Artikel

Estim dan Kejayaan

oleh Helmi pada 27 Aug 2004

Estim ialah sebahagian daripada unsur dalam konsep diri, di mana estim ialah bahagian yang menilai diri sendiri. Estim mempunyai kaitan yang amat kuat dengan keyakinan diri dan kejayaan. Dipandang daripada satu segi, estim ialah sejauh mana seseorang itu menyukai dirinya sendiri. Estim seseorang itu dikatakan rendah apabila dia tidak berapa suka pada dirinya, manakala estimnya tinggi apabila dia seronok menjadi dirinya sendiri. Tiap-tiap pagi apabila seseorang itu memandang ke dalam cermin muka, dan dia suka melihat wajahnya maka itu adalah petunjuk dia mempunyai estim yang sihat. Ujian menerangkan sama ada seseorang itu mempunyai imej diri dan estim yang positif.
Perasaan suka pada diri sendiri bukan pula sama ertinya dengan perasaan egoistik mahupun perbuatan menganggap diri sendiri amat penting. Perasaan suka kepada diri sendiri bermakna seseorang itu mengetahui ciri-ciri positif yang ada pada dirinya dan dia tidak malu untuk mengakuinya. Estim ialah penilaian yang dibuat secara menyeluruh tentang diri sendiri. Ia adalah gabungan antara semua konsep diri seseorang dengan semua dirinya yang mungkin. Ada pakar-pakar psikologi yang mengatakan estim ialah sejauh mana seseorang itu dapat menerima diri kita sendiri sebagaimana yang sebenarnya. Maksudnya dapatkah seseorang itu menerima bahawa dia mempunyai ciri-ciri yang istimewa pada dirinya dan kita juga ciri-ciri yang tidak istimewa.  Dia juga menerima bahawa dia bukan hanya sudah melakukan banyak perkara yang baik dan bijaksana, tetapi juga pernah melakukan perkara-perkara yang bodoh dan tidak bijaksana. Dia dapat mengakui ada masanya dia berjaya, tetapi ada masanya dia gagal kerana tersilap.

Menurut pakar-pakar,  estim mempunyai kait-mengaitnya dengan sejauh mana seseorang itu menghargai dirinya sendiri. Estim juga memberitahu sejauh mana seseorang itu berasa dirinya seorang yang baik dan berguna, tanpa mengira apa yang sudah berlaku pada dirinya selama ini. Ertinya, sebagai contoh walaupun seseorang itu sudah gagal mendapat gred yang baik di sekolah, apabila dia tidak pula berasa dirinya orang yang ‘bodoh di sekolah’ malah dia berasa dia seorang yang ‘pandai’ ataupun ‘berbakat’ ataupun ‘baik’ maka itu adalah tanda-tanda dia mempunyai estim yang sihat.

Tinggi ataupun rendahnya estim seseorang itu bukan fitrah. Setiap individu mengetahui ciri-ciri peribadinya sekarang menyedari sejauh mana perbezaan yang wujud antara sifat-sifat mereka sekarang dengan sifat-sifat manusia ideal itu. Harapan yang terlalu tinggi dapat menjatuhkan estim disebabkan harapan itu ditujukan terus kepada konsep diri.

Salah satu cara menusia mengukur estimnya ialah dengan membandingkan konsep diri sekarang dengan apa yang dianggap sebagai diri yang unggul. Apabila perbezaan di antara kedua-duanya begitu besar maka itu bererti estim seseorang itu rendah. Dengan erti kata yang lain, semakin seseorang berasa dirinya tidak seperti yang diinginkan, maka semakin negatif sikapnya terhadap diri-nya sendiri. Semakin dia berasa dia tidak seperti orang ideal itu, maka semakin negatiflah pandangannya ke atas dirinya sendiri.

Estim dapat ditingkatkan melalui ganjaran di mana ganjaran yang paling besar pengaruhnya pada estim ialah kasih sayang. Orang yang tahu dirinya di-kasihi berasa dirinya dihargai dan istimewa. Pujian ialah sejenis ganjaran yang amat berpengaruh pada estim. Individu-individu yang menerima pujian berasa dirinya memiliki keistimewaan. Kajian-kajian menunjuk-kan mereka yang memiliki estim tinggi lebih mudah menerima pujian disebabkan pujian-pujian itu selari dengan anggapan mereka terhadap diri mereka sendiri. Mereka berasa diri mereka istimewa, oleh itu pujian-pujian yang diterima daripada orang lain tidak bercanggah dengan konsep diri mereka, maka itulah sebabnya mereka dapat menerima pujian-pujian itu. Orang-orang yang memiliki estim rendah sukar menerima pujian kerana pujian-pujian itu bertentangan dengan konsep diri mereka. Disebabkan mereka sukar hendak menerima puji-an, kesan pujian-pujian itu ke atas estim mereka sangat kecil.

Satu lagi ganjaran sosial yang berpengaruh pada estim ialah penghormatan. Pujian diberi atas prestasi, manakala peng-hormatan diberi atas status seseorang. Hadiah-hadiah yang diberikan individu yang menunjukkan prestasi cemerlang adalah simbol pujian, bukan simbol penghormatan.

Cabaran tidak sentiasa dapat mendorong semangat. Cabaran hanya mendorong mereka yang memiliki estim tinggi. Individu yang mempunyai estim rendah memilih untuk mengelak, malah lari, daripada cabaran. Kepada golongan ini cabaran sebagai alat dorongan tidak berkesan sama sekali. Mereka yang memiliki estim rendah menghindari cabaran kerana mereka tidak yakin pada kebolehan mereka, oleh itu mereka hanya melakukan perkara-perkara yang dijamin selamat dan terupaya mereka lakukan. Inilah faktor yang menyebabkan, ramai orang yang pintar sekalipun tetapi mereka tidak mahu memasuki sebarang pertandingan di mana mereka tidak yakin mereka boleh menang. Umpamanya, ramai murid yang pintar dalam pelajaran tidak mahu mengambil bahagian dalam aktiviti yang mempunyai risiko kesilapan dan kekalahan. Mereka lebih suka menumpukan perhatian kepada buku-buku teks semata-mata dan persediaan untuk ujian disebabkan peperiksaan adalah sesuatu yang dapat diramalkan hasilnya dengan tepat.

Individu yang berestim rendah sangat mementingkan soal apakah yang dibuatnya itu tidak akan menyebabkan dia gagal. Inilah yang menyebabkan mereka hanya berani melakukan perkara-perkara yang pernah mereka lakukan sebelumnya, di mana mereka sudah mahir, dan berada dalam keupayaan mereka. Mereka takut hendak melakukan perkara-perkara baru yang belum pernah dibuat orang, mahupun perkara-perkara yang belum pernah mereka cuba meskipun orang lain sudah melakukannya. Ini berbeza dengan individu-individu yang memiliki estim tinggi. Manakala mereka yang berestim rendah asyik tidak mahu gagal, individu-individu yang berestim tinggi asyik mahu mencipta kejayaan, bukan mengelakkan kegagalan.

Disebabkan mereka takut gagal, individu-individu yang memiliki estim rendah tidak mahu mengambil risiko. Mereka juga berusaha sedaya upaya mengelakkan daripada terbuat sebarang kesilapan. Disebabkan mereka bersikap pesimistik, mereka selalu percaya bahawa kesilapan amat mudah terjadi. Kepercayaan palsu seperti itulah yang menyebabkan mereka sangat berhati-hati. Kajian mendapati apabila mencari pekerjaan, mereka memilih kerjaya yang selamat walaupun kerja itu tidak menjanjikan peluang kemajuan ataupun gaji yang besar.

Kajian psikologi mendapati individu-individu yang memiliki estim tinggi suka mencari di mana ada cabaran-cabaran yang dapat diambilnya disebabkan mereka itu mempunyai keyakinan diri yang tinggi dan oleh itu mereka yakin pada kebolehan-kebolehan yang mereka miliki. Mereka yakin mereka akan berjaya menghadapai cabaran-cabaran itu, oleh hal yang demikian mereka berani meletakkan matlamat yang lebih tinggi untuk dicapai.

Individu-individu yang berestim tinggi suka mencari cabaran dalam hal-hal peribadi, iaitu di mana kejayaan itu hanya mereka sendiri yang tahu, dan mereka juga mencari cabaran-cabaran dalam bidang-bidang di mana mereka dapat menikmati pengiktirafan daripada masyarakat. Sifat inilah yang menyebabkan mereka menceburi profesion ataupun pekerjaan yang berisiko tinggi tetapi menjanjikan peluang yang besar untuk kemajuan diri dan pendapatan yang lumayan. Mereka yang estimnya kurang tinggi suka mencari pekerjaan yang ‘selamat’ dan tidak mementingkan gaji. Mereka mempunyai sikap optimistik, tetapi dalam keadaan di mana ego mereka tercabar, mereka mungkin menunjukkan sikap optimistik yang terlalu tinggi, lebih tinggi daripada kebolehan mereka yang sebenar. Apabila ego mereka tidak terancam, mereka mendapat faedah besar daripada sifat mereka yang yakin pada keupayaan diri sendiri. Sifat itu mendorong kejayaan bagi mereka.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024