Artikel

Filem Paling ‘Mind Blowing’ Tahun 2019 - Filem Parasite dari Korea Selatan

oleh Abdullah pada 03 Sep 2019

Pertama sekali kita perlu tanya siapa empunya idea asal untuk filem ini? Bong Joon-ho. Beliaulah pengarah, screenplay dan idea asal untuk filem ini. Anda pernah tonton filem ‘Okja’ di Netflix? Beliau jugalah pengarahnya, dan juga ‘Sea Dog’ pada 2014 yang mengangkat kisah imigran tanpa lesen yang naik kapal dari China untuk masuk dan mencari pekerjaan di Korea.

Bong Joon-ho adalah pengarah dan penulis skrip yang tersohor di Korea Selatan. Beliau dikenali sebagai pengarah untuk filem-filem paling hebat di sana seperti ‘The Host’ iaitu filem monster yang dikeluarkan pada tahun 2006, manakala filem aksi sci-fi ‘Snowpiercer’ masuk panggung wayang pada tahun 2013.

‘Parasite’ menerima anugerah Palme d’Or di ‘Festival Filem Cannes’ 2019, menjadikannya pengarah Korea pertama mendapatkan anugerah itu. Bong dilahirkan di Daegu dan ketika masih di sekolah menengah, beliau menyatakan hasratnya menjadi pengarah filem. Menjadi anak seorang pereka grafik dan cucu penulis terkenal, dia dibesarkan dalam persekitaran yang sangat intelek seperti salah seorang ahli keluarganya yang kini menjadi profesor kesusasteraan.

Ini sudah masuk kali kedua Bong mempunyai filem yang dipilih untuk pertimbangan Anugerah Oscar selepas filem “Mother” pada tahun 2009. Korea Selatan belum dicalonkan dalam kategori itu. Filem ini dipilih daripada senarai panjang lapan judul oleh lima orang juri.

Filem Parasite, sekali pandang kita menonton filem ini, ia berjaya membuatkan kita berfikir betapa kejinya orang miskin yang menipu atas kesenangan orang lain. Sudahlah miskin, menipu pula. Memang lumrah alam begitu, dilahirkan sebagai orang miskin adalah sesuatu yang hina dan dipandang sebelah mata oleh masyarakat hari ini yang berkiblatkan kapitalisme.

Kamus Pelajar Edisi kedua mentafsirkan [pa.ra.sit] | ڤاراسيت adalah tumbuh-tumbuhan atau binatang (seperti pokok api-api, cacing kerawit) yang hidup pada tumbuh-tumbuhan atau pada binatang lain serta mendapat makanan darinya atau orang yang menumpang pada orang lain dengan tidak membayar apa-apa.

Tapi ini hanyalah selapis air di lautan saja. Kalau kita menyelam lagi, kita akan tengok betapa jurang ekonomi yang melahirkan orang miskin yang ‘terpaksa’ menjadi parasit di sana. Mereka dilahirkan dalam jurang yang sudah dicipta sejak tahun 1997 di Korea (malah mungkin sebelum 1997 lagi).

Kita menyelam selapis lagi, kita tengok bermacam perbandingan yang cuba diselak; Kejiranan orang kaya dan miskin, banjir kilat dan masalah perparitan di kawasan setinggan, masalah sosial kejiranan, moral, tingkah laku dan TEKANAN YANG MAHA DAHSYAT begitu digambarkan sekali dengan keadaan di dalam rumah yang sebenarnya tidak layak pun untuk dipanggil rumah.

Filem Parasite ditutup dengan kesedihan, kesunyian dan ‘loneliness’. Bahawa dunia ini adalah tempat yang salah untuk mereka hidup, tetapi mereka terpaksa hidup walau dengan apa cara sekalipun - walaupun terpaksa berharap kepada harapan yang memang tidak pernah ada - itulah Parasit.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024