Artikel

REVIU BUKU : Set 365 Tip Cara Nabi

oleh Waridah Lothpi pada 28 Oct 2020

Buku yang sangat penting, dan mengambil masa paling lama untuk dihabiskan. Lama bukanlah kerana kontennya berat, tetapi setiap helaian menuntut perhatian dan refleksi diri. Merenung mana-mana khilaf sepanjang hampir 16 tahun bergelar emak. Banyakkah salah silap yang ditemukan? Sangat banyak!

Kalaulah ia wujud 16 tahun lalu…Kalaulah lebih rajin menelaah..Kalaulah diri lebih bersabar.. Senarai ‘kalau’ yang tak ada hujungnya. Senjata syaitan untuk menembus masuk, lalu membina rasa kesal dan berputus asa. Insha-Allah, mudah-mudahan tidak terlalu lewat, meskipun anak sudah hampir fasa meninggalkan ‘sarang’ abi dan umi.

Penulisnya ialah motivator dan pendakwah tersohor, Ustazah Isfadiah Mohd Dasuki.

1. 365 Tip Didik Anak Remaja Gaya Rasulullah

2. 365 Tip Mendidik Anak Soleh dan Solehah

3. 365 Tip Didik Anak Gaya Nabi

Setiap buku dijual secara berasingan.

Mengapa kesemuanya berangka ‘365’? Supaya kita yang katanya sangat sibuk ini ada kesempatan setahun untuk mengkaji setiap tip. Tak bolehlah beralasan ‘tak tahu’ atau ‘tak sempat baca’. Dan oleh sebab ia berkonsepkan ‘tip’, maka penulis memudahkan penyampaian dengan ayat pendek dan dalam bentuk ‘point’.

Misalnya buku Didik Anak Gaya Nabi dalam bab ‘Jadikan Pesan Luqman Al Hakim sebagai Tarbiah Kepada Anak’;

“Tarbiyah yang benar adalah tarbiyah yang menjaga keimanan hati kepada Tuhan dengan meninggalkan segala larangan-Nya. Jadikan kewajipan menuntut ilmu sebagai tuntutan fitrah supaya kebajikan terpelihara.

Tip #209 : Jadikan pesan Luqman Al Hakim sebagai rujukan supaya anak dapat mengikut jejak para Solihin; Tidak menyekutukan Allah SWT, berbakti kepada ibu bapa, melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran, dirikan solat dan bersabar.”

Buku Mendidik Anak Soleh dan Solehah pula, fokusnya lebih kepada membangun spiritual anak melalui amalan kerohanian, sumber makan minum, dan melentur akhlak anak.

“Bab 42; Mencari Hikmah Penciptaan Diri Melalui Al Quran.

Tip #128 Minta anak senaraikan setiap hikmah yang diperoleh daripada setiap anggota tubuh.

Tip #129 Setiap kali bangun daripada tidur, ajar dan ingatkan anak supaya mengucapkan syukur atas segala pemberian dan kurniaan Allah SWT

Tip #130 Jelaskan hikmah dan kejadian setiap anggota melalui fungsi dan peranannya. Contohnya telinga dibentuk dalam bentuk yang banyak lekuk bagi menampung suara, dan supaya serangga yang berjalan padanya mengambil masa yang lama sehingga manusia terbangun daripada tidur.”

Kita yang dah tua pun, kadang-kadang terlupa juga.

Buku yang ketiga ini saya anggap paling penting. Sentuhan akhir ibu bapa sebelum anak dilepaskan hidup sendiri. Tip di dalamnya lebih dewasa, dan anak-anak perlu disantuni sebagai individu yang perlu tahu untuk membuat pilihan yang betul.

Tahu mengurus perasaan cinta.

Bijak memanfaatkan masa, bukan hanya menilai keputusan dan pencapaian peperiksaan anak-anak.

Bolehkah menghukum anak remaja? Bagaimana?

“Bab 54; Melaksanakan hukuman kepada anak-anak perlu mengikut tahap tertentu supaya mereka tidak berasa dizalimi.

Tip #213 Dengar terlebih dahulu penjelasan anak sebelum menjatuhkan sebarang hukuman. Elakkan daripada membuat tuduhan melulu kepada anak-anak tanpa mendengar penjelasan mereka.

Tip #214 Diam seketika (seperti boikot secara halus) supaya anak dapat merasai apa yang ibu bapa mereka rasakan.

Tip #215 Hukuman yang dikenakan perlu bersesuaian dengan kesalahan. Minta anak cadangkan sendiri, apakah bentuk hukuman yang mereka rasa berpadanan, kemudian kita buat pertimbangan. Beri penjelasan mengapa mereka perlu dihukum.”

Makin banyak baca, makin insaf bahawa diri ini banyak benar tak tahu.

Manual ‘parenting’ yang wajib ada di setiap rumah.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024