Artikel
Karisma dan Kejayaan
oleh Helmi pada 27 Aug 2004
Karisma ialah salah satu ciri kepimpinan dan kejayaan. Tetapi itu tidak bermakna semua individu yang menjadi pemimpin ataupun berjaya memiliki karisma. Ada pemimpin yang karismatik, dan ada pemimpin yang tidak karismatik, begitu juga halnya dengan mereka yang berjaya dalam lapangan masing-masing. Namun karisma selalunya dikaitkan dengan pemimpin-pemimpin politik.
Sangkaan bahawa hanya pemimpin politik yang memerlukan karisma adalah tidak benar. Ramai usahawan dan pemimpin syarikat memiliki karisma. Ramai pemimpin pertubuhan sosial juga memiliki karisma. Tidak kurang juga, ramai pendakwah, profesor, guru-guru sekolah dan ahli sukan memiliki karisma. Malah ada pen-jenayah dan tokoh-tokoh ajaran songsang memiliki karisma.
Karisma ialah sejenis kuasa peribadi yang sangat berharga. Kuasa karisma adalah luar biasa. Dengan menggunakan kuasa karisma, seseorang itu dapat mendorong individu-individu lain mengubah pemikiran dan tingkah laku mereka, sama ada ke arah positif mahupun negatif. Hanya dengan melihat wajah dan penampilannya sahaja, orang sudah terpengaruh, apatah lagi apabila mendengar kata-kata yang diucapkannya.
Ramai orang menyangka karisma ialah anugerah Tuhan kepada segelintir individu yang terpilih. Pandangan ini adalah tidak benar. Karisma bukan pemberian Tuhan sejak dilahirkan. Karisma ialah imej yang boleh diperolehi, dan dapat diper-tingkatkan. Oleh itu karisma yang dimiliki juga boleh hilang. Sebagai contoh, ada individu yang pada satu masa duhulu memiliki karisma, tetapi kemudian dia tidak lagi mempunyai karisma itu. Begitu juga sebaliknya.
Karisma ialah unsur yang menyebabkan individu-individu lain percaya bahawa seseorang itu adalah seorang yang berilmu, berkepakaran dan seorang yang tulus ikhlas. Jadi, daripada satu segi, karisma ialah sejenis imej atau citra diri yang sangat positif sifatnya. Ramai individu mempunyai ilmu, kepakaran dan juga tulus ikhlas, tetapi mereka tidak pula dapat menimbulkan keyakinan di hati orang-orang lain bahawa mereka sesungguhnya memiliki sifat-sifat itu. Ertinya, mereka tidak mempunyai imej yang menggambarkan ciri-ciri yang mereka miliki itu, oleh yang demikian, mereka tidak mempunyai kuasa mempengaruhi orang-orang lain.
Karisma mempunyai tiga unsur. Pertama ialah unsur keilmuan dan kepakaran. Apabila seseorang itu berhasrat mencipta karisma bagi dirinya, pertama orang-orang yang hendak dipengaruhinya mesti benar-benar yakin bahawa dia tahu apa yang dipercakapkannya. Unsur karisma yang kedua ialah ketulusan. Orang-orang hendak dipengaruhi mesti yakin dia tidak munafik dengan kata-katanya. Unsur karisma yang ketiga ialah imej. Penampilan dan tutur kata seseorang itu mesti dapat menyebabkan orang-orang yang hendak dipengaruhinya yakin dia seorang yang berilmu dan tulus. Hanya apabila seseorang itu memiliki ketiga-tiga unsur ini barulah dia memiliki kuasa karisma.
Imej adalah unsur penting pada karisma. Imej mempunyai kaitan dengan ciri-ciri daya tarikan karisma seseorang. Antara sumber-sumber daya tarikan ialah penampilan, kuasa, tenaga dan kehebatan yang ada kepada seseorang.
Ramai menyangka imej tidak memainkan fungsi yang amat penting. Menurut pakar-pakar psikologi, imej ialah faktor yang dapat menentukan sama ada seseorang itu akan menjadi individu yang dikagumi ataupun tidak. Imej ialah daya tarikan yang dimiliki oleh seseorang itu ke atas individu-individu yang hendak dipengaruhinya. Orang-orang yang tertarik kepadanya akan sangat mudah terpengaruh kepada kata-katanya. Jadi, seseorang itu memerlukan imej kerana dia perlu membuat orang tertarik kepadanya pada kali pertama mereka memandang-nya. Selagi mereka belum tertarik kepadanya, selagi itu dia tidak dapat mempengaruhi mereka. Kajian menunjukkan unsur-unsur daya tarikan wujud pada penampilan seseorang, pada kuasa yang dimilikinya, pada tenaga dan ghairah-hidupnya dan pada kehebatannya. Imej seseorang menentukan sejauh mana dirinya dikagumi oleh individu-individu lain.
Sesetengah individu mempunyai ramai pengagum, manakala kebanyakan orang tidak mempunyai pengagum langsung. Jumlah pengagum ialah salah satu kayu ukur karisma seseorang. Individu yang mempunyai ramai pengagum ialah individu yang mempunyai karisma yang tinggi. Untuk mengetahui sejauh mana seseorang itu dikagumi, apabila dia hadir dalam mana-mana majlis, cuba kira berapa orang yang datang dan menyuakan tangan kepadanya kerana hendak menyentuh jari-jarinya dengan bersalam. Setiap satu tangan itu adalah mewakili seorang pengagum. Jikalau mereka yang bersalam hanyalah terdiri daripada mereka yang menjalankan tugas menyambut kehadirannya, maka tangan-tangan itu bukan tangan pengagumnya.
Kajian yang dibuat oleh ahli-ahli psikologi mendapati, salah satu aspek penampilan yang menyumbang kepada imej karisma ialah ketinggian tubuh badan seseorang. Individu-individu yang tinggi dianggap lebih berwibawa daripada individu-individu yang rendah, oleh itu mereka lebih berpengaruh. Jikalau ada dua individu bertanding untuk merebut satu jawatan, dan mereka serupa daripada segi kelayakan, kajian menunjukkan individu yang lebih tinggi cenderung menerima undi yang lebih banyak.
Rupa yang menarik ialah satu lagi aspek penampilan yang menyumbang kepada karisma. Individu-individu yang memiliki wajah yang menarik, tampan, manis dan cantik mempunyai daya pengaruh yang lebih tinggi daripada orang-orang yang wajah mereka tidak menarik. Tetapi, untunglah kerana wajah yang menarik tidak bermakna wajah yang sangat tampan ataupun sangat jelita. Kebanyakan orang mempunyai wajah yang menarik. Ia hanya perlu dijaga supaya kelihatan lebih menarik lagi, itulah sebabnya, bagi individu yang berhasrat hendak mendapatkan imej karismatik, dia perlu belajar prinsip-prinsip penampilan diri yang berkesan. Pancarkan imej seorang yang memiliki ilmu pengetahuan yang banyak, berkepakaran yang tinggi, bersifat tulus ikhlas dan berpenampilan menarik.
Supaya dipandang sebagai individu yang berkepakaran tinggi, pilih pakaian yang berpotongan konvensional, iaitu gaya yang mirip tokoh bisnes Amerika. Supaya kelihatan sebagai orang yang ramah, mesra dan mudah didekati, pilih warna perang muda. Elakkan pakaian yang mirip butik Perancis di mana saiznya longgar-longgar belaka. Pilih pakaian yang berwarna lebih kepada warna putih. Ia melambangkan si pemakainya seorang yang berakhlak tinggi dan berhati bersih. Jangan pakai bushjaket, walau apa sekalipun potongannya.
Kajian menunjukkan, individu-individu yang karismatik memiliki wajah tenang, lembut dan manis. Mereka juga mempunyai gaya pembawaan diri yang selesa walau berada dalam apa jua keadaan. Walaupun dalam keadaan hiruk-pikuk dan panas, mereka tidak menunjukkan mereka berasa cemas, bimbang, resah-gelisah dan serba tak kena. Untuk membina imej karismatik, berjalanlah dengan gaya selesa. Duduklah dengan gaya yang selesa juga. Longgarkan otot-otot, terutama otot-otot muka dan tangan supaya kelihatan tenteram dan bersahaja. Tetapi, ini bukan bemakna seseorang itu perlu ‘bergaya’ di khalayak ramai.
Karisma juga datang daripada tenaga yang yang dipancarkan. Individu-individu yang berpengaruh dipandang sebagai orang-orang yang mempunyai banyak tenaga dan tidak pernah penat, letih ataupun lesu. Bagi memancarkan tenaga yang tinggi, berjalanlah dengan langkah yang luas dan mantap. Duduk dengan tegak, jangan senget ataupun terperosok dalam kerusi. Jangan duduk tersandar berat ke belakang. Sekali sekali, beri peluang orang ramai tahu bahawa saudara seorang yang aktif dan sihat. Pergilah menjalankan kerja-kerja ataupun bermain jenis-jenis sukan yang memerlukan banyak tenaga.