Artikel

Hidup Bahagia

oleh Helmi pada 27 Aug 2004

RAMAI orang salah sangka. Mereka menyangka apabila kedua-dua pihak suami dan isteri sama-sama menjalankan tanggungjawabnya dengan baik, maka perkahwinan mereka akan bahagia. Ini tidak benar. Pakar-pakar psikologi dan kaunseling rumah tangga mengesahkan ramai orang yang meskipun mereka menjalankan tanggungjawab dengan baik, tetapi mereka tidak berasa bahagia. Sebagai contoh, ramai isteri menjalankan tanggungjawab mereka dengan taat dan tekun, tetapi jiwa mereka terseksa. Demikian juga halnya, terdapat ramai suami yang dengan segala susah payah memikul tanggungjawab, tetapi mereka tahu jiwa mereka tidak bahagia.

Apabila seseorang itu mempunyai rasa tanggungjawab, maka perasaan itu boleh mendorongnya sanggup melakukan perkara-perkara yang baik, meskipun batin mereka sangat terseksa. Sebagai contoh, didorong oleh rasa tanggungjawab, seorang bekas suami sanggup terus-menerus menanggung wang saku bekas isterinya sebanyak RM2 ribu sebulan meskipun bekas isterinya meracuni fikiran semua anak-anaknya dan tidak membenarkan dia menghubungi seorang anaknya yang masih berada dalam jagaan bekas isterinya.

Sangkaan apabila kedua-dua belah pihak suami dan isteri sudah menjalankan tugas dan tanggungjawab masing-masing dengan baik, maka secara automatik, iklim bahagia akan wujud antara mereka berdua, itu adalah sangkaan yang salah. Rasa bahagia bukan datang daripada rasa tanggungjawab ataupun daripada perbuatan melaksanakan sesuatu tanggungjawab. Ramai orang yang menjalankan tugas-tugas dan tanggungjawab mereka sebagai suami ataupun isteri dengan baik, tetapi jiwa mereka tidak seronok dan tidak gembira dalam hubungan mereka sebagai suami isteri.

Sebagai contoh, ramai isteri mengadu segala penat lelah mereka tidak dihargai oleh suami mereka kerana mereka tidak pernah menerima sebarang kata-kata pujian dan sanjungan daripada suami. Begitu pula terdapat ramai suami yang berasa segala pengorbanan mereka untuk menyukakan hati isteri tidak dihargai oleh isteri mereka. Mereka bekerja bertungkus-lumus untuk memberi kesenangan kepada isteri, tetapi tidak sepatah pun mereka menerima ucapan penghargaan. Yang mereka terima adalah pelbagai leteran, rungutan, kritikan dan teguran. Pantang mereka tersilap sedikit, mereka akan dituduh macam-macam oleh isteri.

Pakar-pakar memberitahu iklim bahagia datang daripada emosi yang puas, tenang dan seronok bahagia bukan datang daripada rasa tanggungjawab. Iklim bahagia datang daripada emosi suami kepada isterinya, dan daripada emosi isteri terhadap suaminya. Ramai isteri yang berasa sangat bahagia walaupun suami mereka tidak mampu menjalankan semua tanggungjawabnya. Sebagai contoh, gaji suami tidak mampu membayar segala kos saraan keluarga. Dengan rasa gembira si isteri mengambil tugas membayar sebahagian kos itu, dan isteri-isteri itu bahagia dapat melakukan tugas itu. Ada kalanya terdapat isteri yang tidak berdaya membuat semua kerja rumah, tetapi suami mereka dengan gembira mengambil alih sebahagian daripada tugas-tugas isteri mereka. Memang benar, rasa tanggungjawab mendorong kita melakukan perkara-perkara yang baik bagi keluarga, tetapi sebenarnya, rasa bahagialah yang mendorong kita melakukan perkara-perkara yang sama tetapi dengan cara yang lebih baik lagi.

Rasa bahagia datang daripada kemahiran berinteraksi antara suami isteri. Ramai orang tidak memiliki kemahiran bercinta-cintaan dan berkasih-kasihan. Lebih ramai orang yang menyangka kita tidak memerlukan kemahiran itu. Mereka menyangka, apabila kita mencintai seseorang, secara automatik kita akan menyukai orang itu dengan cara yang betul. Ini sangat tidak benar. Ia seperti pendapat yang mengatakan, apabila kita suka kepada permainan bola sepak, secara automatik kita akan pandai menyepak bola itu dengan cara yang betul.

Selama ini kita menyangka, oleh kerana jatuh cinta berlaku secara natural, iaitu dengan tidak payah diajar dan tidak payah belajar, maka kita juga boleh bercinta secara natural. Justeru, idea supaya kita belajar teknik-teknik yang betul untuk bercinta dianggap mengada-ngada dan keterlaluan.

Dalam bercinta, kita contohi sikap pelombong emas. Apabila mereka melombong emas, mereka mengangkat bertan-tan tanah dan lumpur kotor bagi mendapatkan emas yang sedikit. Namun, mereka berpegang kepada falsafah, yang mereka cari adalah emas, bukan tanah dan lumpur. Jadi, mereka tidak nampak lumpur yang bertantan itu, yang dipandang adalah emasnya. Untuk berbahagia, begitulah keadaannya apabila kita mencintai seseorang. Yang dicari adalah kebaikan orang itu, bukan kelemahan, kekurangan, kesilapan dan kesalahannya. Yang patut diiktiraf, dihargai, disebut dan dipuji adalah kebaikannya. Tetapi ramai orang meleteri, merungut, mengkritik, mengungkit, mencemuh, menegur dan mencela kekurangan pasangannya.

Dalam semua perkahwinan, suami dan isteri sama-sama mempunyai pengharapan ke atas satu sama lain dan ke atas perkahwinan mereka. Harapan yang pertama adalah harapan untuk dapat menikmati kemesraan, keseronokan, kebahagiaan dan keintiman. Kedua adalah harapan dapat menikmati rasa kepuasan. Ketiga adalah harapan mereka akan saling percaya-mempercayai, saling hormat-menghormati, cinta-mencintai, jujur dan setia.

Rasa bahagia tidak datang daripada harta, pangkat, rupa paras dan lain-lain seperti itu. Rasa bahagia datang apabila kita berasa kita mendapat banyak faedah dan ganjaran daripada perkahwinan kita itu dan daripada pasangan kita. Orang yang puas, dan oleh itu dia bahagia, mempunyai dorongan dan motivasi untuk meneruskan kasih sayang yang ada, dan untuk memupuk lagi kasih sayang itu supaya tambah memuaskan kedua-dua belah pihak. Jadi, rasa puas adalah pendorong paling kuat mengapa orang mahu mengekalkan hubungan mereka, ataupun mengakhirinya.

Leteran, teguran, kritikan, ungkit dan cemuhan mencipta iklim konflik. Konflik menghapuskan harapan-harapan untuk masa depan bersama. Setiap kali berlaku konflik, jumlah harapan masa depan bersama semakin kurang. Rancangan masa depan bersama adalah sangat penting. Semua pasangan kekasih pernah berjanji. Jumlah janji mempunyai ikatan rapat dengan komitmen. Semakin banyak janji, semakin tinggi komitmen. Semakin kurang janji, semakin kurang komitmen. Yang menyebabkan janji dibatalkan adalah konflik. Setiap kali kita bergaduh dan bertengkar, setiap kali ada janji yang dibatalkan. Ini adalah kerana pergaduhan dan pertengkaran mengurangkan motivasi kita untuk terus berpegang pada janji dan menunaikannya.

Jumlah konflik mencerminkan aras ketidakbahagiaan. Dalam keadaan bahagia, jumlah konflik tidak banyak. Semakin tipis kebahagiaan, jumlah konflik meningkat. Keadaan ini boleh berlaku walaupun pada saat yang sama kedua-dua belah pihak suami dan isteri masih menjalankan tugas dan tanggungjawab masing-masing. Apakah bukti kita mencintai seseorang itu? Ia bukanlah dengan memberikan kepadanya harta kekayaan, tetapi dengan kesediaan kita mendorongnya membangunkan harta kekayaan yang tersembunyi dalam dirinya. Setiap orang bercita-cita menjadi orang yang baik dan berjaya. Sebagai orang yang mencintainya, kita berperanan mencipta suasana yang sesuai untuk membolehkan dia menjadi orang yang baik dan berjaya. Suasana itu dapat dicipta dengan cara selalu menunjukkan kepadanya apa-apa kebaikan yang dia pernah lakukan, dan apa-apa kejayaan yang dia pernah capai. Dalam erti kata yang lain, berikan pengiktirafan, penghargaan dan pujian kepada usahanya untuk menjadi orang yang baik dan berjaya.

Yang mendorong orang berasa bahagia semasa dia melakukan kebaikan bukanlah perkara-perkara yang berlaku sebelum dia melakukan kebaikan itu. Perbuatan isteri berleter, menegur, mengkritik, menyindir, mengungkit, mengarah-arah, menegah, memaksa, mengugut dan mengancam tidak mendorong seseorang suami menjadi lebih kasih, lebih mesra, lebih bahagia, lebih puas, atau lebih setia terhadap isteri.

Pendorong yang berkesan ialah apa yang berlaku kepada seseorang selepas dia melakukan sesuatu kebaikan. Sebagai contoh, apabila sebaik-baik dia selesai melakukan sesuatu kebaikan, dia menerima pujian, pengiktirafan, penghargaan dan ganjaran, maka dia akan terdorong untuk mengulang kebaikan lalu dan melakukan kebaikan-kebaikan baru. Sayangnya, orang yang hampir dengan kita, suka mencari kelemahan, kekurangan, kesilapan dan kesalahan yang kita lakukan, meskipun kecil dan ia dilakukan dengan tidak sengaja. Mereka suka mengungkit-ungkit hal itu seolah-olah ia adalah dosa-dosa besar yang sengaja kita lakukan terhadapnya.

Sebaliknya, segala kebaikan yang kita lakukan baginya, tidak disedarinya. Kedahagaan yang pedih adalah kedahagaan bagi mendapatkan sedikit pengiktirafan daripada orang yang terdekat. Pujian dan pengiktirafan menolong kita menikmati apa yang diingini. Pujian membuat kita yakin akan kemampuan diri sendiri dan menjadikan kita lebih berkesan dalam usaha yang kita jalankan.

Iklim bahagia tidak ada kaitan langsung dengan kemewahan dalam rumah tangga. Hubungan suami isteri yang kaya raya belum tentu bahagia. Di dalam rumah yang kecil dan sempit sekalipun, ramai pasangan menikmati iklim yang bahagia dan mereka sangat seronok berdua.

Sejak awal 90-an, pakar-pakar psikologi mula mengkaji faktor yang menyebabkan setengah-setengah pasangan mengecap hidup bahagia dalam perkahwinan mereka. Tujuan kajian mereka adalah menghasilkan panduan-panduan bagi pasangan lain bagaimana untuk hidup bahagia. Kebanyakan pasangan berjaya mengekalkan jodoh mereka hingga ke akhir hayat. Tetapi ini tidak bermakna bahawa jodoh yang kekal adalah jodoh yang bahagia. Banyak juga orang yang kekal hidup dalam ketidakbahagiaan bersama pasangan mereka. Pakar-pakar psikologi mengenal pasti beberapa perbuatan yang membawa kesan negatif kepada kebahagiaan dalam perkahwinan.

Mencuba menukar peribadi
Cuba menukar peribadi pasangan supaya sesuai dengan kehendak sendiri. Ramai suami mahu supaya isteri mereka berubah menjadi ‘orang lain’. Lebih ramai lagi isteri yang cuba mengubah suami mereka. Ada yang sampai sanggup mengamalkan perbuatan syirik dengan menggunakan khidmat dukun dan bomoh. Sebarang usaha cuba mengubah orang lain adalah sangat mudah dikesan oleh orang yang cuba diubah. Tidak ada orang yang suka mengubah dirinya atas kehendak orang lain. Perbuatan seperti ini mudah sahaja mencetuskan pertengkaran dan konflik.

Menekankan nilai sendiri
Cuba melawan nilai, sikap dan kepercayaan pasangan supaya sesuai dengan nilai, sikap dan kepercayaan sendiri. Sebagai contoh, si suami suka buku, dan si isteri melawan nilai itu kerana dia benci buku dan suka kepada perabot dan barang-barang hiasan. Dia menganggap membeli sebuah buku yang berharga RM80 adalah tidak berguna. Wang itu lebih baik digunakan membeli tutup meja makan tetamu. Lalu si isteri melawan nilai suaminya. Perbuatan melawan dan menentang nilai, sikap dan kepercayaan pasangan adalah membahayakan kebahagiaan dalam perkahwinan.

Berbohong dan berdusta
Berbohong, berdusta, pura-pura dan menipu pasangan baik dengan kata-kata, mahupun dengan perbuatan. Sebagai contoh, seorang suami berdusta dengan memberi hadiah yang mahal kepada isterinya kerana hendak menutup rahsia dia sudah mula mendapat ketenangan jiwa dengan wanita lain. Atau seorang isteri berdusta dengan mengatakan kepalanya selalu pening apabila waktu malam, padahal sebenarnya dia suka melihat suaminya meminta-minta layanan daripadanya.

Mahu mengambil sahaja
Cuba mengambil lebih daripada apa yang disumbangkan ke dalam perkahwinan. Sebagai contoh, seorang suami yang mahu supaya isterinya membayar sewa rumah, bil-bil bulanan, belanja dapur dan belanja sekolah anak-anak manakala dia cuma membayar ansuran kereta dan minyak sahaja. Ataupun, seorang isteri yang tinggal di rumah tetapi masih meminta suaminya menggosok baju sendiri, tolong memandikan anak-anak, mengambil nasi dalam periuk dan lain-lain seperti itu. Ingkar dan derhaka Ini khususnya bagi isteri. Mereka menjawab, melawan dan meninggikan suara. Mereka suka mengancam dan mengugut suami.

Tidak setia
Tidak setia terutama kepada isteri. Ini khususnya kepada suami.

Tidak syukur
Tidak bersyukur dengan kehadiran pasangan mereka. Mereka mengkritik pasangannya dan kesal kerana tidak mempunyai pasangan yang lebih baik.

Ketujuh-tujuh perkara di atas adalah ibarat undang-undang kebahagiaan dalam perkahwinan. Perbuatan melanggar undang-undang ini akan mencetuskan pertengkaran, pergaduhan dan konflik rumah tangga. Dalam keadaan di mana lebih daripada satu undang-undang itu dilanggar, ia boleh membawa kepada keretakan rumah tangga.

Pada masa ini, gaya hidup moden memaksa ramai suami isteri pandai berlakon apabila di depan orang lain, supaya orang menyangka mereka berdua sangat bahagia dan sangat intim. Oleh itu, banyak pasangan suami isteri moden memanggil pasangan mereka dengan nama-nama kemanjaan seperti ‘sayang’ atau ‘manja’ atau ‘darling’ atau ‘sweetheart’ atau ‘honey’ apabila di khalayak.

Ramai juga suami-suami moden yang memberi layanan istimewa kepada isteri mereka apabila di khalayak. Mereka menarik kerusi untuk isteri mereka duduk, mereka membuka dan menutup pintu kereta untuk isteri, mereka memegang bahu isteri apabila mula berjalan masuk majlis dan semasa meninggalkan majlis, mereka mengambilkan makanan untuk isteri mereka, dan lain-lain layanan seperti itu. Kepada ramai orang yang tidak tahu, itulah bukti akan cinta dan kemesraan suami kepada isteri. Itulah cara mempamerkan kasih sayang dan keintiman. Untuk mencipta keintiman lakukan perkara-perkara berikut:

1. Tunjukkan sikap positif
Ada dua cara menunjukkan sikap positif terhadap pasangan. Pertama ialah dengan menggunakan gaya bahasa positif. Selalulah memuji pasangan. Kedua dengan melakukan perbuatan-perbuatan positif.

2. Nyatakan pengharapan
Setiap orang mempunyai pengharapan. Pertama mereka ada pengharapan ke atas diri pasangan mereka. Kedua mereka mempunyai pengharapan ke atas hubungan mereka sebagai suami isteri. Beritahu dengan jelas apa yang kita harapkan daripada pasangan kita dan daripada perkahwinan kita.

3. Sukai kaum keluarganya
Tunjukkan bahawa kita menyukai dan mengasihi orang-orang yang dihargai oleh pasangan kita. Kajian pakar-pakar psikologi mendapati pasangan yang intim dan bahagia saling suka-menyukai kaum keluarga dan sahabat handai masing-masing.

4. Lakukan aktiviti bersama
Lakukan banyak aktiviti bersama-sama, termasuk membuat kerja-kerja fizikal dan sosial. Banyak isteri membenci kegiatan sosial suami mereka atas alasan ia menyebabkan suami mereka jarang di rumah. Jangan memusuhi kegemaran suami, sebaliknya ikutlah menggemarinya.

5. Nyatakan komitmen
Ucapkan komitmen terhadap satu sama lain. Selalulah katakan kebahagiaan dan jodoh kita dengannya akan kekal hingga akhir hayat.

6. Menaruh kepercayaan
Yakinlah di dalam hati pasangan kita amat mencintai dan setia kepada kita. Apabila bercakap, gunakan bahasa yang menggambarkan rasa cinta, kasih sayang, kepercayaan dan kesetiaan. Jangan sekali-kali diucapkan rasa cemburu, sangsi dan curiga terhadapnya.

7. Bercakap dari lubuk hati
Bercakaplah secara tulus dari hati berkenaan apa yang sedang difikirkan dan dirasakan. Jadi masing-masing tahu apa yang ada di dalam fikiran dan lubuk hati pasangannya. Jangan berdusta dengan cara memendamkan perasaan yang sebenar.

8. Berbual tentang perasaan
Bercakaplah berkenaan perkahwinan dan hidup kita berdua. Beritahu apa yang kita rasakan dan fikirkan tentang hubungan kita berdua. Kalau kita berasa puas
hidup bersama, katakanlah begitu kepadanya.

Bahasa ialah alat yang sangat berkesan untuk mencipta keintiman antara lelaki dan wanita. Dengan kata-kata, dua orang manusia yang sebenarnya asing, dapat berasa seolah-olah mereka satu. Anehnya, dalam saat-saat yang paling intim, bahasa tidak digunakan!

Ramai orang mengadu mereka hanya mengalami saat-saat yang amat intim semasa dalam alam percintaan. Selepas beberapa lama mereka mendirikan rumah tangga, keintiman mula cair perlahan-lahan, sehingga ada kalanya, ia luput terus.

Keintiman
Apakah itu yang dikatakan ‘keintiman?’ Istilah ini kita pinjam daripada bahasa Indonesia. Dalam bahasa Inggeris perkataannya adalah intimacy.

Sejak awal tahun 90-an, pakar-pakar psikologi mula menaruh minat yang besar untuk mengkaji cara-cara yang digunakan oleh pasangan suami isteri bagi menyenggara perhubungan mereka supaya mereka kekal intim dan memuaskan kedua-dua belah pihak.

Kajian-kajian mereka mendapati hubungan suami isteri yang intim mempunyai ciri-ciri berikut:
1. Kedua-dua belah pihak sangat menaruh kepercayaan pasangan mereka mencintai dirinya dan setia. Oleh itu perasaan cemburu buta, sangsi dan curiga sangat minimum. Dengan demikian, apabila mereka bercakap, bahasa yang mereka gunakan adalah bahasa yang menggambarkan rasa cinta, kasih sayang, kepercayaan dan kesetiaan mereka.

2. Mereka banyak bercakap kepada pasangan mereka secara tulus dari hati berkenaan apa yang mereka sedang fikirkan dan rasakan. Oleh itu masing-masing tahu apa yang ada dalam fikiran dan lubuk hati pasangannya. Mereka tidak berdusta dengan cara memendamkan perasaan mereka yang sebenar.

3. Mereka suka bercakap apa yang mereka rasa berkenaan perkahwinan mereka dan hidup mereka berdua. Mereka suka menyatakan perasaan mereka berkenaan hubungan mereka. Umpamanya, mereka memberitahu mereka berasa puas hidup bersama, meskipun tidak mewah seperti orang lain.

Komunikasi yang mengandungi ketiga-tiga ciri di atas disebut ‘pendedahan diri’ kerana ia membenarkan pasangannya mengetahui siapa dirinya yang sebenar. Kajian pakar-pakar psikologi mendapati ada kaitan yang kuat antara aktiviti pendedahan diri dengan kebahagiaan dalam perkahwinan.

Pasangan-pasangan yang bahagia banyak mendedahkan diri mereka. Oleh itu mereka dapat berkongsi fikiran dan perasaan. Itulah sumber kepuasan dan kebahagiaan yang paling utama bagi pasangan suami isteri. Pasangan-pasangan yang tidak suka mendedahkan diri mereka mengalami banyak masalah. Mereka tidak tahu apa yang ada dalam kepala dan hati pasangannya. Kerana itu mereka tidak dapat memahami fikiran dan perasaan masing-masing. Mereka menaruh rasa cemburu, sangsi dan curiga. Mereka banyak berselisih pendapat, oleh itu mereka banyak bertengkar dan berkelahi, sama ada secara terbuka ataupun dalam diam-diam. Mereka mengalami banyak konflik dalam hubungan mereka.

Orang yang tidak suka mendedahkan diri kepada pasangannya banyak diam apabila bersama, umpamanya semasa berada di rumah. Mereka bercakap hanya apabila terpaksa bercakap. Ayat yang mereka gunakan adalah ayat yang pendek-pendek. Apabila ditanya, mereka suka menjawab dengan menggunakan ayat satu perkataan sahaja seperti ‘ya’ atau ‘tidak’ atau ‘belum’ atau ‘entah’ dan lain-lain jawapan seperti itu.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (198801006125) © 2000 - 2025