Artikel
Hak Penerbit vs. Hak Pengarang dalam Karya Adaptasi
oleh Helmi pada 14 Sep 2012
Pengarang adalah orang besar dalam menghasilkan karya maha hebat. Pengarang adalah pencetus idea dan pengarang juga yang bersengkang mata menaip setiap bait-bait ayat sehingga ia layak dipanggil sebagai sebuah karya.
Walau bagaimanapun, sebuah karya yang hebat akan berkubur sahaja sekiranya ia tidak diterbitkan bagi santapan minda khalayak umum. Peranan penerbit buku adalah sebagai penghubung antara pengarang dan khalayak itu.
Sebelum sesebuah karya itu diterbitkan, pengarang perlu menandatangani kontrak penerbitan yang mana pengarang bersetuju menyerahkan hak penerbitan kepada penerbit buku, manakala hak cipta yang akan tetap kekal sebagai harta pengarang.
Hak penerbitan ini adalah lesen eksklusif yang diberikan kepada penerbit. Antara hak-hak eksklusif yang diberikan adalah:
- hak menterjemah karya ke dalam semua bahasa
- hak melakukan penyesuaian, meringkaskan, memendekkan, memperluas dan mengadaptasi
- hak mengeluarkan semula dengan mesin dan mencetak semula
- hak mempersirikan dalam akhbar dan/atau majalah sama ada dalam bentuk asal ataupun dalam bentuk kartun dan/atau komik
- hak pementasan
- hak untuk difilemkan
- hak bagi menyiarkan melalui televisyen, radio dan apa-apa media siaran bunyi dan/atau pandang dengar
- hak dalam bentuk elektronik
- hak bagi melesenkan semula
- hak perdagangan
- hak penerbitan elektronik dan multimedia
Penerbit adalah pemegang hak penerbitan bagi pelbagai medium baik elektronik, mekanik, cetakan, audio dan lain-lain. Permohonan bagi mengeluar ulang mana-mana bahagian ataupun isi kandungan dalam karya dengan apa cara sekalipun perlu mendapat izin bertulis daripada pihak penerbit.
Trend terkini bagi kebanyakan syarikat produksi drama/filem tanah air adalah mengadaptasi novel-novel tempatan ke dalam bentuk drama, telefilem, filem dan sebagainya. Karya-karya ini dipilih bukan sahaja kerana ianya popular, tetapi kandungan dan jalan cerita unik yang dipersembahkan turut menarik perhatian syarikat produksi.
Sekiranya tawaran diberikan melalui pengarang, pengarang bertanggung jawab memaklumkan kepada pihak ketiga supaya menghubungi penerbit bagi perbincangan lanjut.
PTS Media Group Sdn. Bhd. menyokong kolaborasi yang baik ini. Sebarang pertanyaan lanjut, permohonan adaptasi dan sebagainya boleh dimajukan kepada:
Pengurus
Jabatan Pemerdagangan Harta Intelek
PTS Media Group Sdn. Bhd.
No. 12 Jalan DBP, Dolomite Business Park
68100 Batu Caves, Selangor, Malaysia
No. Tel: +603 6188 0316
Faks: +603 6189 1316
Emel: [email protected]