Artikel

Ikatan Cinta Mendekati Sempurna: Bercinta Sampai Syurga

oleh Nurul Aqilah Hairulsam pada 06 Feb 2015

Arterio-Veneous Malformation (AVM), istilah kedoktoran yang diberikan kepada suatu penyakit genetik yang misteri dan berkaitan dengan masalah saraf otak. Penyakit ini berkemungkinan hanya berlaku ke atas nisbah 1 di antara 150, 000 orang.

Sesungguhnya Allah S.W.T Maha Berkuasa yang mampu menurunkan penyakit dan mahupun penawar ke atas setiap umat yang dikehendaki oleh-Nya, tidak mengira status, pangkat mahupun darjat. Di dalam nisbah yang dinyatakan, penyakit itu telah datang menjenguk seorang hamba Allah tanpa diduga.

Cabaran yang tidak dijangka hadir dalam perjalanan cinta di antara penulis, Nik Raihan Abd Rahman dan isteri tercinta bermula pada satu peristiwa yang bakal mengubah perjalanan rumah tangga mereka.

Saat semuanya indah, hari-hari yang hampir sempurna di samping keluarga tersayang, beliau diuji dengan berita yang sangat hebat, di mana isterinya, disahkan menghidap penyakit genetik itu.

Namun begitu, Raihan tidak cepat melatah dan walaupun pada awalnya beliau tidak dapat menerima kenyataan tersebut, Raihan masih setia dengan akad yang dilafazkan ketika saat mereka bergelar suami dan isteri.

Pelbagai kisah manis dan pahit diceritakan sepanjang perjalanan hidup beliau dalam meniti hari-hari bersama isterinya yang memerlukan penjagaan setiap masa bermula dari hari isteri beliau disahkan menghidap penyakit tersebut.

Para pembaca juga dapat menikmati kisah-kisah yang mencuit hati dari pasangan suami isteri ini, turut dikongsikan pelbagai tips-tips dalam menjaga insan yang menghidap penyakit-penyakit kronik.

Antara sifat-sifat dimiliki oleh penulis yang harus dijadikan contoh adalah beliau seorang ketua keluarga yang sentiasa bersikap positif dan sentiasa cuba untuk memperbaiki diri dalam menjadi seorang suami kepada isteri tercinta dan anak-anak yang dikasihinya.

Tidak dilupakan juga, tanggungjawabnya sebagai hamba Allah S.W.T, yang selalu istiqamah dalam setiap ujian yang diberikan.

Buku ini mampu menambat hati para pembaca yang ingin mengetahui apakah erti cinta sejati di saat perhubungan dilanda duri ranjau dan juga berlandaskan tuntutan agama yang diberkati oleh Allah S.W.T.


Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024