Artikel

Memilih Pasangan

oleh Helmi pada 20 Oct 2004

Memilih pasangan adalah proses yang penting dalam ke-hidupan seseorang. Ia juga adalah proses pertama sebelum mewujudkan hubungan yang lebih intim. Ia me-nentukan dengan siapa orang itu akan hidup bersama untuk berkasih sayang, berkongsi susah dan senang sepanjang hidupnya. Pemilihan pasangan yang tepat dapat menjamin kebahagiaan perkahwinan dan kesejahteraan keluarga dan jika sebaliknya, ia dapat menimbulkan konflik yang berpanjangan dan seterusnya mengakibatkan keruntuhan sebuah institusi keluarga.
Bukhari dan Muslim melaporkan nabi Muhammad SAW pernah berkata, “Seorang wanita dikahwini kerana empat perkara iaitu kerana hartanya, kerana kecantikannya, kerana keturunannya dan kerana agamanya. Maka pilihlah wanita yang taat beragama, nanti engkau akan beruntung.”
Hadis itu jelas menunjukkan proses memilih pasangan adalah antara proses yang penting dan kritikal dalam me-nentukan masa hadapan seseorang. Ia harus dilakukan secara teliti dan mengambil kira faktor tertentu sebelum pemilihan dilakukan.

Adakah pilihan ibu bapa lebih tepat berbanding pilihan sendiri?
Cara memilih pasangan berbeza antara satu masyarakat dengan masyarakat lain. Misalnya, siapa yang berhak membuat pilihan? Dalam sesetengah masyarakat, pemilihan pasangan untuk anak dibuat oleh ibu bapa ataupun ahli keluarga yang lebih tua. Di Malaysia khususnya, per-kahwinan yang diaturkan ini banyak berlaku pada zaman dahulu dan perubahan masa mengubah prosedur pemilihan pasangan di mana individu membuat pilihan pasangan hidupnya sendiri. Apabila sudah mengenali antara satu sama lain dengan lebih rapat, pasangan dapat mengenal pasti ciri kesamaan, ketidaksamaan serta tahap keserasian masing-masing. Tahap kesesuaian yang tinggi membuatkan kedua-duanya lebih tertarik antara satu sama lain dan membolehkan komitmen dibuat di antara kedua-dua pasangan misalnya menjalin hubungan cinta dan seterusnya mengikat tali pertunangan.
Walaupun ibu bapa kini tidak lagi terlibat secara total dalam pemilihan pasangan, mereka masih lagi menggunakan autoriti bagi menentukan kumpulan individu yang sesuai untuk dijadikan kawan dan rakan sebaya dengan andaian pasangan mereka datang dari kelompok itu juga. Pengaruh ibu bapa juga masih jelas dalam pemberian keizinan atau persetujuan ke atas pasangan yang dipilih oleh anak mereka dalam situasi masyarakat di negara ini walaupun Malaysia semakin pesat membangun dalam arus teknologi pelbagai bidang
Namun, tidak dinafikan, masih ada yang mengamalkan adat resam lama dengan andaian dan harapan bahawa pilihan yang dibuat oleh orang tua lebih tepat kerana mereka ini lebih berpengalaman. Kedua-dua cara ada kebaikan dan ada kelemahan tersendiri. Bergantung pada diri kita cara mana yang hendak diamalkan.

Apakah perkara yang perlu dipertimbangkan dalam memilih pasangan?
Walau apa pun prosedur yang dipilih, terdapat faktor-faktor yang perlu dipertimbangkan dalam proses memilih pasangan. Faktor pemilihan itu bergantung pada cita rasa dan matlamat seseorang dalam kehidupan perkahwinan-nya. Antaranya adalah ciri sekufu, umur dan status kesihatan. Sekufu yang dimaksudkan merangkumi aspek agama, keturunan, kecantikan dan harta.

Ciri sekufu
Konsep sekufu dalam Islam bagi memilih pasangan misalnya, sesuai diaplikasikan oleh semua bangsa khusus-nya di negara ini. Kufu digalakkan kerana ia penting kepada suami dan isteri dalam membentuk keluarga yang bahagia kerana perkahwinan adalah ikatan sepanjang hayat. Walaupun begitu, konsep ini lebih dititikberatkan pada pihak perempuan demi mengelakkan keaiban ke atas keluarga pihak perempuan apabila memilih lelaki yang lebih rendah kufunya. Sebaliknya, lelaki yang memilih wanita yang lebih rendah tarafnya dapat mengangkat taraf isterinya mengikut kedudukan suami. Dalam konsep ini, terdapat empat perkara penting yang perlu dipertimbang-kan dalam memilih pasangan.

Agama
Individu digalakkan mencari pasangan yang seagama. Ini bertujuan memudahkan proses penyesuaian apabila mereka berkahwin kelak. Malahan, bagi memilih bakal suami, wanita juga digalakkan mencari lelaki yang soleh, tajam pemikiran, dan mempunyai pendidikan agama yang sempurna supaya suami dapat melayani isteri dengan baik dan memberi nafkah yang sewajarnya. Pada kebiasaannya, pihak orang tua memikirkan asal usul keturunan dan harta tetapi jarang menitikberatkan soal keimanan. Sesungguhnya rupa paras dan harta tidak kekal lama tetapi iman mampu bertahan walaupun jasad sudah dimamah usia. Antara kelebihan orang yang beriman adalah hatinya lebih tulus, kesabarannya tinggi dan tingkah lakunya lebih mulia.
Walau bagaimanapun, tidak salah memilih pasangan yang berlainan agama ataupun bangsa untuk dijadikan teman hidup dan ini dikenali sebagai ‘perkahwinan campur’. Namun, bagi individu beragama Islam yang ingin mengahwini pasangan bukan Islam, pasangan itu mesti memeluk Islam terlebih dahulu. Malahan, per-kahwinan campur dikatakan mampu meluaskan jaringan sosial lebih-lebih lagi dalam negara Malaysia yang mengamalkan masyarakat majmuk. Isu yang timbul di sini adalah proses penyesuaian yang lebih rumit perlu dilakukan oleh pasangan kahwin campur demi menjamin kejayaan perkahwinan itu.

Kelas sosial atau keturunan
Mengikut konsep sekufu, individu juga digalakkan memilih pasangan yang setaraf daripada segi kelas sosial. Ini bertujuan mewujudkan kesamaan daripada segi status sosioekonomi bagi memudahkan penyesuaian per-kahwinan. Memilih pasangan daripada kelas sosial yang sama juga bertujuan mewujudkan budaya yang sama daripada segi persekitaran tempat tinggal dan amalan gaya hidup seharian seperti makan minum, aktiviti berbelanja, aktiviti masa lapang dan pergaulan dengan kawan. Ini kerana individu dalam kelas sosial yang berbeza mengamalkan cara gaya hidup yang berlainan. Namun, daripada aspek positif, perkahwinan antara dua kelas sosial ini mampu merapatkan jurang sosial dan ekonomi yang memang sudah wujud sejak zaman ber-zaman.

Ciri individu khususnya kecantikan
Tarikan kepada ciri individu khususnya kecantikan adalah faktor yang mendorong kita mendampingi se-seorang. Individu akan tertarik dengan orang lain yang berlawanan jantina berdasarkan ciri-ciri fizikal yang ada padanya. Antaranya adalah kecantikan paras rupa, bentuk badan dan penampilan yang menarik serta bijak mengatur kata-kata. Malahan, tarikan fizikal inilah yang memulakan perhubungan intim sehingga pasangan itu memikirkan kesesuaian lain yang perlu ada bagi meneruskan hubungan hingga ke gerbang perkahwinan.
Terdapat juga individu yang memilih pasangannya ber-dasarkan ciri kesamaan. Mereka memilih pasangan yang mempunyai ciri kesamaan seperti sikap, cara berfikir dan faktor fizikal. Misalnya, individu yang mengalami cacat penglihatan berkahwin dengan pasangan cacat peng-lihatan juga. Namun, terdapat juga individu yang mempunyai cita rasa yang berlainan di mana mereka mencari pasangan yang mempunyai ciri yang tidak sama dengan diri mereka di mana ini dirujuk sebagai konsep saling melengkapi. Misalnya individu kurang bijak mencari pasangan yang lebih bijak supaya memperoleh zuriat yang mempunyai daya intelektual yang tinggi. Ada juga individu yang kurang berharta namun seorang yang penyabar mendapat jodoh (pasangan) yang lebih berharta tetapi kurang penyabar. Inilah yang dikatakan sebagai saling melengkapi dalam keseluruhan hubungan pasangan itu.

Kesesuaian tret personaliti juga penting dalam memilih pasangan hidup. Ada individu yang tertarik kepada individu lain yang mempunyai tret personaliti yang sama dengannya. Apabila mempunyai tret personaliti yang sama masing-masing dapat saling memahami. Dengan andaian ini individu itu menjangkakan apabila hidup bersama nanti mereka lebih mudah menyesuaikan diri. Walau bagaimanapun, ada juga individu yang bercita rasa sebaliknya. Walaupun begitu, kepercayaan lama menyatakan bahawa kedua-dua pasangan lebih sesuai apabila mempunyai ciri yang bertentangan, misalnya seorang yang bersifat seperti ‘api’ (pemarah) sesuai dijodohkan dengan seorang yang bersifat ‘air’(tenang atau penyabar). Namun, sejauh mana kebenaran ini masih belum dapat dikenal pasti kerana tiada kajian saintifik yang dapat menunjukkan kesesuaian hubung kait antara personaliti suami dan isteri.
Walau bagaimanapun, terdapat sedikit perbezaan dalam aspek memilih pasangan pada masa kini berbanding dengan suatu masa dahulu. Misalnya, wanita dahulu lebih mementingkan kekukuhan ekonomi bakal suami tetapi kini keadaan berubah. Ini kerana kebanyakan wanita kini mempunyai pekerjaan dan memiliki sumber ekonomi sendiri di mana keadaan ini mengurangkan pergantungan wanita pada lelaki. Namun begitu, wanita mahupun lelaki kini lebih mementingkan aspek seperti kejujuran, ketulusan hati budi dan kepintaran.


Fakta Psikologi
Memahami Sifat Malu
Malu adalah sejenis tret personaliti yang merujuk pada kecenderungan mempunyai perasaan halangan sosial atau mengelak untuk berhubung dengan orang lain. Antara ciri individu yang malu adalah mengelak mewujudkan hubungan mata, mengelak daripada bercakap atau bercakap dengan suara yang terlalu perlahan, sukar, gementar ataupun tidak selesa untuk bercakap dengan orang yang tidak biasa.
Walau bagaimanapun, sifat malu yang sederhana dan bertempat adalah normal dan ia adalah sifat mulia seorang Muslim. Namun, malu yang keterlaluan selalu dikaitkan dengan aspek negatif seperti kemurungan, kesunyian, ketakutan, estim diri yang rendah dan pengasingan sosial.
Sifat malu ini sebenarnya berpunca daripada beberapa faktor seperti kurang kemahiran sosial dan kebimbangan sosial (terlalu memikirkan kesempurnaan dalam suatu perkara yang melibatkan orang lain). Walaupun begitu, beberapa perkara boleh dilakukan bagi mengurangkan sifat malu yang keterlaluan dan tidak bertempat. Antaranya adalah:

Mempertingkatkan kemahiran sosial. Contohnya, cara berhubung dengan individu lain dari-pada pelbagai golongan, memulakan perbualan.

Melalui perbualan. Contohnya, mulakan perbualan dengan melontarkan soalan berkaitan pengenalan diri kemudian disusuli dengan soalan terbuka bagi merancakkan lagi sesi perbualan.

Taraf pendidikan
Taraf pendidikan selalunya dikaitkan dengan pekerjaan atau jawatan yang dipegang oleh seseorang. Sekufu daripada segi taraf pendidikan pula dikaitkan dengan kesamaan daripada segi status sosioekonomi. Secara umumnya, dua individu yang mempunyai taraf pen-didikan yang sama lebih mudah memperoleh kesesuaian dalam pelbagai aspek seperti cara berfikir, berkomunikasi dan bergaul dengan orang di sekeliling. Memilih pasangan yang setaraf daripada segi pendidikan juga bertujuan supaya masing-masing tidak berasa rendah diri dengan keupayaan dan pencapaian masing-masing.
Walau bagaimanapun, terdapat juga individu yang lebih selesa memilih pasangan yang mempunyai taraf pen-didikan berbeza. Daripada aspek positif, pemilihan sebegini berupaya menjamin kemantapan ekonomi bagi pasangan individu yang bertaraf pendidikan lebih rendah.
Ciri sekufu yang dianjurkan bertujuan mewujudkan ciri persamaan selain mengurangkan jurang perbezaan antara kedua-dua pasangan bagi memudahkan proses penyesuaian perkahwinan. Matlamat ciri sekufu ini adalah hendak memperoleh kejayaan dan kebahagiaan dalam perkahwinan supaya perkahwinan itu berkekalan sehingga akhir hayat kedua-dua pasangan itu.
Namun, ini tidak bermakna memilih pasangan yang tidak berada dalam kufu yang sama tidak mampu menjamin kejayaan sesebuah perkahwinan. Ia masih dapat dicapai apabila penyesuaian dibuat secara bijaksana. Ulama mazhab Shafie juga berpendapat, perkahwinan antara pasangan tidak sekufu adalah perkahwinan yang sah apabila mendapat persetujuan daripada pihak perempuan.

Umur
Pemilihan umur turut menjadi persoalan penting dalam pemilihan pasangan. Lazimnya, individu memilih pasangan yang berada dalam kelompok umur yang sama. Bagi lelaki, mereka lebih selesa memilih wanita yang sebaya ataupun lebih muda. Bagi wanita pula, mereka lebih selesa memilih lelaki yang sebaya ataupun sedikit tua daripadanya. Ini sesuai dengan kehendak tugas dan tanggungjawab suami isteri di mana suami menjadi pelindung kepada isteri perlulah bersikap dewasa dan berfikiran matang. Manakala, isteri pula seorang yang dilindungi, sesuai dengan sikap lemah lembut dan setia kepada suami.
Namun, terdapat juga sesetengah golongan masyarakat yang mempunyai cita rasa yang berlainan dalam hal ini. Mereka mempunyai alasan yang tersendiri atas pilihan yang dibuat. Misalnya, lelaki yang memilih wanita yang lebih berusia daripadanya dengan alasan wanita seperti ini berfikiran matang, tidak terlalu bergantung dan mampu berdikari.

Status kesihatan
Memandangkan zaman semakin maju dan mencabar, manusia mengamalkan gaya hidup yang serba moden. Penyakit kronik pula semakin mudah menyerang manusia. Oleh yang demikian, setiap individu yang hidup dalam zaman moden ini mempunyai risiko yang tinggi mendapat serangan penyakit itu.
Kemajuan arus pembangunan menuntut manusia bekerja dengan lebih keras dan merebut peluang yang ada hingga kurang masa hendak beriadah dan bersenam. Selain itu, kewujudan makanan segera khususnya yang tinggi koles-terol turut menjejaskan kesihatan manusia. Pencemaran turut menjadi faktor yang boleh memberi masalah kesihatan selain tekanan kerja yang dapat mendatangkan risiko ke atas kesihatan mental.
Oleh yang demikian, status kesihatan turut menjadi pertimbangan bagi sesetengah individu dalam membuat pilihan pasangan hidupnya supaya memudahkan pasangan itu menempuh alam perkahwinan bersama-sama serta menjamin zuriat yang sihat demi kesinambungan generasi.
Perkara-perkara lain yang perlu dipertimbangkan
Terdapat faktor sampingan yang turut dipertimbangkan dalam membuat pilihan pasangan hidup. Ada individu yang mengatakan faktor ini pelik, namun ada individu yang memikirkan hingga ke tahap yang begitu terperinci. Antaranya adalah bilangan adik-beradik pihak pasangan. Ada individu yang tidak selesa pasangannya mempunyai adik beradik yang ramai ataupun sebaliknya atas sebab peribadi atau pengalaman orang lain berkenaan kebaikan dan keburukan terutama berkaitan aspek perhubungan keluarga.
Aturan kelahiran turut diambil kira bagi sesetengah individu. Mengikut kepercayaan lama, ia penting bagi menentukan keserasian misalnya daripada segi perwatakan dan tret personaliti. Di samping itu, ada juga yang mengambil kira tarikh lahir dalam menentukan kesesuaian antara pasangan. Namun, daripada segi kajian saintifik, belum ada bukti kukuh yang dapat mengaitkan aturan kelahiran dengan personaliti seseorang. Walau bagaimana-pun, sejauh mana kebolehpercayaannya bergantung pada pendapat masing-masing.
Ada juga individu yang mahukan pasangan pilihan mereka itu anak yatim piatu kerana berandaian pasangan itu tidak terkongkong atau terikat dengan keluarga di sebelah pasangan daripada segi tanggungjawab, komitmen dan sebagainya. Pilihan yang dibuat oleh semua individu bergantung pada rasionalistik, pengalaman dan kesedaran diri serta matlamat hidup masing-masing.
Sejauh mana faktor itu diambil kira dan dipertimbangkan oleh setiap individu bergantung pada keperluan dan kehendak individu.


Siapa yang berhak menentukan pasangan hidup kita?
Siapakah yang terlibat dalam memilih pasangan? Diri sendiri, ibu bapa, ahli keluarga lain ataupun pengaruh rakan? Jawapan pada persoalan ini berbeza antara individu dan masyarakat serta berlainan mengikut peredaran zaman.
Mengikut cara tradisional, pemilihan pasangan dilakukan oleh ibu bapa atau ahli keluarga lain yang lebih tua. Tradisi turun-temurun ini menjadi amalan masyarakat sejak ber-abad lamanya. Oleh yang demikian, pemilihan pasangan oleh mereka yang mempunyai autoriti dalam keluarga ini dianggap tepat kerana pemilihan dilakukan oleh orang yang berpengalaman dan mampu menjamin kebahagiaan pasangan hingga ke akhir hayat mereka.
Apabila zaman berubah di mana anak-anak mempunyai status sosioekonomi yang lebih baik, anak-anak mula membuat pilihan sendiri dengan andaian ibu bapa tidak memahami kehendak mereka ataupun pilihan ibu bapa kurang sesuai dengan cita rasa mereka. Namun, kedudukan ibu bapa dan ahli keluarga lain tetap dihormati di mana mereka ini masih berkuasa memberi persetujuan sebelum seseorang itu membuat keputusan berkenaan pemilihannya.
Selain ibu bapa, tidak dapat dinafikan, wujud pengaruh rakan dalam pemilihan pasangan. Biasanya dalam situasi sebegini, rakan itu harus seorang yang boleh dipercayai, jujur dan mengenali bakal pasangan dengan lebih dekat ataupun sekurang-kurangnya mempunyai maklumat diri dan latar belakangnya. Dalam hal ini, rakan turut ber-peranan dalam membuat penilaian ke atas kesesuaian pasangan yang dipilih. Walau bagaimanapun, seseorang itu haruslah membuat pertimbangan yang wajar dan rasional selepas mengambil kira pendapat orang lain dalam soal pemilihan ini.
Walau bagaimanapun, situasi yang paling biasa dunia masa kini dalam pemilihan pasangan adalah pilihan sendiri. Ini berikutan pihak-pihak lain tidak sanggup dipersalahkan apabila pasangan itu mengalami masalah atau konflik apabila berkahwin kelak. Ini juga memberi laluan kepada individu itu untuk rasa berpuas hati dengan pilihannya sendiri dan bertanggungjawab atas pilihannya dan ber-usaha mencapai kebahagiaan dalam perkahwinan tanpa campur tangan orang lain.


Apakah faktor yang mendesak seseorang supaya mencari pasangan?
Tidak dapat dinafikan, terdapat juga individu yang meng-alami desakan dalam mencari pasangan untuk dijadikan teman hidup. Jika tiada desakan itu, seseorang itu mungkin lewat mencari pasangan ataupun tidak berfikir langsung berkenaannya.
Terdapat beberapa faktor yang mendesak seseorang itu untuk mencari pasangan. Antaranya adalah:
Iri hati dengan kebahagiaan orang lain: Ada antara individu yang iri hati dengan kebahagiaan perkahwin-an kawan atau ahli keluarga, lalu timbul keinginan hendak mencari pasangannya bagi merasa sendiri nikmat mempunyai pasangan.
Faktor usia: Terdapat juga individu yang terpaksa mencari pasangan hidup kerana usia sudah semakin lanjut dan bimbang dirinya akan ‘tidak laku’ kelak.
Desakan keluarga ataupun orang di sekeliling: Tidak kurang juga individu yang terpaksa mencari pasangan kerana sudah termakan desakan keluarga ataupun rakan di sekeliling.
Apakah alat bantu atau individu yang dapat membantu saya menemui pasangan?
Kebiasaannya, kebanyakan individu menemui pasangannya buat kali pertama melalui orang perantaraan ataupun bertemu sendiri dengan pasangan itu di tempat yang tidak disangka dan secara tidak disengajakan. Pertemuan ini meninggalkan kenangan yang manis pada setiap pasangan.
Antara perantara yang biasa menemukan pasangan ini adalah:
Ahli keluarga
Kawan
Rakan sekerja
Media seperti majalah, melalui ruangan khas seperti ‘sahabat pena’, ‘ahli kelab bulan ini’ ataupun ‘mari berkenalan’.
Internet
Pertemuan yang tidak disengajakan pula berlaku di banyak tempat awam. Antara tempat itu adalah:
Sekolah atau pusat pengajian tinggi
Tempat kerja
Restoran atau tempat makan lain
Majlis keagamaan
Pasar raya, perpustakaan, kedai buku
Di dalam kenderaan awam seperti bas, kapal terbang ataupun teksi

Bagaimana proses memilih pasangan berlaku?
Sebahagian besar individu mengalami proses yang hampir sama dalam memilih pasangan. Terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi dan tahap yang terlibat dalam proses ini.
Kedudukan geografi adalah antara faktor yang paling penting dalam menemukan pasangan. Ini kerana kerapatan kedudukan geografi meningkatkan peluang seseorang untuk bertemu dan seterusnya merapatkan hubungan dengan pasangannya apabila memperoleh kesesuaian. Misalnya, ramai yang bertemu jodoh rakan satu sekolah ataupun satu universiti, rakan sepejabat ataupun jiran sekampung. Walaupun begitu, tidak dinafikan terdapat juga individu yang bertemu dengan pasangan yang bukan daripada persekitaran fizikal terdekat. Sebagai contoh, ada individu yang bertemu dengan pasangan ketika pergi bercuti di suatu tempat yang jauh dari kampung halaman-nya.
Apabila wujud peluang, perkara pertama yang biasanya menjadi daya penarik seseorang untuk terpikat ataupun meminati seseorang yang lain adalah kecantikan luaran. Ini memang tidak dinafikan dan diakui oleh ramai orang. Daya tarikan fizikal yang ada pada seseorang itu menghasilkan pertemuan kali pertama. Semasa pertemuan kali pertama ini, kedua-dua individu membuat penilaian ke atas aspek lain termasuk sikap, nilai yang dipegang dan tingkah laku. Pertemuan demi pertemuan dilakukan dalam proses mengenali hati budi masing-masing.
Homogamy adalah suatu konsep di mana masing-masing merasai ada persamaan atau keserasian antara satu sama lain hasil interaksi dan perbualan semasa pertemuan. Seterusnya, sebuah perhubungan yang erat akan terbentuk antara individu lelaki dan perempuan itu. Maka, apabila bersedia dan jodoh sudah sampai, kedua-duanya diikat secara sah dan sebuah hubungan perkahwinan terbentuk.
Demikianlah secara ringkas proses yang akan dilalui oleh seseorang bagi menemui pasangan hidupnya. Walaupun ramai individu yang berjaya menghabiskan proses itu dan bertemu dengan pasangan hidupnya tanpa bertukar pasangan temu janji atau dating, namun tidak kurang juga individu yang tidak dapat meneruskan proses dan terpaksa menukar pasangan temu janji kerana tidak memperoleh keserasian pada pasangan yang sebelumnya. Ini suatu yang lumrah, jika tidak ia tidak dikatakan sebagai proses pemilihan!

Senarai Semak Diri
Menilai keserasian hubungan
Sekiranya saudara sudah mempunyai kenalan baru, teman, kekasih ataupun bakal pasangan hidup, saudara boleh menilai sejauh mana keserasian hubungan saudara berdua berdasarkan skala atau alat ukuran di bawah. Alat ini adalah The Relation-ship Rating Form (RRF) yang dicipta oleh Davis (1996). Ia mengandungi 68 soalan yang merangkumi dimensi seperti toleransi, hormat, percaya, intimasi, keseronokan, komitmen dan konflik.
1 Adakah saya menerimanya seadanya?
2 Adakah saya sanggup memaafkan kesalahan kecil yang telah dilakukannya?
3 Adakah mudah bagi saya untuk memaafkannya?
4 Pernahkah dia mengecewakan saya?
5 Adakah saya menghormatinya?
6 Adakah dia membuat penilaian yang buruk terhadap sesuatu perkara penting?
7 Adakah dia memberi kesan yang baik kepada saya?
8 Adakah dia menjadi asas kepada cetusan ide dan rancangan yang baik?
9 Adakah saya mempercayainya?
10 Bolehkah saya bergantung kepadanya?
11 Pernahkah dia lupa akan kebajikan saya?
12 Pernahkah dia mempergunakan saya?
13 Adakah saya dan dia berbincang secara terbuka mengenai perkara peribadi?
14 Adakah saya meluahkan perasaan saya berkenaan apa-apa perkara kepadanya?
15 Pernahkah saya merasakan bahawa terdapat sesuatu perkara berkenaan saya yang dia tidak akan dapat faham?
16 Pernahkah saya merasakan bahawa terdapat beberapa perkara berkenaan saya yang dia tidak perlu ambil tahu?
17 Adakah saya mengetahui jenis manusia apakah dia?
18 Adakah tingkah lakunya memeranjatkan atau membuatkan saya terfikir akan tingkah lakunya itu?
19 Adakah saya mengetahui kesalahan dan keburukannya?
20 Adakah saya mengetahui kisah silamnya?
21 Adakah saya selalu terfikir-fikir tentangnya?
22 Adakah saya merasakan suatu ketenangan dengan hanya melihat atau memerhatikannya?
23 Adakah saya memikirkannya apabila dia tidak bersama saya?
24 Adakah suatu perkara yang saya lakukan hanya dengannya?
25 Adakah saya mempunyai perasaan yang tertentu pada dirinya sahaja dan tidak pada orang lain?
26 Adakah saya akan merasa tertipu atau terluka jika dia mempunyai perhubungan dengan orang lain seperti mana perhubungan saya dengannya?
27 Adakah saya dan dia mempunyai cara yang tersendiri dalam melakukan sesuatu perkara?
28 Adakah saya mempunyai perhubungan yang rapat dengannya?
29 Adakah saya mendapati bahawa dia mempunyai daya tarikan seksual?
30 Adakah saya seronok apabila dibelai atau membelainya?
31 Adakah saya sanggup berkorban untuk meminjamkan sejumlah wang kepadanya?
32 Adakah dia sanggup berkorban untuk saya apabila saya berada dalam keadaan bahaya?
33 Dapatkah dia memberikan yang terbaik untuk saya?
34 Adakah saya bersedia berkorban untuknya?
35 Adakah saya mempercayainya untuk memberikan tanggapan orang lain mengenai diri saya?
36 Adakah dia akan menyebelahi saya apabila saya terlibat dengan perselisihan faham dengan orang lain?
37 Bolehkan saya menggunakannya untuk memperjuangkan kepentingan saya apabila berlaku konflik antara kepentingan saya dengan kepentingan orang lain?
38 Bolehkah saya mengharapkan dia apabila saya memerlukan pertolongan?
39 Bolehkah dia mengharapkan kepentingan saya apabila diperlukan?
40 Adakah dia akan memberitahu pendapatnya yang sebenar tanpa mengira dia bersetuju atau pun tidak bersetuju dengan saya?
41 Adakah saya akan memberitahu pendapat saya yang sebenar tanpa mengambil kira pendapatnya?
42 Adakah saya bahagia dengan perhubungan saya bersamanya?
43 Adakah perhubungan saya dengannya telah memenuhi keperluan saya?
44 Adakah perhubungan saya dengannya merupakan suatu kejayaan?
45 Adakah saya seronok melakukan sesuatu perkara dengannya berbanding dengan orang lain?
46 Adakah saya seronok melakukan kerja dengannya di mana jika sebaliknya saya tidak akan merasa seronok?
47 Adakah saya seronok bersamanya?
48 Adakah dia mempunyai perasaan yang sama terhadap saya sepertimana saya terhadapnya?
49 Adakah dia mengambil berat berkenaan saya?
50 Adakah saya merasakan bahawa dia mengambil berat berkenaan saya seperti mana saya mengambil berat berkenaan dirinya?
51 Adakah dia membuatkan saya rasa diri saya berguna dan istimewa?
52 Adakah dia membuatkan saya merasa bangga dengan diri saya?
53 Pernahkah saya bergaduh dengannya?
54 Pernahkah dia melayan saya secara tidak adil?
55 Pernahkan hubungan saya dengannya mengalami ketegangan?
56 Pernahkah saya merasakan bahawa saya tidak pasti berkenaan perasaan saya terhadapnya?
57 Adakah dia terlalu banyak mengambil masa saya?
58 Adakah saya merasakan bahawa diri saya terperangkap dalam perhubungan dengannya?
59 Adakah saya berbincang mengenai perhubungan saya berdua?
60 Adakah saya dan dia cuba untuk menyelesaikan masalah yang timbul antara siri saya berdua?
61 Adakah saya cuba mengubah sesuatu demi memperbaiki hubungan saya berdua?
62 Adakah saya komited dengan perhubungan saya dengannya?
63 Adakah dia pasangan hidup idaman saya?
64 Adakah saya menjangkakan hubungan saya berdua akan berkekalan?
65 Adakah dia komited dengan perhubungan saya berdua?
66 Pernahkah dia memaksa saya berbuat sesuatu yang saya tidak mahu lakukan?
67 Pernahkah saya memaksa dia untuk melakukan sesuatu yang dia tidak mahu lakukan?
68 Adakah terdapat keadilan dalam perhubungan saya berdua?


Sesudah selesai menjawab soalan-soalan di atas lakukan penilaian ke atas jawapan yang diberi berdasarkan panduan yang diberikan di bawah:
Sekiranya jawapan saudara adalah ‘Ya’ atau ‘Pernah’ untuk semua soalan, saudara memang hebat. Ini me-nunjukkan saudara benar-benar mengenalinya.
Sekiranya jawapan saudara adalah ‘Ya’ atau ‘Pernah’ untuk soalan-soalan lain selain daripada soalan 4, 6,11, 12, 15, 18, 19, 56, 57, 58, 66 dan 67, syabas! diucapakn kerana saudara sudah bertemu dengan pasangan yang serasi.
Sekiranya saudara menjawab ’Ya’ atau ‘Pernah’ pada soalan 4, 6,11, 12, 15, 18, 19, 56, 57, 58, 66 dan 67, saudara perlu lebih berhati-hati.
Senarai semak itu diharap dapat membantu saudara dalam menilai sejauh mana saudara serasi dengan pasangan pilihan saudara. Senarai semak itu juga diharap dapat membantu saudara membuat keputusan dengan lebih teliti berhubung dengan pemilihan pasangan hidup.


Sudut Informasi
Ciri calon suami yang baik
Mampu dalam aspek fizikal, mental dan ekonomi.
Boleh dijadikan sebagai pengganti ibu ayah.
Pandai menjaga darjat diri dan mengotakan apa yang dikata.
Berkebolehan mengurus rumah tangga.
Mempercayai isteri dan tidak mudah bersangka buruk.
Rajin, berfikiran luas dan tidak makan harta isteri.
Mudah memaafkan.
Datang daripada keturunan orang baik lagi rajin ber-ibdah.

Fakta Sains
Menilik minda pasangan
Adakah pasangan saudara seorang yang kidal? Seorang yang kidal (dominan tangan kiri) sebenarnya mempunyai kelebihan dalam aspek kemahiran tertentu seperti imaginasi, visual dan muzik. Ini kerana individu yang dominan tangan kiri lebih mendominasi bahagian kanan otak di mana di bahagian hemisfera kanan ini terletak kemahiran tertentu seperti kemahiran mempersepsi (kenal pasti corak, wajah, melodi dan melukis), bahasa mudah dan nombor serta boleh merasai perasaan orang lain. Walau bagaimanapun, ini tidak bermakna orang yang dominan tangan kanan (dominasi hemisfera kiri) tiada kelebihan. Individu yang dominan tangan kanan biasa-nya mempunyai kemahiran matematik dan bahasa yang baik (bertutur, menulis dan pemahaman) serta mahir dalam ko-ordinasi aturan pergerakan yang kompleks.
Kepintaran
Kepintaran berkait rapat dengan pemikiran dan kemahiran menyelesaikan masalah. Ahli psikologi berpendapat, kepintar-an adalah keupayaan keseluruhan individu berfikir secara rasional, bertindak secara bererti dan berurusan secara efektif dengan persekitarannya. Ini banyak berkait dengan minat, aktiviti kegemaran dan kerjaya seseorang. Kepintaran di-kategorikan kepada lapan jenis iaitu:
Bahasa (penulis, peguam)
Logik dan matematik (saintis, akauntan)
Pemikiran visual dan ruang (jurutera, arkitek)
Muzik (pemuzik, komposer lagu)
Kemahiran kinestetik badan (penari, ahli sukan)
Kemahiran intrapersonal (penyair, pelakon)
Kemahiran interpersonal (ahli psikologi, ahli politik, guru)
Kemahiran naturalis (ahli biologi, ahli perubatan, pe-ladang organik)
Kebanyakan individu biasanya mempunyai kelebihan dalam beberapa aspek kepintaran di atas. Walau bagaimanapun, kepintaran seseorang bergantung pada sejauh mana keboleh-annya mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian.

 

 

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024