh kawan-kawan dan ahli
keluarga, ilmu pengetahuan mengenai cinta, ajaran agama,
media massa dan lain-lain. Manusia sanggup berkorban demi
cinta kerana mereka mengharapkan keabadian cinta yang menjanjikan kebahagiaan dan keindahan berpanjangan selama
mereka dapat bersama dengan yang dicintainya. Walau
bagaimanapun, dapatkah keabadian cinta ini dinikmati?
Persoalan ini dikupas dalam bab-bab seterusnya…

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024