Artikel

Gaza: Siapa Mereka di Hati Kita?

oleh Faslin Syarina Salim pada 16 Nov 2012

Setiap hari, satu dunia mendoakan kesejahteraan Palestin. Setiap hari, ribuan jiwa berikrar memerdekakan bumi Palestin daripada tangan-tangan serakah dan tidak berperikemanusiaan. Papillion Bonasacha dari Perancis. Kumari Khan dari India. Jung Ja-Min dari Korea. Resti dari Indonesia. Serta beratus-ratus orang rela berkorban jiwa dan raga atas nama cinta keamanan. Mereka rindu akan kedamaian di bumi yang sebenarnya terlalu asing buat mereka.

Lembaran tahun hijrah 1434H disambut dengan berita mengejutkan. Gaza diserang lagi. Israel kelmarin membunuh tokoh tentera Hamas dan menyerang wilayah berkenaan dari darat, udara dan laut, meragut 15 nyawa, termasuk lima pejuang, tiga kanak-kanak dan seorang wanita hamil.

Selusuri derita mereka dengan kisah Gadis kecil di Pinggir Gaza. Kisah seorang gadis bernama Palestine yang berusia 11 tahun. Ibu dan adik-beradiknya terkorban ketika rumah mereka ditimpa serangan bom oleh tentera Israel. Ayah Palestine pula telah lebih dahulu keluar menyertai HAMAS demi berjihad di jalan Allah. Berjuang membebaskan bukan sahaja keluarga sendiri, tetapi seluruh bumi suci Palestin.

Palestine tidak meratapi kehilangan keluarganya. Semangat Palestine seteguh bumi Gaza. Meski ditembak oleh tentera Israel ketika intifadah, Palestine bangkit semula bagi meneruskan hidup. Demi mencari ayahnya yang dipenjara oleh musuh.

Atas nama cinta keamanan dan tali persaudaraan sesama Islam, PTS Media Group tidak mahu ketinggalan bersama-sama masyarakat seluruh dunia dalam usaha membebaskan Palestin daripada pihak tidak bertanggungjawab, yang sekian lama menghuni dan memusnahkan bumi suci Palestin. Melalui novel Gadis Kecil di Pinggir Gaza ini, PTS Media Group berharap dapat memberi peluang kepada semua pembaca dan masyarakat Malaysia turut menyumbang kepada Tabung Aman Palestin Malaysia. Setiap RM1.00 daripada jualan buku ini akan disumbangkan kepada Tabung Aman Palestin Malaysia. Semoga menerusi sumbangan ini, kita semua dapat membantu kelangsungan hidup saudara-saudara kita di sana, khususnya anak-anak kecil seperti Palestine, yang mungkin bukan sekadar hilang seorang ataupun dua orang ahli keluarga, malah menjadi yatim piatu seumur hidup mereka.

Imam al-Bukhari dan Imam Muslim merekodkan hadith yang dilaporkan oleh Abu Musa al-Asy’ari. Katanya, “Biasanya apabila ada orang yang mempunyai hajat tertentu datang berjumpa Nabi Muhammad s.a.w., baginda berpaling ke arah para sahabat baginda yang ada di situ dan berkata, ‘Saudara sekalian salurkanlah bantuan kerana saudara sekalian mendapat pahala. Allah membuat keputusan berdasarkan kata-kata nabi-Nya mengikut kehendak-Nya.’”

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024