Artikel
Format Kiosk: Lautan Biru untuk Usahawan Kecil dalam Jualan Buku
oleh [email protected] pada 06 Apr 2010
Dunia jualan buku hari ini tidak seperti 10 tahun lepas. Hari ini orang mahu ke kedai buku yang besar dan lengkap.
Sekiranya tuan dan puan berminat mahu membuka kedai buku, ada beberapa kedai yang dapat kita jadikan contoh. Kita pecahkan kedai-kedai buku ini mengikut lokasi duduknya kedai itu;
Lokasi: Mall
Kedai buku yang terletak di dalam mall biasanya dapat mencapai jualan antara RM100 ribu hingga RM1 juta sebulan, bergantung pada saiz dan lokasi kedai itu.
Antara contoh yang utama adalah kedai buku korporat seperti MPH, Popular, Kinokuniya dan Borders. Ini liga korporat yang besar.
Selain itu ada juga kedai buku lokal yang terletak dalam mall. Contoh terbaik adalah Kedai Buku Badan Cemerlang di Plaza Angsana, Johor Bahru dan juga Kedai Buku SMO, di KB Mall, Kota Bharu. 2 kedai buku lokal ini adalah kedai buku yang sudah berpuluh-puluh tahun usianya dan mempunyai modal yang kukuh untuk masuk ke dalam Mall. Ini bukan liga usahawan kecil.
Lokasi: Shop-Lot
Ada banyak kedai buku format shop-lot di Malaysia. Kebanyakannya menjual alat tulis dan buku-buku rujukan sekolah. Kedai format ini ada di seluruh pekan besar dan kecil.
Maklumat yang saya terima, setiap 1 pintu kedai jenis shop-lot, dapat menghasilkan jualan sekitar RM25 ribu hingga RM70 ribu, bergantung pada lokasi dan berapa ramai pelanggan yang masuk ke dalam kedai.
Antara contoh kedai buku format shop-lot yang hebat adalah Kedai Buku Hasani, sebesar 5 pintu di Sungai Petani, Kedah dan kedai buku agama Jaafar Rawas, sebesar 3 pintu di Kota Bharu, Kelantan. Kedai-kedai contoh ini sudah keluar daripada kepompong 'sekadar kedai buku sekolah'.
Hasani contohnya memperuntukkan 1 pintu bagi buku agama, 1 pintu bagi trade book, 1 pintu bagi novel dan buku kanak-kanak, 1 pintu bagi alat tulis, dan 1 pintu bagi buku-buku rujukan sekolah.
Hari ini, semua kedai buku format shop-lot yang baik pastilah luasnya lebih daripada 2 pintu. Ini kerana jumlah buku, alat tulis dan bahan-bahan lain yang perlu dipamerkan sudah semakin besar.
Maklumat terbaru menunjukkan sekurang-kurangnya 200 tajuk baru buku dalam bahasa Melayu masuk ke kedai setiap bulan. Buku-buku ini datang dalam pelbagai kategori, daripada kanak-kanak hinggalah kepada buku dewasa.
Oleh kerana itu, kedai buku yang mahu ada range yang baik, perlu ada saiz yang besar. Ini liga usahawan saiz sederhana.
Lokasi: Kiosk dalam Hipermarket
Ini adalah satu format yang pada pendapat saya sebuah lautan biru. Kiosk jualan buku masih belum banyak di pasaran, tetapi hipermarket dengan demografi majoriti Melayu sudah banyak.
Menurut maklumat yang kami ada, sebuah kiosk yang baik dapat membuat jualan sekitar RM25 ribu hingga RM30 ribu sebulan, bergantung pada lokasi dan produk. Inilah format yang sesuai untuk usahawan kecil yang mahu bermula dalam bidang jualan buku. Risikonya relatif rendah, dengan modal yang juga rendah.
Format kiosk hanya fokus kepada buku-buku bestseller yang laris dijual sahaja. Range yang lengkap bukan matlamatnya. Kita anggaplah kiosk ini memberikan servis cadangan tajuk seperti penjual DVD haram yang cekap mencadangkan tajuk mengikut gaya pembelinya. Asal pembeli datang, sudah ada senarai bestseller yang dapat ditunjukkan kepada pembaca tadi.
Buku-buku agama, buku masak, buku niaga kecil, buku kewangan peribadi, Al-Quran, surah Yassin merupakan jualan rutinnya.
Yang menjadi cabaran usahawan kiosk adalah mendapatkan kredit daripada penerbit ataupun pengedar buku. Ini kerana sifat kiosk yang berubah-ubah tempat itu dianggap berisiko tinggi untuk 'hilang'.
Usahawan kiosk perlu memborong tunai pada peringkat awal, dalam masa yang sama membina kepercayaan daripada penerbit dengan menunjukkan kesungguhan dalam perniagaan ini. Lama-kelamaan pasti kepercayaan akan datang, dan urusan bisnes menjadi lebih ligat dengan adanya kredit daripada penerbit.
Format kiosk ini sudah banyak dibuat oleh peniaga buku di pasar malam. Bezanya, peniaga buku pasar amalam menggunakan van dan meja lipat, tetapi pengusaha kiosk menyewa tapak dalam hipermarket.
Semoga lebih ramai pengusaha kiosk buku akan muncul di pasaran.