Artikel

Selepas 38 tahun HAMKA tetap relevan dan mandahului zaman

oleh Asri Yussof pada 27 Mar 2019

Nama HAMKA tidak perlu diperkenalkan lagi. Beliau adalah seorang ulamak dari rantau Melayu yang berjaya menulis sebuah kitab Tafsir Al-Quran di dalam bahasa Melayu. Beliau juga seorang penulis novel-novel romantis, dan kesemua novel-novel beliau menjadi laris sehingga ke hari ini.

HAMKA merupakan salah seorang tokoh tafsir Al-Quran yang berpengaruh di Rantau Nusantara. Ketokohan beliau sebagai ahli tafsir atau mufassir adalah bertitik tolak pada aspek kemampuan beliau menghasilkan karya tafsir Al-Azhar.

Beliau mengarang Tafsir Al-Azhar dalam tempoh lebih kurang lima tahun mulai tahun 1963 sehingga 1967 termasuk ketika berada dalam tahanan pada tahun 1964 hingga 1966.

Dr. Muhammad Yusry Affandy, penulis buku HAMKA Permata Tafsir Bumi Nusantara menulis, Hamka adalah seorang yang istimewa dalam konteks rantau Alam Melayu kerana menggunakan contoh dan isu tempatan bagi menjelaskan ayat-ayat al-Quran.

Tambah beliau lagi, Hamka juga menambah perisian tafsiran dengan elemen semasa seperti fakta sejarah, unsur sastera dan pandangan ulama moden. Tafsir Al-Azhar telah berperanan memperkayakan lagi kajian tafsir dalam kalangan orang Melayu.

HAMKA adalah seorang penggembara di zaman mudanya. Kalau kita baca biografi beliau adalah seorang yang suka berjalan. Sehinggalah beliau bersedia ke Mekah untuk menunaikan haji dan menuntut ilmu di sana. Sekembalinya beliau dari sana selama enam bulan di Mekah pada 1929, beliau mula bekerja di kedai percetakan.

Kemudian pada 1931, Hamka meninggalkan kampung halamannya bagi berkelana bersama keluarga sebagai Konsul Muhammadiyah di Makasar, Sulawesi selama tiga tahun di sana.

Hamka adalah seorang ulama yang bijak dan cerdas. Di kala sekolah-sekolah agama kita memberitahu bahawa belajar agama ini jangan banyak soal dan semua ulama-ulama dahulu sudah menjawab semua persoalan fiqh, Hamka tampil dengan hujan yang cukup berani di dalam bukunya Falsafah Hidup.

Hamka bertegas mengatakan, Islam tidak pernah menutup pintu ijtihad.

Pintu kebebasan menyatakan fikiran itu terbuka luas dalam agama Islam, iaitu dengan kebebsan ijtihad. Kemajuan ilmu ushul fikah, fikah, ilmu tafsir, tasawuf dan lain-lain dalam Islam adalah berpangkal dari terbukanya pintu ijtihad. Ulama-ulama besar, yang telah mendirikan empat mazhab fikah dalam Islam adalah bersumber dari kebebasan ijtihad.

Tulis Hamka lagi,

Jika sesuatu pendirian itu berlainan dengan yang biasa terpakai tidaklah boleh dihalangi, malahan wajib dihormati. Kemerdekaan fikiran yang seperti ini amat besar faedahnya bagi kemajuan masyarakat. Sebab apabila pendapat itu dikeluarkan, dapatlah elak mendapat bandingan dari yang lain, sehingga nyata yang benar dan yang salah.

Dalam buku yang ditulis oleh Dr. Muhammad Yusry ini, beliau menulis tentang HAMKA pada sisi seorang ulama Tafsir yang bijak mengambil latar suasana Nusantara untuk mengembangkan tafsir-tafsir dari ayat-ayat Al-Quran. Tajuk bukunya sangat menarik, HAMKA Permata Tafsir Bumi Nusantara.

Selamat membaca dan teruskan berfikir!

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024