Artikel

Gen Z Celik Membaca: Menyemarakkan Semangat Membaca Dalam Kalangan Anak Muda

oleh Maisarah Hanim Afandi pada 30 Jan 2022

Bunga melati kembangnya lebat,

Datang lebah untuk menghisap,

Sahabat sejati memberi nasihat,

Agar diri ini tidak tersesat.

Berdasarkan rangkap pantun di atas, sahabat ditafsirkan sebagai seseorang yang memberi nasihat dan manfaat kepada sahabatnya supaya tidak melakukan kesalahan. Adakah anda bersetuju jika saya mengatakan bahawa buku boleh kita kategorikan sebagai sahabat? Melalui buku, kita mengetahui pelbagai cerita dan fakta. Sebagai contoh, ketika saya membaca buku Sherlock Holmes: Misteri Lelaki Merangkak, barulah saya tahu Lumbago merupakan istilah perubatan bagi sakit pinggang. Selain itu, dalam buku Misi Solat Lima Waktu #3: Diari Akhlak Imran, ada diselitkan fakta menarik tentang rumput kemuncup. Tahukah anda, akar rumput kemuncup boleh ubati bisa ular dan cirit-birit manakala rumput kemuncup juga boleh dijadikan sebagai air teh. Tidak rugi membaca buku!


Alhamdulillah, tahun 2021 telah melabuhkan tirainya. Maka, tamatlah sudah Kempen Gen Z Celik Membaca yang bermula dari 1 November 2021 sehingga 31 Disember 2021. Kempen ini telah melibatkan empat imprint di bawah PTS iaitu Penerbit X, Komik-M, Bookiut dan PTS Junior. Banyak aktiviti telah dilakukan sepanjang kempen ini berlangsung. Antaranya, Penerbit X telah mengadakan Peraduan Buku Percuma Arsene Lupin selama tiga hari dan sambutan yang diterima amat menggalakkan. Seramai 53 orang individu telah mengambil bahagian dalam peraduan ini yang bermula dari 2 November 2021 sehingga 5 November 2021 dan seorang pemenang bertuah telah dipilih. Selain itu, Bookiut juga meriah dengan sesi Borak Santai Bersama KS dan Peraduan Pengikut Aktif Bookiut di Instagram.

Kempen Gen Z Celik Membaca merupakan salah satu alternatif untuk menarik lebih ramai anak muda membaca buku. Empat imprint yang menyertai kempen ini lebih cenderung kepada genre fiksyen yang lebih mesra dan sesuai untuk usia anak muda. Sedang rebung baik dipatah, jadi bulu melepuh jari, pepatah melayu yang menekankan kepentingan mendidik anak-anak sejak mereka kecil. Karikatur yang baik dan berkualiti, jalan cerita yang menarik dan laras bahasa Melayu tinggi yang digunakan dalam buku-buku terbitan empat imprint ini merupakan antara faktor mengapa buku-buku ini menjadi pilihan ibu bapa dan pembaca cilik.

Melalui kempen ini, komunikasi dua hala antara penerbit dan para pembaca dilihat sihat dan positif di media sosial melalui penyampaian mesej yang difahami kedua-dua pihak. Objektif utama kempen ini adalah untuk menyemarakkan minat membaca dalam kalangan anak muda. Sebagai sebuah rumah penerbitan, kami bertanggungjawab untuk menghasilkan karya-karya menarik yang mampu menarik lebih ramai anak muda untuk membaca buku berbanding masa terluang dibazirkan dengan melakukan perkara sia-sia menggunakan gajet.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024