Artikel
Perkembangan pranatal kandungan
oleh Helmi pada 27 Aug 2004
Pertumbuhan dan Perkembangan Pranatal
Jangka waktu pranatal adalah selepas sahaja berlakunya persenyawaan sehinggalah bayi itu dilahirkan. Tempoh ini berlangsung selama 226 hari atau bersamaan dengan 38 minggu. Jangka waktu pranatal terbahagi kepada 3 peringkat perkembangan.
Peringkat awal
Persenyawaan antara sperma atau benih lelaki dan ovum iaitu benih perempuan adalah ketika bermula pertumbuhan manusia. Hasil percantuman ini menghasilkan zigot yang mewarisi ciri-ciri ibu dan ayahnya serta keturunan yang terdahulu. Tidak hairanlah jika anak yang bakal dilahirkan mempunyai hidung yang mancung dan alis mata yang lebat sedangkan kedua-dua ibu bapanya tidak mempunyai ciri-ciri itu.
Zigot yang terbentuk mula membahagi kepada 2 sel kemudian setipa sel akan membahagi lagi kepada 2 sel dan akhirnya jumlahnya adalah 4 sel. 4 sel ini akan terus membahagi dan menghasilkan 8 sel sehinggalah membentuk 16 sel. Struktur ini disebut morula. Ianya mengambil masa 3 hari bertukar bentuk bebola morula yang berlaku di salur rahim. Satu ruang terbentuk di dalam morula dan menukarkan ia kepada balstosista. Blastosista akan bergerak ke dalam salur rahim bagi proses pembenaman. Blastosista dipenuhi cecair yang memisahkannya kepada 2 lapisan sel iaitu:
1. Lapisan luar, bertanggungjawab bagi proses pembenaman.
2. Lapisan dalam, membentuk embrio.
Perjalanan blastosista ke dinding rahim mengambil masa 5 sehingga 6 hari. Pada minggu ke-12, balstosista terbenam sepenuhnya pada dinding rahim. Namun pada ketika ini wanita yang hamil tidak akan mengalami apa-apa simptom kehamilan.
Peringkat embrio
Peringkat ini bermula selepas pembenaman blastosista sehinggalah akhir minggu kelapan. Lapisan luar blastitosta akan membiak dan membentuk sel-sel yang menjalar ke lapisan dalam rahim dan seterusnya dikelilingi oleh tasik-tasik kecil yang me-ngandungi darah. Bahan-bahan makanan dari salur darah ibu meresap ke dalam tasik ini dan sampai ke embrio. Pembenaman blatosista dan pelekatan embrio ke dinding rahim berlaku pada akhir minggu pertama sehingga akhir minggu ketiga.
Pada minggu ketiga selepas persenyawaan, barulah wanita menyedari dia tidak mengalami haid. Kehamilan dapat dikesan seawal-awalnya pada minggu ketiga. Kehamilan dapat diketahui dengan mengesan kehadiran hormon gonadotropin dalam air kencing wanita itu.
Perkembangan pesat embrio berlaku dari minggu ketiga sehingga minggu kelapan. Perkembangan embrio bermula di bahagian otak dan kepala. Sistem saraf yang sempurna penting bagi membolehkan sistem-sistem yang lain berfungsi. Perkembangan otak yang cepat menyebabkan perkembangan kepala yang amat ketara. Menjelang hari yang ke-28 kehamilan, bahagian kepala berkembang sehingga mencapai satu pertiga daripada panjang embrio. Panjang seluruh tubuh adalah kira-kira inci iaitu hampir 10000 kali berbanding dengan ovum yang sudah disenyawakan. Perkembangan jantung dan anggota juga berlaku. Jantung mula berdenyut pada akhir minggu ketiga.
Semua organ utama terbentuk pada minggu keempat sehingga minggu kelapan. Pada akhir minggu kelapan, embrio sudah dilengkapi dengan sistem pendengaran, penglihatan, tulang, daging, kulit dan organ-organ asas, tetapi masih tidak boleh berfungsi. Embrio mempunyai organ pembiakan iaitu testis pada embrio lelaki dan ovari pada embrio wanita. Embrio berukuran 30mm panjang dan mempunyai bentuk manusia.
Peringkat janin dan fetus
Peringkat ini bermula pada minggu ke sembilan kehamilan sehinggalah bayi dilahirkan. Pada peringkat organ yang sudah terbentuk akan terus berkembang pesat. Badan, kepala, lengan dan kaki berkembang dengan cepat. Begitu juga dengan organ bagi peredaran darah, pernafasan dan pencemaran semuanya berkembang dengan pesat. Perkembangan saraf dan otot turut berlaku. Jantung mula mengepam darah melalui salur darah. Perkembangan otak juga berlaku dan akhirnya janin bertukar menjadi bentuk bayi.
Minggu ke–9 sehingga minggu ke-12
Pada awal minggu ke-9, ukuran kepala janin adalah separuh panjang badannya. Pertumbuhan badan janin berlaku semakin pesat sehingga akhir minggu ke-12. Panjangnya meningkat dua kali ganda. Berat janin dianggarkan 4 gram. Pada peringkat ini, organ utama tubuh sudah terbentuk, jantung berdegup cepat, darah beredar melalui salur darah, perut janin mula aktif, ginjal mula berfungsi. Perubahan yang berlaku seterusnya adalah pertambahan daripada segi saiz dan fungsinya. Uri kian membesar dan ketika ini mempunyai 6 kali ganda lebih berat dari janin. Apabila organ seks terbentuk, jantina janin sudah boleh dikenal pasti melalui kaedah bunyi ultra. Ada kalanya lengan, kaki, jari mula membuat pergerakan spontan tetapi tidak begitu dirasai oleh ibu.
Minggu ke-13 sehingga ke-16
Janin kini berukuran lebih kurang 18 sm atau 7 inci panjang dan mempunyai berat 100 gram. Kepala janin masih besar jika dibandingkan dengan tubuhnya. Jantungnya berdegup cepat dan otot-ototnya kini kian aktif. Biasanya jantina janin sudah dapat dikenal pasti pada peringkat ini. Pada usia 4 bulan ini, uri sudah lengkap terbentuk dengan sempurna dan melekat pada dinding rahim. Berat uri hampir sama dengan berat janin. Janin dihubungkan ke uri melalui tali pusat. Tali pusat terdiri daripada salur darah yang membawa zat makanan daripada ibu. Ianya juga mengandungi hasil sisa daripada janin kepada ibu supaya dikumuhkan. Janin pada peringkat ini menghisap ibu jari tangannya apabila bersentuhan dengan bibir.
Minggu ke-17 sehingga minggu ke-20
Janin kini merupai bentuk manusia. Panjangnya lebih kurang 25 sm atau 10inci, manakala beratnya ialah 300 gram. Bulu roma halus mula tumbuh pada kulitnya. Rambut juga mulai tumbuh di kepalanya. Begitu juga dengan bulu kening dan bulu mata. Matanya masih tertutup. Kuku mulai kelihatan pada jarinya. Zat nutrien dan oksigen disampaikan pada janin melalui salur tali pusat, begitu juga dengan bahan buangan yang keluar dari tubuh janin. Perkembangan uri semakin perlahan manakala janin terus membesar sehingga di bawah aras pusat ibu. Janin lebih berat daripada uri.
Minggu ke-21 sehingga minggu ke-26
Janin berukuran 32 sm panjang dan berat 650gram. Kulit janin kelihatan kurang kemerahan dan diliputi oleh bulu roma. Matanya mulai membuka dan mengatup. Otot pada lengan dan kaki semakin kuat dan kental. Aktiviti janin semakin meningkat daripada segi kekerapan dan kekuatannya. Janin semakin membesar. Pada masa ini, ibu terasa kandungan dalam perutnya. Namun begitu, sistem pernafasan tidak matang lagi. Sekiranya kelahiran berlaku pada tahap ini, bayi mungkin akan mati.
Minggu ke-26 sehingga minggu ke-29
Pada masa ini, janin berukuran kira-kira 35 sm panjang dan mempunyai berat lebih kurang 1000 gram. Sekiranya bayi lahir pada bulan ke-7 atau minggu ke-28, kemungkinan bayi dapat hidup kerana peparu dan salur darahnya sudah berkembang bagi mem-benarkan pertukaran gas. Pada peringkat ini, peparu terus berkembang. Pertumbuhan otak masih berlaku dengan cepat.
Badan janin kurus, manakala kulitnya masih kemerahan dan diliputi oleh lapisan pelindung yang dihasilkan oleh kelenjar kecil di kulit yang dikenali sebagai verniks kaseosa. Janin kini sudah boleh membuka matanya. Degupan jantung janin sudah dapat didengari dengan jelas. Janin bergerak aktif di dalam rahim sehinggakan ibu boleh merasai tendangannya.
Minggu ke-30 sehingga minggu ke-38
Pada minggu ke-32, janin dianggarkan 43 sm panjang dan beratnya 1800gram. Kulit janin masih kemerahan, tetapi agak berkedut. Tulang kepalanya lembut. Peparunya berkembang baik dan sudah boleh berfungsi. Janin boleh mendengar bunyi yang kuat dan memberikan respons dengan menggerakkan kaki dan lengan.
Pada minggu ke-36, janin dianggarkan berukuran 46 sm panjang 2500 gram berat. Berat badannya bertambah dalam masa 4 minggu terakhir. Ini kerana terdapat banyak lemak yang termendap di bawah kulit, rupa janin yang dahulunya seperti orang tua yang berkulit nipis dan berkedut bertukar menjadi bayi yang berisi. Peningkatan berat bayi ber-tambah berikutan peningkatan simpanan bahan makanan dan juga lemak. Penurunan testis ke dalam skrotum berlaku pada janin lelaki. Perkembangan sistem saraf terus berlaku. Pada minggu ke-38, janin sudah sempurna anggota tubuhnya dan bersedia ke alam baru.
Kelahiran
Apabila seseorang wanita disahkan mengandung, doktor akan mengira 280 hari mulai dari hari terakhir kedatangan haid dan ini akan dijangkakan sebagai hari kelahiran bayi. Namun, kadangkala tarikh ini tidak tepat kerana kebanyakan kes kelahiran berlaku seminggu sebelum atau selepas tarikh itu. Proses kelahiran dibahagikan kepada 3 tahap iaitu:
Tahap pertama - Pembukaan serviks.
Tahap kedua - Kelahiran bayi.
Tahap ketiga - Pengeluaran plasenta selepas kelahiran.
Tahap pertama
Tahap ini adalah tahap yang paling lama terutama bagi wanita yang kali pertama melahirkan anak (10-16 jam) berbanding wanita yang pernah melahirkan anak (6-11 jam). Kontraksi Braxton-Hicks adalah kontraksi yang dirasai secara kadang-kadang atau sekejap-sekejap oleh wanita terutamanya sepanjang dua bulan terakhir kehamilan.
Bahagian terakhir dalam tahap ini dipanggil ‘transition’ dan ini adalah bahagian yang paling sukar kerana kontraksi yang dialami semasa ini adalah yang paling sakit sekali. Wanita selalu meneran sebelum bayi keluar pada masa ini walhal masa kelahiran masih belum tiba.
Pada masa ini, wanita kadangkala diberikan ubat penenang bagi mengurangkan kesakitan. Sebenarnya ia boleh memberikan kesan kepada bayi. Selain kaedah ini, terdapat kaedah lain bagi mengawal kesakitan yang dipanggil ‘Epidural Block’.
Tahap kedua
Tahap ini bermula apabila serviks sudah membuka sepenuhnya dan berakhir dengan proses kelahiran bayi. Pada tahap ini, wanita menggunakan tenaga fizikal bagi meneran bayi keluar. Tahap kedua boleh menjadi cepat secepat 5 minit bagi sesetengah wanita terutamanya yang pernah melahirkan anak. Namun bagi wanita yang pertama kali melahirkan anak, kebiasaannya ia berlangsung selama 1 sehingga 2 jam.
Apabila bayi bergerak melalui serviks ke vagina, ibu akan berasa ingin meneran. Apabila kepala bayi kelihatan dan mukanya menghadap bahagian bawah, doktor akan memastikan tali pusat tidak meliliti leher bayi kerana ini membahayakan bayi. Kemudian, bahu bayi akan disengetkan supaya boleh muat melalui pembukaan vagina ibu. Selepas bahu keluar, bahagian badan yang lain akan keluar dan bayi akan mengambil nafas yang pertama dan kebiasaannya menangis. Kemudiannya, tali pusat sepanjang kira-kira 3 inci akan dipotong.
Tahap ketiga
Kontraksi berterusan selepas bayi dilahirkan bagi membantu pengeluaran plasenta. Dalam 15-30 minit selepas kelahiran bayi, plasenta akan keluar dan doktor akan memeriksa kesemua bahagian plasenta yang sudah keluar kerana jika tertinggal, ia dapat membahayakan ibu.
Cara-cara Kelahiran
Pelbagai persiapan dan pilihan bagi proses kelahiran. Ini bergantung kepada faktor-faktor risiko ibu seperti umur, berat dan kesihatan. Wanita yang berisiko mengalami komplikasi ketika proses kelahiran adalah:
Remaja perempuan.
Wanita berumur 35-40 tahun yang melahirkan anak pertama mereka.
Wanita yang mengalami penyakit atau situasi tertentu.
Wanita yang mengandungkan anak kembar.
Kelahiran Lamaze
Dr. Fernald Lamaze mengambil teknik ini daripada doktor Russia ketika Perang Dunia Ke-2. Melalui kaedah pernafasan dan perehatan otot, wanita dijangkakan memberikan respons yang positif pada kesakitan yang dialami. Kebiasaannya, kelas Lamaze ini merangkumi 6 minggu (1 minggu 1 sesi) yang mana ia adalah persediaan bagi menempuhi proses kelahiran:
Bagaimana proses kelahiran bayi.
Bagaimana hendak bernafas bagi mengawal kesakitan dan ketidakselesaan ketika proses kelahiran.
Bagaimana memfokuskan kepada proses berehat melalui pemikiran dan perasaan.
Bagaimana bapa boleh membantu.
Leboyer atau kelahiran tanpa keganasan
Kaedah ini dibangunkan oleh Dr. Frederick Leboyer. Beliau memperkenalkan teknik bagi mengurangkan trauma bayi yang hendak dilahirkan dengan membuatkan persekitaran lebih kurang sama dengan persekitaran semasa di dalam rahim ibu.
Komplikasi Kelahiran Pembedahan Caesarean
Kini kaedah pembedahan ini sudah menjadi pembedahan major dan menjadi pilihan wanita yang tidak mahu melahirkan anak secara normal. Melalui pembedahan ini bayi tidak akan dilahirkan melalui vagina ibu. Bayi dilahirkan melalui pembedahan yang dijalankan pada abdomen ibu. Berbanding dengan kelahiran normal, pembedahan caesarean lebih mahal, merangkumi proses kelahiran yang lama dan berisiko tinggi mendapat infeksi.
Kelahiran paksa
Kadangkala terdapat beberapa situasi yang tidak sesuai bagi ibu dan fetus dan dalam hal ini kelahiran paksa digunakan. Pitosin atau lain-lain ubat digunakan bagi memulakan kelahiran. Ini mungkin membahayakan bayi kerana bayi mungkin masih belum bersedia lagi untuk hidup di luar rahim ibu. Walaupun sudah disahkan penerusan kehamilan yang akan membahayakan ibu atau bayi, keputusan untuk kelahiran paksa ini perlu dibuat dengan berhati-hati.
Perspektif
Perspektif ibu
Pengalaman ibu semasa proses kelahiran mendatangkan perasaan positif dan negatif. Kadangkala ibu mengalami ‘baby blues’ dan antara faktor yang menyumbang ke arah terjadinya perkara ini adalah:
Perubahan biologi.
Kelesuan.
Hilang perhatian.
Peningkatan permintaan atau tanggungjawab di rumah.
Perasaan ini bermula sehari atau sejurus selepas kelahiran dan kebiasaannya berlangsung selama seminggu atau dua minggu dan berakhir dengan sendiri tanpa memerlukan apa-apa rawatan.
Perspektif bapa
Kini ramai bapa memainkan peranan dalam proses kelahiran. Semakin lebih perhatian bapa, perasaan rapat dengan isteri dan anak yang baru dilahirkan semakin besar.
Perspektif bayi
Bayi yang baru dilahirkan menghasilkan hormon ‘tekanan’ yang dipanggil ‘catecholamines’ yang membantu membersihkan paru-paru bayi dan membantu pernafasan normal. Ia juga meningkatkan metabolisme dan tenaga bayi.
Hubungan ibu bapa-bayi
Apabila ibu dan bayi menghabiskan masa bersama selepas kelahiran, ini dapat menghasilkan hubungan istimewa yang membantu bayi membesar. Selepas sebulan, ibu dapat merasakan respons dari bayi mereka. Terdapat masa sensitif sejurus selepas kelahiran di mana ia adalah hubungan fizikal antara ibu dan bayi dan apabila hubungan ini terganggu, kegagalan keibubapaan akan terjadi dan ini menyebabkan anak lebih berisiko didera dan diabaikan.
Ciri-ciri Bayi yang Baru Dilahirkan
Bayi yang baru dilahirkan sehingga berusia 1 ataupun 2 bulan dipanggil neonate. Bagi bertahan, bayi yang baru dilahirkan ini perlu berjaya mengharungi 4 perkara major seperti:
Bernafas dengan sendiri.
Melakukan pertukaran peredaran darah.
Mengawal suhu badan.
Menghadamkan makanan.
Penampilan fizikal
Bayi yang baru dilahirkan mempunyai ukuran panjang 19-21 inci dan ini bergantung kepada saiz uterus ibu berbanding genetik. Berat bagi bayi yang baru dilahirkan pula kira-kira 7-7.5 paun. Selepas bayi keluar dari vagina, kepala bayi tidak berbentuk sempurna, muka bengkak dan hidung agak rata. Ini disebabkan oleh tekanan semasa melalui saluran kelahiran. Bayi yang baru dilahirkan ini juga diselaputi oleh selaput berwarna putih dan melekit. Selaput ini dipanggil vernix caseosa dan ia berfungsi sebagai pelindung bayi daripada bakteria.
Skala Apgar digunakan bagi menentukan sama ada bayi memerlukan rawatan kecemasan ataupun tidak. Skala ini adalah salah satu cara mendiagnosis masalah yang berpotensi dialami oleh bayi. Ini berdasarkan 5 perkara yang diuji iaitu respirasi, tindak balas refleks, otot, warna dan degupan jantung.
Refleks
Refleks adalah tindak balas yang mudah, berkoordinasi dan memberikan jalan yang terhad bagi bayi supaya dapat berinteraksi dengan persekitaran mereka. Antara refleks adalah ‘Refleks Perlindungan’ seperti batuk, bersin, kerdipan mata dan pergerakan otot. Refleks ini boleh dijadikan indikator dalam perkembangan sistem saraf. Refleks yang terlalu kuat ataupun lemah atau yang tidak menunjukkan sebarang perubahan perkembangan mungkin menunjukkan yang bayi itu mempunyai masalah.
Perubahan
Perubahan dapat dilihat pada tahap kebangkitan di mana bayi berjaga-jaga, memberikan perhatian dan alam sedar. Tahap-tahap yang berbeza ini dapat diterangkan dalam 6 kategori major iaitu menangis, meragam, mengantuk, transisi, tidur pura-pura dan tidur nyenyak.
Corak tidur bayi
Bayi yang baru dilahirkan tidur purata 16 jam sehari. Bayi tidak tidur selama 16 jam sekali gus tetapi tidur sebanyak 6 ataupun 7 kali sehari, kira-kira 2 sehingga 3 jam sekali. Bayi yang baru dilahirkan mungkin tidur bagi beberapa minit ataupun jam sepanjang waktu siang. Tetapi dalam 2 minggu yang terakhir, bayi mungkin tidur lebih lama pada waktu malam berbanding waktu siang. Semakin mereka membesar, masa tidur mereka turut berubah.
Peniruan
Salah satu kebolehan istimewa bayi yang baru dilahirkan adalah mereka dapat meniru mimik muka. Bayi yang berusia 1 ke-3 hari dapat meniru mimik muka yang mudah dan pergerakan kepala. Ketika berusia 6 minggu, bayi dapat meniru kelakuan yang dilakukan oleh seseorang individu yang diingatinya.
Penilaian kelakuan neonatal
Kelakuan bayi turut menggambarkan perkembangan dan kesihatan bayi. ‘Skala Penilaian Tingkah Laku Bayi’ atau Neonatal Behavioral Assessment Scale digunakan bagi menilai respons bayi pada persekitaran. Skala ini mengenal pasti bayi yang mengalami kesukaran dalam menyesuaikan diri dengan persekitaran di luar rahim.
Perkembangan Otak Bayi pada Peringkat Awal
Acara progresif yang berlaku dalam perkembangan otak bayi sangat penting. Bayi yang baru dilahirkan mempunyai kira-kira 100 bilion neuron. Perkembangan yang berlaku merangkumi perkembangan dan pembentukan sel yang mengandungi berbilion talian sinaps. Persekitaran yang tidak sesuai seperti janin yang didedahkan kepada dadah dan alkohol, dapat mengganggu perkembangan ini. Acara regresif pula termasuklah kematian sel dan hilangnya hubungan antara neuron.
Penerimaan Bayi ke atas Dunia Mereka
Penglihatan
Mata adalah salah satu pancaindera yang sangat penting kepada seseorang kerana melalui mata kira-kira 90 peratus daripada rangsangan dari alam sekeliling dapat ditanggapi. Bayi yang baru lahir mempunyai penglihatan yang teruk dan mereka hanya dapat melihat sejauh 20 kaki sahaja. Penglihatan mereka kabur berbanding orang dewasa. Kebiasaannya bayi lebih tertarik kepada objek yang menyerlah, objek yang bergerak, bahagian yang terang dan bahagian yang besar.
Jika kanak-kanak berumur 3 bulan, penyelarasan di antara kedua biji mata ini dapat dicapai dan dengan itu ia mempunyai kebolehan memandang dengan lebih berkesan. Walaupun begitu, oleh sebab otot matanya masih lemah, kerap kali terdapat kekurangan penyelarasan terutama apabila kanak-kanak itu letih atau menangis. Keadaan ini berlanjutan sehingga umur kanak-kanak itu 5 ataupun 6 tahun. Perkembangan mata kanak-kanak mempunyai kaitan yang rapat dengan keadaan kesihatan pemakanan dan juga penggunaan mata itu. Memaksa kanak-kanak membaca huruf yang dicetak dengan saiz yang kecil dapat merosakkan pandangan mereka kerana dengan berbuat demikian, ia akan memaksa otot yang mengawal biji mata bagi mengadakan penyelarasan. Ini mendatangkan keletihan.
Pendengaran
Telinga juga adalah satu daripada pancaindera yang penting bagi menerima rangsangan yang berbentuk suara dan bunyi. Pada masa dilahirkan seseorang bayi sudah mempunyai telinga yang cukup berkembang. Telinga dalam dan telinga tengahnya sudah mencapai peringkat dewasa pada masa ia dilahirkan lagi.
Bayi yang baru lahir tidak dapat mendengar bunyi yang wujud dalam masa yang sekejap dan bayi lebih tertarik kepada suara yang mempunyai pic yang tinggi seperti suara wanita. Bayi lebih mudah mendengar bunyi yang datang dari arah kiri berbanding kanan. Pada masa ia berumur dua bulan, bayi menunjukkan gerak balas yang lebih kepada suara berbanding dengan bunyi lain dan selepas dua bulan ketajaman pendengarannya meliputi semua bunyi lain juga.
Perbezaan utama di antara telinga kanak-kanak dengan telinga orang dewasa selain daripada saiznya adalah keadaan saluran eustachian yang menyambungkan di antara telinga tengah dengan kerongkong. Bagi kanak-kanak kecil, saluran ini masih pendek dan dengan sebab itu apabila kanak-kanak itu dijangkiti penyakit selesema dan batuk, kuman yang membiak di bahagian kerongkong dengan mudah merebak ke bahagian telinga tengah dan menyebabkan kerosakan pendengaran. Oleh yang demikian, sangat mustahak menjaganya supaya penyakit kerongkong, batuk, dan selesema kanak-kanak itu tidak merebak dan berpanjangan.
Dunia rasa
Bayi yang baru lahir tidak memberikan reaksi kepada cairan garam, gula, air limau, kuinin apabila diletakkan pada lidah. Ini membuktikan yang bayi kurang mempunyai kuasa merasa sesuatu. Walaupun begitu, kebolehan merasa ini berkembang dengan cepat kerana dalam masa dua minggu selepas dilahirkan ia dapat membezakan antara rasa manis dengan perbuatan menghisap dan rasa pahit dan masam dengan mengerutkan muka. Perkembangan merasa ini berkembang terus manakala kanak-kanak itu beransur-ansur besar.
Hidung dan deria bau
Deria bau bayi sudah cukup berkembang pada masa ia dilahirkan dan terus berkembang apabila meningkat besar. Penyelidikan menunjukkan yang bayi dapat membezakan di antara bau yang menyenangkan dengan bau yang sebaliknya. Mereka menunjukkan kelakuan menghisap apabila terbau bau yang menyenangkan dan menunjukkan muka yang kecut dan memalingkan muka ke tempat lain apabila terbau bau yang tidak menyenangkan. Walaupun begitu, bayi masih tidak dapat membezakan bau yang lemah. Tetapi ada bukti yang menunjukkan kanak-kanak lebih gelisah apabila terhidu bau yang tidak bersih. Seterusnya apabila ada bau yang lebih kuat, ia dapat menimbulkan kegelisahan yang lebih.
Merasa melalui kulit dan kinestetik
Selain daripada alat pancaindera di atas, seseorang itu menerima maklumat dengan melalui proses merasa daripada kulit dan juga kinestetik iaitu maklumat berkenaan kedudukan badannya pada sesuatu ketika. Kulit bayi mempunyai jalinan yang sangat nipis. Sungguhpun begitu, ia lengkap dengan alat pemerasan seperti alat sentuhan, tekanan, sakit dan suhu seperti yang terdapat pada orang dewasa. Dengan sebab itu, kulit bayi sangat perasa pada semua rangsangan yang kena pada kulitnya. Ia lebih merasakan panas dan sejuk dan memberikan gerak balas yang kuat kepada sentuhan atau geletekan dibandingkan dengan gerak balas yang dilakukan oleh kanak-kanak yang lebih besar.
Bayi juga terlalu perasa pada perubahan kedudukan badannya. Sekiranya bayi itu terjatuh, ditarik kepalanya ke atas ataupun terhentak, ia akan memberikan gerak balas bagi menyesuaikan kedudukannya. Jika seseorang bayi yang baru dilahirkan dipegang dengan tegak, kakinya akan terkapai-kapai seperti orang berjalan. Gerak balas ini kemudiannya berkait dengan daya mengekalkan kedudukan tegak masa berjalan, menunjukkan yang bayi itu berkebolehan memberikan reaksi kepada alat-alat perasa yang terletak pada urat daging dan juga di dalam saluran separuh bulat yang terdapat di dalam telinganya bagi menentukan keseimbangan badan.
Bukti menunjukkan bayi yang baru dilahirkan itu dapat merasa kesakitan dan selepas beberapa lama selepas dilahirkan, daya rasa ini bertambah kuat bagi rangsangan yang sama. Daya rasa sakit berhubung rapat dengan pembelajaran yang semakin dikuasai oleh seseorang itu ketika ia bertambah besar.
Bayi Berisiko
Bayi yang mengalami risiko adalah:
Bayi pramatang atau bayi yang dilahirkan tidak cukup bulan ataupun terlalu awal sebelum 37 bulan kehamilan.
Bayi yang tidak cukup berat badan.
Bayi yang lahir lebih daripada 37 bulan kehamilan tetapi berat badan kurang daripada 5.5 paun.
Sesetengah bayi memerlukan rawatan kesihatan yang intensif. Sebahagian dari bayi ini menjalani perkembangan yang normal, namun ada antara bayi yang mengalami masalah fizikal dan kognitif. Masalah ini selalunya didapati daripada bayi yang kurang berat badan. Menjaga bayi yang berisiko tinggi ini sangat mencabar dan bergantung kepada masalah bayi. Ini kadangkala memberi tekanan kepada keluarga bayi.
Faktor-faktor yang Mempengaruhi Pertumbuhan dan Perkembangan Pranatal
Lapan puluh peratus bayi yang lahir cacat disebabkan faktor persekitaran. Bayi di dalam kandungan sekurang-kurangnya memerlukan dua jenis perlindungan.
Cecair Amniotik
Melindungi fetus daripada mengalami kecederaan fizikal.
Sempadan Plasenta
Dihasilkan oleh dinding saluran darah yang memisahkan sistem peredaran ibu dan janin. Ianya juga melindungi bayi daripada dimasuki bendasing-bendasing yang menyebabkan kecacatan bentuk pada janin mahupun tingkah laku dan kecerdasan otak.
Alkohol dan arak adalah contoh teratogen iaitu agen benda asing yang masuk ke plasenta menyebabkan kecacatan bentuk pada janin, tingkah laku mahupun kognitif janin. Penyakit cacar, virus HIV, sinaran radiasi daripada X-Ray, racun serangga, dadah seperti kokain adalah contoh-contoh teratogen yang dapat mempengaruhi pertumbuhan dan perkembangan janin. Keseriusan jangkitan disebabkan oleh teratogen bergantung kepada beberapa perkara:
Tempoh masa terdedah kepada teratogen
Teratogen memberikan kesan kepada kandungan ibu. Struktur tubuh dan organ dapat terbantut disebabkan embrio terdedah kepada teratogen. Begitu juga apabila kandungan berada pada peringkat fatal, ianya dapat memusnahkan otak, sistem saraf dan akhirnya mempengaruhi tingkah laku dan kecerdasan bayi.
Jumlah kandungan teratogen
Kesan ke atas janin lebih serius sekiranya alkohol dan dadah diambil berlebihan dos.
Sifat fetus
Terdapat kandungan yang cukup sensitif dengan kehadiran teratogen ini sehingga menyebabkan kemusnahan pada fetus.
Penyakit
Seramai 3 sehingga 5 peratus kecacatan bayi disebabkan sama ada ibunya adalah pembawa ataupun faktor persekitaran.
Rubella
Plasenta barrier tidak dapat melindungi janin sepenuhnya semasa perkembangan bayi di dalam kandungan. Kajian mendapati sebanyak 30,000 bayi yang baru lahir meninggal dunia dan 16,000 bayi yang dilahirkan pekak dan buta. Antara kesan yang dibawa oleh rubella ini adalah selesema tetapi ramai di kalangan ibu-ibu memandang ringan pada keadaan ini. Sekiranya ibu dijangkiti rubella pada minggu ke-12 kandungan, bayi akan mengalami kesan sampingan sebanyak 80 peratus. Pada minggu ke-13 sehingga minggu ke-14 risikonya menurun kepada 50 peratus. Rubella dapat dicegah melalui imunisasi awal sebelum mengandung.
Siplis
Siplis disebabkan oleh bakteria yang memasuki plasenta dan mengganggu pertumbuhan kanak-kanak. Antara kesannya adalah penyakit mata dan kemungkinan buta.
Pediatric AIDS
Wanita yang mempunyai virus HIV akan memindahkan virus itu kepada kandungannya. Virus ini masuk ke dalam plasenta dan menyebabkan kecacatan pada kandungan. Semua bahan seperti dadah, thalidomide, alkohol, rokok kokain heroin memberikan kesan kepada pertumbuhan dan perkembangan bayi baik daripada segi fizikal malah mempengaruhi kecerdasan otak bayi.
Persekitaran Berbahaya
Agen seperti plumbum, racun serangga, bahan-bahan kimia berbahaya juga mempengaruhi pertumbuhan dan perkembangan janin yang rata-ratanya memberikan kesan yang negatif ke atas bayi yang bakal dilahirkan.
Kondisi Ibu
Umur ibu
Ibu yang berusia 40 tahun ke atas mengalami risiko yang tinggi sekiranya mengandung. Kebiasaannya bayi yang dilahirkan mengalami Sindrom Down. Tekanan darah tinggi, diabetes, kardiavaskular yang dialami oleh ibu juga berisiko ke atas janin.
Tekanan
Ibu-ibu yang mengandung mempunyai mood yang berubah-ubah. Selalunya ibu berada dalam keadaan emosi yang tidak menentu. Ini disebabkan ketidakseimbangan hormon dalam tubuh badan. Ianya mungkin disebabkan persekitaran di mana kebanyakan ibu-ibu hari ini bekerja. Sokongan suami sangat diperlukan bagi mengurangkan tekanan emosi ibu. Ini kerana emosi ibu dapat mempengaruhi emosi anak yang bakal dilahirkan.
Jarak kelahiran
Jarak kelahiran antara anak pertama dan seterusnya juga mempengaruhi. Sistem endokrin wanita sekurang-kurangnya mengambil masa empat tahun bagi kembali pulih dan bersedia mengandung semula. Sekiranya jarak anak pertama dan seterusnya agak dekat, ibu mengalami masalah kekurangan darah bagi menampung janin dalam kandungan.