Artikel

Industri penerbitan buku berbahasa Melayu sedang berkembang pesat.

oleh Helmi pada 07 May 2004

Ada beberapa perkara mengenai penerbitan buku yang dikatakan benar oleh sesetengah orang, tetapi sebenarnya tidak. Saya ingin membincangkan beberapa isu yang selalu disebut-sebut, dan perkembangan-perkembangan isu tersebut.

Benarkah orang Melayu kurang membaca?

Semasa PTS dimulakan dahulu, banyak orang yang berkata “Orang Melayu tidak membaca buku, kenapa mahu terlibat dalam bidang ini?” Malah, sehingga hari ini saya masih mendapat komen seperti ini. Dikatakan yang masyarakat Melayu hanya tahu membeli buku teks dan revisi. Kita akan jatuh bankrap jika mahu mengkhusus kepada buku ilmu untuk golongan dewasa.

Data kami di PTS menunjukkan sebaliknya. Jualan buku-buku ilmu yang berkualiti tinggi dan mesra pembaca sedang berkembang pesat. Jualan buku kami sendiri berkembang lebih 100% tahun-ke-tahun. Trend ini bukan sahaja terhad kepada kami. Penerbit besar seperti Utusan Publications mencatatkan prestasi perniagaan yang jauh lebih baik. Turut sama melombong dalam lubuk emas bahasa Melayu ini ialah syarikat penerbitan yang dipunyai oleh orang bukan Melayu!

Saya percaya banyak penerbit buku berbahasa Melayu yang lain tahu akan perkara ini. Malah saya meramalkan yang akan lahir lebih ramai lagi penerbit buku berbahasa Melayu yang mengkhusus kepada satu jenis buku dalam tahun-tahun terdekat ini. Trend ini akan menjadi satu perkembangan yang sangat baik untuk industri penerbitan tempatan.

Penerbit novel seperti Kreatif dan Alaf21 mungkin mencatatkan perkembangan yang paling tinggi di kalangan penerbit tempatan (Saya tidak ada data jualan mereka). Lihat sahaja pembaca novel mereka hari ini. Pembaca novel berada di mana-mana. Saya sangat seronok melihat perkembangan ini. Novel berjaya menarik segolongan besar kelas masyarakat masuk ke kedai buku terutamanya remaja. Apabila mereka biasa membaca buku novel, lama kelamaan mereka juga akan mula membaca pelbagai buku yang lain sesuai dengan keperluan semasa mereka.

Kenapa kita perlu banyak buku berbahasa Melayu di pasaran.

Ada benarnya pendapat yang mengatakan sangat kurang buku berbahasa Melayu di pasaran sekarang. Pergi saja ke mana-mana kedai buku. Teori saya kenapa pasaran buku berbahasa Melayu dilihat agak suram adalah seperti ini. Ini adalah situasi ‘ayam dan telur’. Yang mana satu dulu mesti wujud, pembaca atau bukunya?

Hati saya percaya yang buku berkualiti dan mesra pembaca mesti dulu wujud. Barulah pembacanya akan datang. Alhamdullilah, setakat ini kebanyakkan daripada buku yang kami terbitkan sudah masuk ke cetakan kedua, ketiga dan ada yang sampai keempat dalam tempoh 3 tahun ini. Terbukti, pembaca buku memang mencari dan membeli buku berbahasa Melayu yang baik. Pembelian kerajaan melalui perpustakaan tidak akan dapat menyebabkan buku pergi ke cetakan kedua dan seterusnya. Konsumer buku yang besar ialah orang perseorangan, mereka inilah yang dapat menaikkan cetakan hingga ke 6 atau 7 kali.

Pembaca mahu pilihan yang baik apabila memilih dan membeli buku untuk dibaca. Banyaknya pilihan akan menyebabkan pembaca mempunyai lebih dorongan untuk membeli buku berbahasa Melayu. Pilihan yang banyak dan meluas juga memberi sebab perniagaan kepada kedai buku untuk memberikan ruang letak yang lebih baik kepada buku berbahasa Melayu. Apa yang berlaku hari ini, kerana pilihan yang terhad, buku berbahasa Melayu diletakkan jauh di belakang bersama-sama bacaan marginal yang lain.

PTS mensasarkan 10 buku terbit setiap bulan, naik daripada 6-7 tajuk sebulan yang kami lakukan sekarang. Saya akui ini sasaran yang agak tinggi bagi sebuah syarikat penerbitan kecil. Cukup banyak cabaran yang mesti diatasi untuk mencapai sasaran ini. Sistem kerja dan teknologi yang mesti dipertingkatkan, kemahiran kakitangan untuk mencari output optimum juga mesti dilatih. Kesilapan pasti berlaku. Kesabaran penulis-penulis kami pada waktu ini cukup kami hargai. Insyaallah, dengan sokongan semua pihak kita dapat mencapai sasaran ini. Staf-staf kami optimis sekali yang sasaran ini boleh dicapai.

Masa depan buku berbahasa Melayu.

Satu persoalan yang menghantui kami sekian lama ialah, mengapa pembaca mahu mencari buku tempatan? Mengapa mereka tidak membaca buku import. Topik dan tema buku import cukup banyak. Saya sendiri pembaca yang banyak membeli dan membaca karya import.

Satu jawapan yang mungkin ialah pembaca tempatan mempunyai masalah yang bersifat tempatan. Apa sekalipun datangnya globalisasi, banyak cabaran tempatan akan terus bersifat tempatan. Masalah tempatan ini ditangani dan diselesaikan dengan lebih baik oleh pakar tempatan. Pakar tempatan memahami punca, sebab dan konteks masalah dengan lebih mendalam. Di sinilah penerbitan buku tempatan akan mendapat memberi nilai tertinggi, memberi penyelesaian praktikal yang bersifat tempatan.

Banyak kajian telah membuktikan yang kita belajar dengan optimum menggunakan bahasa ibunda kita sendiri. Pengalaman saya di Jepun dalam program pertukaran pelajar memberikan makna baru perkataan ‘penterjemahan’ kepada saya. Buku-buku teknologi yang terkini, maksud saya baru sahaja 2-3 hari diumumkan kedapatannya, sudah diterjemahkan dalam bahasa Jepun. Saya melihat sendiri bagaimana rakan-rakan Jepun saya membeli, membaca dan membongkar segala isi buku tersebut di dalam makmal. Sahabat-sahabat saya ini minimal pengetahuan bahasa inggerisnya, sekadar cukup untuk memahami dan menggunakan komputer.

Buku dalam bahasa Melayu lebih mudah difahami oleh orang Melayu. Lebih mudah untuk pelajar Melayu memahami konsep yang ingin diterangkan. Hukum yang sama juga untuk pelajar Cina dan India. Lebih mudah mereka faham dalam bahasa mereka. Apabila pengetahuan mengenai konsep dan fundamental mereka sudah kukuh, mereka boleh mendapat maklumat gunaannya di dalam apa jua bahasa yang sesuai. Dengan bertambahnya pelajar yang menyambung pendidikan di peringkat tinggi, permintaan untuk buku-buku pengenalan, konsep dan fundamental tempatan semakin naik.

Trend ini bukan sahaja kelihatan di peringkat pendidikan tinggi, malah juga di kalangan umum. Apabila Perdana Menteri mula bercakapa mengenai k-society, masyarakat semakin berminat menambah pengetahuan mereka dalam pelbagai bidang. Mereka membeli medium utama yang menyampaikan ilmu iaitu buku. Penerbit dan penulis tempatan antara yang merasakan lonjakan permintaan terhadap buku bahasa Melayu.

Saya yakin yang trend ini semua memberikan petunjuk positif kepada masa depan buku berbahasa Melayu. Tidak ada masa yang lebih baik lagi untuk mereka yang terlibat dalam industri penerbitan untuk meningkatkan penghasilan buku-buku berbahasa Melayu.

Arief Hakim.
[email protected]

Arief Hakim ialah Pengurus PTS Publications & Distributors Sdn Bhd dan Syarikat Sekutunya. Pandangan beliau ialah pandangan peribadi dan tidak mewakili polisi rasmi PTS.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024