Artikel
Mahkamah abai bahasa Melayu?
oleh Helmi pada 23 Aug 2004
Bahasa rasmi mahkamah seperti mana yang tercatat dalam Perlembagaan serta Akta Bahasa Kebangsaan 1967 adalah bahasa Melayu.
Seksyen 8 Akta Bahasa Kebangsaan menyimpulkan semua prosiding di mahkamah seharusnya dijalankan dalam bahasa kebangsaan.
Walaupun sedemikian di bawah Seksyen 8 jika mahkamah berpendapat adalah lebih wajar bagi bahasa Ingeris digunakan demi kepentingan keadilan maka separa prosiding boleh dijalankan dalam bahasa itu dan separa bahasa Melayu.
Pokoknya bahasa Ingeris hanya boleh digunakan dalam keadaan yang paling terhad. Jadi apakah sebenarnya kedudukan bahasa kebangsaan di Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan?
Kedua-dua mahkamah dihadiri oleh peguam-peguam kanan yang berpengalaman luas.
Mereka lazimnya telah beramal lebih dari sepuluh tahun sebagai peguam bela. Malangnya sebahagian besar peguam-peguam kanan tidak menghormati bahasa kebangsaan. Mereka berpendapat bahasa kebangsaan adalah bahasa kuno yang tidak berupaya untuk digunakan dalam penghujahan undang-undang terutama untuk rayuan melibatkan fakta undang-undang yang rumit.
Malahan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah pernah memberi jaminan bahawa bahasa Ingeris akan terus digunakan di Mahkamah Persekutuan serta Mahkamah Rayuan walaupun terdapat peruntukan sebaliknya di bawah Perlembagaan serta Akta Bahasa Kebangsaan.
Jika ada orang awam yang hadir untuk memerhati prosiding di Mahkamah Persekutuan serta Mahkamah Rayuan mereka akan mendapati majoriti prosiding dijalankan dalam bahasa Inggeris..
Di Mahkamah ada hakim yang tidak fasih bahasa kebangsaan. Ada masanya jika seorang peguam ingin berhujah dalam bahasa kebangsaan ada hakim yang merungut dan tidak berpuas hati. Apabila peguam berbicara menggunakan bahasa kebangsaan ada hakim yang enggan membalas dalam bahasa yang sama dan terus menggunakan bahasa Inggeris.
Kita juga perlu meneliti kedudukan bahasa kebangsaan di dalam perkembangan undang-undang negara. Di dalam sistem perundangan negara penghakiman bertulis menjadi tonggak pentadbiran mahkamah. Lazimnya penghakiman bertulis yang paling penting dilaporkan di dalam makalah undang-undang Malayan Law Journal (MLJ). MLJ merupakan makalah undang-undang paling unggul di dalam sistem perundangan negara dan telah wujud hampir 80 tahun. Apakah kedudukan penghakiman bertulis Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan di dalam makalah MLJ?
Sehingga akhir 2003 hanya terdapat 13 penghakiman bertulis Mahkamah Rayuan di dalam bahasa kebangsaan yang dilaporkan di dalam MLJ. Ini amat mengejutkan. Adakah hanya 13 kes sahaja yang difikirkan wajar untuk dilaporkan di dalam bahasa kebangsaan?
Semenjak merdeka sehingga 2003 tiada pun satu penghakiman bertulis Mahkamah Persekutuan menggunakan bahasa kebangsaan. Setelah 47 tahun merdeka tiada pun satu titik dakwat wujud di dalam MLJ bagi penghakiman bertulis dalam bahasa kebangsaan dari Mahkamah Persekutuan.
Jaguh dan wira utama bahasa kebangsaan adalah Ketua Hakim Negara, Tan Sri Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim. Penghakiman bertulis pertama dalam bahasa kebangsaan dari Mahkamah Rayuan yang dilaporkan dalam MLJ adalah kes Gerak Indera S/B lwn Farlim Properties [1997] 3 MLJ 90 yang mana adalah penghakiman bertulis Hakim Ahmad Fairuz.
Ahmad Fairuz juga merupakan Ketua Hakim Negara pertama menyarankan agar prinsip-prinsip Islam dijadikan dasar pentadbiran sistem perundangan negara. Tidak diketahui umum bahawa ayahanda Ketua Hakim Negara, Datuk Sheikh Abdul Halim, adalah seorang ahli tafsir al-Quran yang amat masyhur, disegani serta dihormati terutamanya di kalangan cendekiawan Islam. Malangnya sehingga hari ini tidak ada peguam yang tampil kehadapan untuk menyahut seruan Ketua Hakim Negara.
Di antara hakim-hakim Mahkamah Persekutuan yang giat memperjuangkan bahasa kebangsaan adalah Hakim Haidar Mohd. Noor, Hakim Pajan Singh Gill, Hakim Abdul Hamid Muhammad, Hakim Allaudin Mohd. Sharif dan Hakim Rahmah Hussain.
Di Mahkamah Rayuan hakim yang seringkali memperjuangkan bahasa kebangsaan adalah Hakim Abdul Aziz Muhamad, Hakim Mohammed Ghazali Mohd Yussuf, Hakim Nik Hashim Nik Abdul Rahman dan Hakim Abdul Kadir Sulaiman.
Di Mahkamah Tinggi, hakim-hakim yang prihatin terhadap kedudukan bahasa kebangsaan adalah Hakim Faiza Thamby Chik, Hakim Suriyadi Halim Omar, Hakim Abdul Hamid Embong, Hakim Raus Sharif, Hakim Mohd. Noor Abdullah dan Hakim Zulkifli Ahmad Makinuddin.
Tidak ada sebab munasabah mengapa bahasa kebangsaan tidak boleh digunakan sebagai bahasa pengantaraan di mahkamah tertinggi negara. Seharusnya segala prosiding di Mahkamah Persekutuan serta Mahkamah Rayuan wajib dijalankan sepenuhnya di dalam bahasa kebangsaan dengan serta-merta. Jika tidak laungan Merdeka yang bakal kedengaran pada 31 Ogos adalah laungan kosong yang tidak akan membawa apa-apa makna.
- ABDUL MALIK ABDUL HAKIM adalah peguam bela di Kuala Lumpur.
————————-
Artikel lengkap boleh didapati dari: