Artikel

Gempa Sekuat 6.0 Landa Pantai Timur Honshu

oleh Roziyah pada 16 Mar 2011

Gempa bumi berukuran 6.0 pada skala Richter melanda berhampiran Pantai Timur Honshu, Jepun pada jam 9.31 malam tadi.

Jabatan Meteorologi Malaysia dalam kenyataannya menjelaskan gempa bumi itu berpusat di 3,911 kilometer dari Timur Laut, Kudat di Sabah.

Jumaat lepas, Jepun digegarkan dengan gempa bumi berukuran 9.0 pada skala Richter dan mencetuskan tsunami besar yang mengorbankan beribu nyawa.

Sementara itu, Loji nuklear Fukushima Daiichi mengalami kebocoran yang serius berkikutan dua letupan baru dan satu kebakaran semasa kakitangan di tapak berkenaan berusaha mengelakkan kebocoran.

Loji nuklera berusia 40 tahun itu mengalami empat letupan dengan letupan terbaru di reaktor dua dan empat sejak gempa bumi berlaku.

Pihak berkuasa melahirkan kebimbangan kebocoran akan berlaku dan menyebabkan bencana nuklear seperti Chernobyl di Ukraine pada 1986 yang menyaksikan sekitar kawasannya dicemari dengan radiasi.

Krisis nuklear terbesar di negara itu semakin serius setiap hari berikutan empat daripada enam reaktor di logi nuklear di Fukushima mengalami letupan hidrogen sejak gempa bumi melanda wilayah Tohoku, Jumaat lalu.

Penduduk Jepun juga dilaporkan bergegas membeli barang keperluan sebagai persediaan menghadapi kemungkinan bencana nuklear.

Beberapa kedutaan menasihatkan kakitangan dan rakyat masing-masing meninggalkan kawasan yang terjejas dengan radiasi dan daerah yang musnah akibat gempa bumi besar dan tsunami yang melanda Jepun Jumaat lalu.

Pelancong juga dilaporkan memendekkan cuti. Syarikat antarabangsa juga digesa memindahkan kakitangannya berpindah ke kawasan di luar Tokyo.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (198801006125) © 2000 - 2025