Artikel

Pesta Buku Selangor 2021 Kembali Lagi

oleh Maisarah Hanim Afandi pada 26 Jan 2022

Setelah lama menanti, akhirnya pesta buku besar yang pertama telah diadakan di Semenanjung Malaysia selepas dunia dilanda wabak COVID-19. Pesta Buku Selangor 2021 (PBS2021) telah menjadi penanda aras jualan buku di pesta buku yang akan datang.

PBS2021 umpama hari raya untuk pencinta buku setelah berlangsung selama 11 hari di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) yang dibuka dari jam 10 pagi hingga 9 malam pada 2 hingga 12 Disember 2021. PBS2021 ini juga dilaksanakan secara hibrid di mana ada pameran dan jualan secara fizikal dan atas talian di platform Shopee. Cara ini memudahkan para pengunjung yang tidak dapat hadir untuk turut serta membeli dan memeriahkan PBS2021.

Sudah tentu suasana di SACC begitu meriah. Pelbagai aktiviti menarik diadakan di pentas utama seperti program Sembang Hati dan Minda Sasterawan, Bicara Orang Muda Inspirasi Daripada Buku, Piano Session With Amirul dan banyak lagi. Selain itu, para pembaca gembira dapat bertemu penulis yang mereka minati. Tambahan pula, para pengunjung saling bertukar-tukar pendapat mengenai buku yang mereka suka antara satu sama lain. Langkah ini mampu memotivasikan sesama pembaca untuk terus bersemangat membaca buku.

Sebaik sahaja kaki melangkah ke dalam Dewan SACC, para pengunjung disambut dengan kemeriahan reruai rumah penerbitan dan ejen jualan yang menampilkan lebih 200,000 karya tempatan dan antarabangsa selain dimeriahkan dengan 152 gerai jualan. PTS juga turut sama memeriahkannya dengan membuka reruai. Di reruai PTS, pelanggan diberikan potongan harga 15 peratus untuk setiap buku dan ada juga buku yang dijual dengan harga rata serendah RM8 dan RM20.

Para pengunjung yang hadir tanpa mengira lapisan umur dan kaum, ralit menelaah buku pilihan masing-masing. Selain itu, ada yang datang dengan senarai buku pilihan yang telah disediakan lebih awal. Ini adalah salah satu cara berbelanja secara bijak dan boleh mengelakkan pembaziran. Tidak kurang juga ada yang sanggup pecahkan tabung untuk membeli buku idaman di PBS2021.

Tambahan pula, PBS2021 menawarkan hadiah lumayan iaitu cabutan bertuah berupa wang tunai RM500 kepada 9 pemenang setiap hari dengan minimum pembelian RM30 sahaja. Sudah tentu cabutan bertuah ini berjaya menarik perhatian para pengunjung untuk membeli-belah di PBS2021.

Reruai PTS juga dimeriahkan dengan Sesi Ramah Mesra bersama penulis buku Bijak Merancang Wang, iaitu Tuan Afyan Mat Rawi. Sesi Ramah Mesra ini juga telah bersiaran langsung di Instagram Bukupts untuk mengupas kepentingan pengurusan kewangan melalui buku tulisan beliau. Selain itu, PTS berbesar hati menerima kunjungan daripada tokoh bahasa negara, Profesor Emeritus Abdullah Hassan yang hadir ke PBS2021. Dengan kudrat yang ada, begitulah jiwa insan yang cinta akan buku dan ilmu, tetap hadir sebagai tanda sokongan.

PTS meraikan tetamu yang hadir ke PBS2021 dengan menyediakan pelbagai hadiah percuma kepada para pengunjung. Antaranya ialah kalendar rasmi 2022, koleksi penanda buku dari buku terjemahan, ‘woven bag’ Komik-M, penanda buku istimewa Sherlock Holmes dan Bookiut, serta koleksi poskad raya PTS. Dijamin tiada tetamu yang pulang dengan tangan kosong jika mereka singgah dan membeli di reruai PTS.

Seperti yang diketahui ramai, Komik-M adalah salah satu imprint dibawah PTS yang mempunyai peminat dan pembacanya yang tersendiri. Kandungan Komik-M sangat menjaga bahasa dan jalan ceritanya. Jadi, Komik-M menjadi pilihan utama ibu bapa dan pembaca cilik. Sepanjang 11 hari PBS2021, Komik-M telah berjaya mencatat 2791 buah jualan buku. Antara tajuk buku yang terlaris sepanjang PBS2021 adalah Misi Solat Lima Waktu #3: Diari Akhlak Imran, Lawak Budak Sekolah, Misi Reunion, Amylea #3: Puteri Persahabatan dan Aku, Kau dan Hantu: Asrama.


Bagi buku-buku di bawah PTS, terdapat empat buah buku baru terbit yang berjaya menjadi 10 buku terlaris sepanjang PBS2021. Antaranya adalah Lead Like Muhammad, Rahsia Tulisan Al-Quran, Sun Tzu Art of War dan How To Win Friends and Influence People. Untuk pengetahuan semua, buku How To Win Friends and Influence adalah buku baru bagi kategori buku-buku terjemahan terbitan PTS.

Terima kasih kepada pihak Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) kerana sudi menganjurkan Pesta Buku Selangor 2021 dan memberi peluang kepada industri dan komuniti buku untuk berkumpul semula. PBS2021 telah memberi nafas baru kepada industri buku yang terjejas teruk akibat wabak COVID-19 dan kuncitara yang berpanjangan. Sesungguhnya, program sebegini wajar diteruskan untuk terus menyemai sifat suka membaca dan membantu industri perbukuan.


Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024