Artikel

Implementasi Hijrah Rasulullah

oleh Siti Hajar Hamzah pada 29 Oct 2020

Kronologi hijrah Rasulullah s.a.w. ke Madinah (dikenali sebagai Yathrib sebelum ini) bermula pada bulan Rabiulawal atas tuntutan, keizinan, dan petunjuk daripada Allah s.w.t. Hijrah demi menyebarkan agama Allah s.w.t. Bulan Muharam pula dipilih oleh khalifah kedua iaitu Khalifah Umar al-Khattab sebagai permulaan tahun baharu Islam.

Menyoroti perjalanan Rasulullah s.a.w. bersama sahabat baginda, Saidina Abu Bakar as-Siddiq yang penuh onak ranjau menginsafkan kita betapa sabar dan gigihnya Baginda. Bayangkan perjalanan 10 hingga 15 hari yang jauh dan sukar, ditempuh tanpa menoleh ke belakang. Berbekalkan tawakal serta berpegang pada kesabaran dan keterujaan menegakkan agama Islam, bermula penghijrahan yang merekodkan sejarah dunia dengan tersebarnya Islam sebagai agama yang benar di sisi Allah s.w.t.

Penghijrahan ini bagi memenuhi perintah Allah s.w.t. demi menyelamatkan Rasulullah s.a.w. daripada niat jahat Musyrikin Mekah yang ingin membunuh Baginda. Kaum Musyrikin memberi tekanan kepada Rasulullah s.a.w. dan kaum Muslimin dengan keengganan mereka menerima Islam serta melakukan penindasan. Berpegang pada janji penduduk Madinah yang ingin membantu dan melindungi Rasulullah s.a.w. serta kaum Muslimin yang berhijrah ketika itu, membuatkan hijrah Baginda berjaya. Seterusnya strategi penyebaran Islam di luar kota Mekah lebih terserlah.

Justeru itu, apakah iktibar yang boleh kita ambil daripada hijrah Rasulullah s.a.w. untuk diaplikasikan dalam kehidupan seharian?
3) Mengeratkan tali perhubungan dan persaudaraan antara umat Islam. Apabila ukhuwah itu kuat, umat akan bersatu padu dan dapat mengelakkan daripada berlakunya pecah-belah yang membawa kepada perpecahan umat Islam. Pemimpin Islam memainkan peranan yang besar dan tidak boleh bermusuhan sesama sendiri demi kepentingan peribadi.

4) Berani berkorban. Berkorban dalam kehidupan sendiri dengan bersedia meninggalkan keselesaan, anak, suami ataupun isteri, harta benda waima tanah air sekalipun demi perjuangan untuk agama. Sekiranya dinilai, para imam dan periwayat hadis merantau ke serta pelosok Tanah Arab hanya bagi mengumpul dan menyaring hadis serta membanding kesahihannya secara ilmiah. Inilah contoh hijrah mereka yang dapat kita nikmati pada hari ini, seperti kompilasi hadis daripada Rasulullah s.a.w. Rasulullah s.a.w. berkata, “Sesungguhnya setiap perbuatan itu dinilai dengan niat, dan setiap manusia akan dihisab sesuai dengan niatnya. Barangsiapa berhijrah kerana Allah s.w.t. dan Rasul-Nya, maka ia benar-benar berhijrah demi Allah s.w.t. dan Rasul-Nya. Barangsiapa berhijrah kerana dunia ataupun perempuan yang ingin dinikahinya, maka hijrahnya untuk tujuan tersebut.” (Hadis direkodkan oleh Bukhari dan Muslim).
* (Nota: Imam Nawawi memulakan koleksi hadis 40 dengan hadis niat ini.)

  1. Kita mesti kembali kepada agama yang fitrah. Kembali kepada nilai Islam. Tiada istilah zaman Nabi Muhammad s.a.w. tidak sama dengan arus kemodenan zaman ini. Walhal, sekiranya kita kuat berpegang kepada Al-Quran dan As-Sunnah, selamanya kita tidak tersesat bahkan lebih menghargai kehidupan. Pemerintah Islam bertanggungjawab memupuk sifat hormat orang bukan Islam kepada hak orang Islam dalam pelaksanaan perundangan Islam, serta mengiktiraf Islam sebagai agama rasmi negara.

  2. Perbetulkan cara berfikir atas paksi ajaran Islam. Daripada kerap memberi alasan, kepada selalu mencipta jalan dan mengambil pengajaran. Berhijrah daripada berfikiran negatif kepada melihat perkara yang lebih baik dan positif. Proses ini membawa kita kepada meninggalkan perbuatan terlarang dan membezakan baik dan buruk. Walaupun nampak asas, namun ini antara yang sukar diamalkan. Sebagai contoh, popular kini adalah penghijrahan mereka daripada dunia LGBT. Ini juga adalah implementasi hijrah. Para penghijrah berusaha untuk berhijrah, dan masyarakat setempat perlu memainkan peranan bagi menyokong serta membantu proses itu.

Allah s.w.t. maha mengetahui niat kita hamba-Nya. Justeru penetapan yang tegas penting untuk kita istiqamah menuju kehidupan berlandaskan Islam. Kita boleh sahaja bermula dengan perkara yang biasa namun penting, contohnya menukar penampilan. Dari atas ke bawah, cuba lihat cara pemakaian kita sekarang. Perlukah kita berubah? Ini sahajakah yang terbaik mampu kita buat? Di situ sahaja memerlukan hijrah. Lihat pula pemakanan kita.

Apakah kita sudah pilih yang terbaik? Yang halal dan juga thoyyib. Yang bersih, tidak mudarat serta baik untuk akal dan fizikal. Seterusnya lihat pula pada pekerjaan kita sekarang. Halal ataupun tidak? Berkat ataupun tidak? Puas hati? Perlu hijrah? Penilaian diri ini akan membawa kepada proses-proses seterusnya ke arah berhijrah kepada kebaikan. Memperbanyakkan amal ibadah juga adalah proses hijrah yang penting dan utama.

Memupuk sifat sabar, menahan marah, mengawal nafsu, dan membataskan pergaulan juga dituntut. Semua ini tidak mustahil, namun memerlukan strategi serta kecekalan dalam melaksanakannnya. Hijrah baginda Rasulullah s.a.w. penuh strategi dan perancangan, begitulah juga sepatutnya hijrah kita. Biar perlahan janji ada perubahan, biar lewat janji ada permulaan, biar baru janji ada keinginan. Kita mesti berhijrah daripada kufur kepada taat, daripada gelap kepada terang, daripada jarang kepada berterusan, daripada bohong kepada jujur, daripada paksaan kepada rela hati, dan daripada sekecil-kecil perkara kepada sebesar-besar perubahan baik. Insya-Allah sekiranya berazam dan berusaha, maka bertawakal kepada Allah s.w.t. sepertimana maksud dalam Surah ar-Ra’du, ayat 11:

“Sesungguhnya Allah s.w.t. akan mengubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka mengubah

nasib mereka sendiri.”

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024