Artikel

Hari Yang Sibuk Buat Dr Danial

oleh Helmi pada 21 Oct 2004

Alhamdulillah, program promosi ‘Set Islam Kontemporari’-Koleksi Dr Danial Zainal Abidin selama dua hari pada 9 & 10 Oktober yang lepas berjalan dengan sempurna. Program ini mengambil kesempatan dengan terbitnya buku terbaru Dr Danial yang ke enam iaitu ‘7 Formula Individu Cemerlang’.

Program selama dua hari ini bermula dengan sesi autograf dan bertemu pembaca di MPH Alpha Angle, Wangsa Maju, KL. pada pukul 3.00 ptg. Sesi selama satu jam ini di mulai dengan sedikit ucapan dan ceramah pendek oleh Dr Danial. Dalam ucapan beliau, Dr Danial menceritakan secara ringkas pengalaman beliau membuat kajian dalam bidang sains dan Islam. Cita-cita dan keazaman beliau untuk menyebarkan ilmu-ilmu Islam dengan cara saintifik dan kesedaran beliau terhadap kekurangan pengetahuan sains oleh pendakwah Islam di Malaysia banyak mendorong beliau menerokai bidang ini. Cita-cita beliau ini menjadi kenyataan apabila mendapat tawaran melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan Di Universiti Alexandria di Mesir selepas tamat sekolah menengah. Bertitik tolak dari situ dengan mengambil kesempatan mendalami ilmu-ilmu agama dari ulama-ulama terkenal di Mesir beliau membuat kajian ilmu-ilmu Islam. Dr Danial menggalakan khalayak yang hadir untuk mendalami bidang sains dan teknologi yang menurut beliau adalah bidang yang menarik dan mendekatkan diri kepada Tuhan.

Pengunjung-pengunjung MPH yang hadir menggunakan kesempatan kehadiran Dr Danial ini untuk mendapatkan autograf, beramah mesra dan bertukar-tukar pendapat dengan beliau.

Pada sebelah malamnya, bertempat di Dewan Besar Sekolah Rendah Islam Al-Amin, Gombak, Dr Danial berpeluang menyampaikan ceramah yang bertajuk ‘Keungulan Islam dan Cabaran’. Ceramah selama 2 jam itu dipenuhi oleh guru-guru, ibu-bapa pelajar sekolah al-Amin dan penduduk sekitar. Dr Danial dalam ceramahnya banyak menyelitkan kajian-kajian beliau berkenaan rahsia keunggulan dan kecemerlangan umat Islam sejak beribu tahun dengan beberapa testimonial dari saintis serta cendiakawan barat. Beliau juga mendedahkan cabaran yang merintangi umat Islam masa kini dan bagi mengadapinya mereka perlu bekalan ‘IT’ iaitu Ilmu dan Taqwa (mendekatkan diri kepada Allah).

Rata-rata hadirin pada malam itu memberikan respon yang cukup baik. Menurut mereka, ceramah Dr Danial unik dan berbeza dengan ceramah yang biasa mereka dengar. Bagi mereka juga, ceramah Dr Danial yang disertakan dengan hujah sains dan bukti sejarah selain dari ayat-ayat al-Qur’an, hadis dan pendapat ulama besar amat jarang di amalkan dalam ceramah-ceramah agama di Malaysia. Kaedah ini merangsang minda mereka dan membantu menguatkan lagi keyakinan pendengar terhadap perkara yang disampaikan.

Program promosi ini diteruskan dengan aktiviti diskusi terbaru Dr Danial iaitu buku ‘7 Formula Individu Cemerlang’ yang diadakan keesokan hari pada 10 Oktober bertempat di MPH Midvalley Megamall, Kuala Lumpur. Diskusi ini dihadiri oleh Dr Danial, Prof Madya Dr Mizan Hitam dari UiTM sebagai pengulas manakala Saudara Ahmad Fadzli Yusof adalah moderator bagi diskusi tersebut. Diskusi yang berlangsung selama kira-kira satu jam ini berjaya menarik minat pengunjung-pengunjung MPH dari pelbagai lapisan masyarakat, kaum dan agama. Mereka setia mendengar sehingga ke penghujung majlis. Dengan pengalaman yang luas sebagai penilai kajian ilmiah di UiTM dan pengulas buku di Segmen Iqra, Rancangan Selamat Pagi Malaysia, Dr Mizan dapat mengupas dan memberi komen yang cukup menarik tehadap buku terbaru Dr Danial ini. Dalam majlis ini juga, Dr Danial banyak memperlihatkan kepada hadirin cerita, dorongan, idea disebalik penghasilan buku ini dan kekuatannya. Diakhir sesi bagi menjawab soalan Ahmad Fadzli berapakah ‘bintang’ yang hendak diberikan kepada buku ini, Dr Mizan menjawab “sebagai ahli akademik, saya tidak akan berikan ‘bintang’, sebaliknya saya akan berikan markah ‘A -’. Markah tu sudah cukup tinggi untuk sesebuah tesis”. Harapan Dr Danial buku ini akan menjadi dorongan dan motivasi pembaca untuk menjadi cemerlang. Buku ni bukanlah bersumberkan atau cedokan mana-mana buku motivasi barat tetapi menjadikan al-Qur’an dan hadis sebagai rujukan utama.

Bagi pihak Unit Promosi & Perhubungan Media PTS, kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program-program promosi ini khususnya Dr Danial Zainal Abdidin, seluruh kakitangan MPH Alpha Angle dan Midvalley Megamall, pengurusan SRI Al-Amin Gombak dan kakitangan PTS.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024