Artikel

Haji, rukun Islam kelima yang wajib ditunaikan jika berkemampuan

oleh Asri Yussof pada 10 Jun 2019

Haji adalah rukun Islam kelima. Bagi mereka yang berkemampuan dari segi fizikal dengan kewangan yang kukuh, mereka wajib untuk pergi menunaikan rukun Islam kelima ini. Allah s.w.t berfirman di dalam surah Ali-Imran, ayat 97 yang bermaksud:

“Mengerjakan haji adalah kewajipan manusia terhadap Allah, iaitu (bagi) orang yang sanggup mengadakan perjalanan ke Baitullah. Barang siapa mengingkari (kewajiban haji), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) daripada semesta alam.”

Dalam satu hadis yang lain, Nabi Muhammad s.a.w bersabda,

“Islam dibangun atas lima perkara; bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Allah dan bersaksi bahawa Muhammad adalah utusan Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, puasa di bulan Ramadan dan melakukan haji ke Baitullah bagi orang yang mampu melakukan perjalanan ke sana.”

Rata-rata mereka yang pernah menjejakkan kaki ke sana (Madinah dan Mekah), pasti akan menyimpan satu perasaan yang sayu dan perasaan ingin pergi lagi menunaikan ibadah di sana. Perasaan beribadah di Masjidil Haram adalah berbeza daripada menunaikan ibadah di tempat-tempat yang lain.

Buku yang paling mengusik hati mengenai kisah haji pernah ditulis oleh Prof. Muhd Kamil. Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman bukan semata-mata sebuah buku catatan pengembaraan insan yang menunaikan fardu haji semata-mata, tetapi ia juga merujuk kepada kisah tempat, budaya, pengangkutan, makanan, minuman dan tempat-tempat menarik dan bersejarah. Ia adalah kisah perjalanan roh insan yang melangkaui kehidupan rutin manusia.

Penulis melakarkan pelbagai persoalan asas dalam kehidupan seorang Muslim. Kepercayaan kepada penciptanya, tetapi terdesak dengan kejahilan diri yang sememangnya dimiliki oleh jutaan masyarakat Islam yang lain menyebabkan beliau mencari jawapan kepada beberapa persoalan yang merunsingkan. Buku ini membawa pembaca mengenali diri sendiri dan bersedia melakukan perubahan besar dalam hidup mereka.

Dalam satu hadis yang dicatatkan oleh Abu Hurairah r.a berkata: “Aku mendengar Nabi s.a.w bersabda: “Barang siapa melaksanakan haji semata-mata kerana Allah, lalu dia tidak menuturkan (perkataan) keji dan tidak melakukan fasiq (keluar dari ketaatan), dia akan kembali kepada keadaannya seperti baru dilahirkan oleh ibunya (bersih daripada dosa).”

(Hadith riwayat al-Bukhari, No: 1521, 1829, Muslim, No: 1350, An-Nasaie, No: 2627, Ibn Majah, No: 2889).

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024