Artikel

Membina Industri Buku Terjemahan

oleh Helmi pada 07 May 2004

Pengenalan

Industri ilmu atau perbukuan di Taiwan, Jepun dan Korea adalah industri besar.

Apa yang kita pelajari daripada industri ilmu, khususnya industri terjemahan di Taiwan, Jepun dan Korea, ialah kita dapat membuat beberapa kesimpulan yang dapat dijadikan contoh. Taiwan merupakan satu contoh baik, bagaimana industri terjemahan dapat berkembang maju. Negara ini hampir sama besar dengan negara kita Malaysia. Ini bermakna industri terjemahan dapat berkembang maju dengan ditampung oleh jumlah rakyat seramai 20 juta. Ada beberapa generalaisasi yang dapat dibuat dan dijadikan pandu arah usaha-usha menterjemah di negara ini.

Dasar bahasa negara-negara ini “menggunakan bahasa peribumi sebagai bahasa pendidikan.” Dasar tersebut jelas dapat memandaikan rakyatnya, dan betapa rakyat yang berilmu tersebut menuntut supaya ilmu dibawa masuk ke dalam bahasanya. Tuntutan ini menimbulkan sebuah industri ilmu yang besar. Industri perbukuan di Taiwan sahaja menerbitkan 38,000 judul buku setahun, 8,000 daripadanya terjemahan.

Yang lebih penting ialah Taiwan membina sebuah industri ilmu yang bernlai RM 3.8 bilion satu tahun. Betapa sebuah negara sebesar Taiwan dapat menggerakkan sebuah industri perbukuan yang besar dan membawa nama yang harum dan maruah yang tinggi bagi negara Taiwan. Industri perbukuan ini dapat menjana bukan sahaja pendapatan yang besar, tetapi juga bilangan pekerjaan yang banyak. Sekiranya sebuah syarikat dapat menjana 100 pekerjaan, dari juruatur halamannya, penyunting, penulis, pencetak dan lain-lain, maka bayangkan berapa pekerjaan dapat diwujudkan. Sekiranya Taiwan ada 1000 syarikat penerbitan, maka bilangan pekerjaan yang dapat diwujudkan berjumlah 100,000. Ini suatu industri besar dalam ekonomi negara.

Sebaliknya, dasar yang tidak memihak kepada bahasa kebangsaannya, membunuh industri ilmu dalam bahasa peribuminya. Kita sukar menduga apa yang akan berlaku tanpa melihat gambarannya. Sebagai contoh, Filipina membuat dasar yang menggalakkan penggunaan bahasa Inggeris. Oleh sebab dasarnya demikian, maka ada dasar-dasar lain yang memberi keistimewaan kepada bahasa Inggeris. Penerbit dan pengimport buku Inggeris dikecualikan daripada membayar cukai kertas tetapi penerbit buku Tagalog dikenakan cukai. Akibatnya, industri buku Inggeris meningkat dan buku Tagalog hampir pupus. Yang hidup terpaksa menggunakan kertas yang murah dan rendah kualiti.

Seterusnya, mereka merasakan apa perlunya menulis buku Inggeris apabila buku tersebut mudah sahaja diimport dari Amerika. Negara tersebut menjadi semakin bergantung kepada import buku dari Amerika. Dengan demikian mereka kehilangan sebuah industri yang besar nilainya. Sekurang-kurangnya sebesar nilai industri buku di Taiwan. Mungkin lebih besar sebab bilangan rakyatnya ialah 76 juta orang.

Apabila mereka mengimport pula buku dari Amerika, mereka kehilangan lagi dana dalam bentuk tukaran asing. Akibatnya mereka dua kali rugi. Jumlah industri yang hilang adalah jumlah nilai industri yang tidak dapat wujud kerana dasar yang memihak kepada bahasa Inggeris, ditambah dengan nilai buku yang diimport. Dibandingkan dengan Taiwan, Filipina bukan hilang RM 3.8 bilion setahun, tetapi ditambah dengan nilai import buku dari Amerika. Kiraan kasar mungkin dapat meletakkan kerugian itu pada RM 7.6 bilion setahun.

Ini satu bencana besar dalam ekonomi negara seperti Filipina.

Inilah yang menjadi dasar perbincangan mengapa kita perlu mewujudkan dasar bahasa yang mengutamakan bahasa peribumi supaya dapat memandaikan semua rakyatnya, dan sekali gus mewujudkan industri ilmu yang bukan sekadar memberi kekayaan tetapi maruah kepada negara dan bangsa.
Industri Buku Taiwan

Cerita kejayaan industri buku di Taiwan sangat menarik. Taiwan adalah sebuah negara kecil yang dapat bertahan ketika badai ekonomi melanda Asia. Ini dapat dilihat dalam aktiviti industri perbukuannya. Pada Pameran Buku Antarabangsa Taipei yang Kesepuluh, diadakan pada bulan Februari tahun 2002, jualan bukunya menunjukkan prestasi yang menakjubkan. Seorang wartawan, Sally Taylor menulis sebuah rencana mengenai perkara ini dalam Publishers Weekly pada bulan Disember tahun lalu. Beliau memberitahu bahawa industri penerbitan buku Taiwan adalah cergas. Beliau juga meramalkan bahawa masa depan pasaran buku dalam bahasa China adalah cerah. Buktinya ialah, jualan bukunya kekal menggalakkan. Bahkan apa yang lebih menarik lagi ialah, aktiviti menterjemah juga meningkat. Ini terbukti dengan meningkatnya usaha membeli hakcipta buku bagi diterjemahkan ke dalam bahasa China.

Apakah yang sebenarnya menjadi senario industri perbukuan di Taiwan? Pada masa ini pasaran buku Taiwan bernilai RM 3.8 bilion setahun. Taiwan menerbitkan 38,000 tajuk buku baru dalam tahun 2000. Yang sangat ketara dan memeranjatkan kita ialah 8,000 daripada tajuk itu datang daripada buku asing yang diterjemahkan ke dalam bahasa China. Malah buku terjemahan mendapat tempat istimewa dalam kelompok buku yang terlaris. Sebilangan besar daripada 100 buku terlaris atau bestseller yang dijual di kedai-kedai buku besar di Taiwan, datangnya daripada karya terjemahan.

Apabila memperkatakan tentang betapa besarnya pasaran buku di Taiwan, kita mungkin merasa sedikit curiga, kerana Taiwan adalah sebuah negara kecil. Negara kecil ini mempunyai jumlah penduduk yang kecil juga, maka tentulah pasaran bukunya kecil juga. Namun, jumlah judul dan naskhah buku yang diterbitkan adalah besar. Hakikatnya ialah, walaupun Taiwan mempunyai 20 juta penduduk, tetapi bilangan penduduk 20 juta ini dapat menghidupkan industri perbukuan, iaitu industri yang berasaskan ilmu pengetahuan. Ini adalah disebabkan bilangan pembacanya ramai. Bukan itu sahaja, malah setiap pembaca di Taiwan berbelanja lebih daripada RM 450 setahun membeli buku.

Kesan positif daripada tabiat membaca inilah yang menimbulkan cerita-cerita kejayaan dalam bidang industri ilmu, khususnya penerbitan buku, yang juga melimpah ke bidang industri terjemahan. Memang sudah menjadi lumrah di Taiwan pada masa ini, bagi kedai buku menjual sebanyak 10,000 naskhah buku terjemahan yang baik setahun. Angka ini sudah meningkat tinggi, sebab pada masa lalu buku-buku terjemahan hanya dapat dijual sekitar 3,000 naskhah sahaja setahun.

Ciri-ciri dan perkembangan beginilah yang mendorong industri perbukuan umumnya, dan terjemahan khususnya berkembang pesat.

Di antara syarikat penerbitan yang cepat berkembang ialah Cit. Bahagian buku rujukannya Owl, menjual buku yang diterbitkan oleh syarikat DK, Cambridge dan Larousse. 95% daripada buku ini adalah terjemahan dalam kategori bacaan umum untuk semua peringkat umur. Aktiviti perniagaan buku ini kian berkembang mencakupi buku sastera, seni, dan buku akademik. Di samping itu terdapat pula buku yang diterbitkan oleh Polo Press yang menerbitkan buku panduan untuk pelancong. Semua buku ini, iaitu 100% adalah terjemahan. Syarikat-syarikat ini amat optimistik dalam operasinya, dan terus berusaha mencari tajuk-tajuk buku yang sesuai dari Amerika supaya diterjemahkan.
Bagaimana ini berlaku?

Pengasas Commonwealth Publishing Company di Taiwan, Encik Charles Kau menjelaskan bagaimana kemajuan industri buku terjemahan ini dapat berlaku. Syarikat beliau mempunyai kedudukan yang kuat dalam industri menerbitkan buku-buku sederhana dalam bidang perniagaan dan politik.

Beliau berkata, menerbitkan buku di Taiwan sekarang adalah lebih terbuka dan menggalakkan berbanding dengan di tempat-tempat lain di Asia. Beliau memberitahu Pusblishers Weekly, bahawa itulah sebabnya syarikat penerbitan tumbuh maju di Taiwan. Buku tidak mahal dan kualitinya sangat baik. Buku setebal 200 halaman berkulit nipis hanya berharga sekitar RM 18.00 hingga RM 23.00 sahaja senaskhah.

Di samping itu, masyarakat China itu sendiri menggalakkan industri perbukuan berkembang. Sikap terbuka masyarakat China menerima buku juga membantu menggalakkan industri perbukuan.

Kedua, Encik Kau mengatakan bahawa mereka juga ada membuat tinjauan, dan, hasil analisis terhadap tabiat membeli buku dan membaca di kalangan rakyat Taiwan itu, memberi pedoman kepada syarikat mereka bagaimana membawa masuk idea-idea progresif dari Barat. Tajuk-tajuk buku terjemahan bagi bacaan berat juga laris dijual. Sebagai contoh antara buku-buku yang digemari oleh pembaca Taiwan ialah karya Peter Singer, Michael E. Porter, Peter Drucker dan George Soros. Dan ada juga yang membeli terjemahan buku Charles Handy, John Nesbitt and Steven Covey.

Seterusnya dalam industri terjemahan itu, syarikat-syarikat penerbit di Taiwan semakin terdorong dan membangun. Mereka juga sudah menjadi lebih canggih dalam memilih buku-buku dari Barat. Perkembangan ini menimbulkan persaingan di antara syarikat-syarikat penerbit. Ini menunjukkan gambaran ekonomi yang sedang giat membangun. Perkembangan pesat ini menimbulkan perang harga hakcipta, walaupun harga hakcipta meningkat dari tahun ke tahun, dan persaingan bertambah sengit.

Memang benar ada juga gambaran bahawa apa-apa sahaja produk Amerika laris dijual di Taiwan. Begitu juga kata Encik Richard Huang, Ketua Pegawai Ekzekutif syarikat Classic Communications. Syarikatnya menjual sejuta naskhah buku Scott Adams bertajuk “The Dilbert Principle.”
Isu Mutu Terjemahan dan Makna Budaya

Pun begitu, perniagaan buku-buku ini tidak selalunya laris sentiasa. Salah satu daripada buku yang gagal teruk ialah buku IDG, dalam siri Dummies. Apakah sebabnya ini berlaku? Terjemahannya buruk. Ini membuktikan pembelinya membaca. Apabila terjemahannya tidak baik, maka buku itu tidak laku.

Terjemahan yang baik memang dapat meningkatkan jualan. Apabila jualan buku siri Dummies itu tidak menjadi, sebuah penerbit lain mengambil alih siri Dummies tersebut. Buku itu diterjemahkannya semula dan diberi kulit baru. Kali ini buku itu laris pula jualannya. Ternyata terjemahan yang baik dapat menentukan kejayaan besar.

Begitu juga, apabila sebuah buku diterjemahkan ke dalam sebuah bahasa lain, bukan sekadar isi buku itu sahaja yang diterjemahkan. Mari kita kembali kepada siri buku Dummies tadi. Apakah yang dilakukan oleh syarikat Locus yang mengambil alih penerbitan semula buku itu? Tuan punya syarikat itu mempunyai idea kreatif. Syarikat penerbitnya telah mengkaji semula penerbitan siri buku Dummies tadi. Mereka membuat sebuah desain yang lain sama sekali. Saiz buku itu disesuaikan dengan selera pembaca Taiwan. Logo syarikatnya juga diubah. Kemudian, satu idea kretaifnya timbul lagi. Beliau menyedari bahawa makna perkataan ‘dummy’ dalam bahasa China itu juga berlainan.

Sekarang, syarikat Penerbit Locus memanggilnya “Siri Golongan Orang Bergeliga.” Encik How yang mempunyai syarikat Penerbit Locus berkata, dalam bahasa China ada dua makna ‘orang bergeliga.’ Pertama ialah orang yang betul-betul ‘bergeliga” dan kedua maknanya ‘Si Tolol.’ Pembeli China sangat sensitif terhadap bagaimana kita memanggil mereka, ‘Orang Bergeliga’ atau ‘Si Tolol.’
Buku Cerita Kanak-kanak

Dalam tahun 2000 dan 2001 terjemahan buku-buku Harry Potter menduduki puncak carta jualan buku di Taiwan. Sastera kanak-kanak, sama ada dari sumber China mahupun dari Barat memang sentiasa meraih jualan yang tinggi. Hakikatnya ialah 50 % daripada buku-buku biasa kanak-kanak adalah terjemahan.

Akibat perkembangan ini, syarikat penerbit di Taiwan dan orang ramai mula merasa bimbang terhadap pengaruh asing yang menular masuk ke dalam budayanya. Mereka mahu menggalakkan supaya budaya China itu sendiri dikembangkan, namun mereka semua bersependapat. Mereka agak pragmatis. Mereka berpendirian bahawa anak-anak mereka mestilah mendapat segala-gala yang terbaik dalam dunia ini.

Dengan pendirian demikianlah maka Encik Robert Lin, Presiden Children Publications Co. Ltd. yang menjalankan kerjasama dengan syarikat penerbit DK, Scholastic and Gallimard, bagi menerbitkan buku kanak-kanak. Beliau mengunjungi pameran terbesar buku kanak-kanak di Bologna setiap tahun. Bahkan, lebih lima puluh syarikat penerbit dari Taiwan berlumba-lumba setiap tahun pergi ke Bologna bagi mendapatkan hakcipta buku-buku cerita kanak-kanak bagi diterjemahkan ke dalam bahasa China.

Salah satu daripada syarikat yang menerbitkan buku kanak-kanak ini ialah penerbit Senseio Group. Syarikat ini menumpukan seluruh usahanya bagi menerbitkan buku kanak-kanak. Ini termasuk juga buku teks dan bahan rujukan. Syarikat ini mahu menggalakkan penulis dan ilustrator tempatan. Mereka juga mahu menggalakkan kanak-kanak dan keluarganya membaca bersama-sama.


Galakan Anugerah “Suria Kecil”

Ada sebuah anugerah iaitu “Anugerah Suria Kecil” yang diperkenalkan pada tahun 1996 oleh kerajaan Taiwan melalui Jabatan Maklumat Kerajaan. Anugerah ini diberi kepada bahan bacaan tambahan bagi pelajar-pelajar sekolah rendah dan menengah. Ini menggalakkan industri buku kanak-kanak berkembang.
Industri Buku dan Terjemahan di Jepun

Walaupun Jepun sebuah negara maju yang mempunyai kepustakaan besar, namun jual beli hakcipta bagi menterjemah buku-buku asing terus kekal sebagai perniagaan besar di Jepun. Bilangan yang besar melibatkan hakcipta bagi terjemahan daripada bahasa Inggeris ke bahasa Jepun. Cerita-cerita tentang kejayaan perniagaan hakcipta buku dalam industri terjemahan ini, dilaporkan oleh Herbert Lottman dalam Publishers Weekly pada 22 Julai tahun lalu.

Walaupun jualan bukunya menurun, tetapi apabila dilihat 10 buku terlaris di Jepun, separuh daripadanya adalah terjemahan. Sejak tahun 1997 sehingga tahun lalu, angka jualan buku jatuh. Jualan buku-buku baru di kedai-kedai buku jatuh daripada 10,277 tajuk kepada 8,741 tajuk. Bilangan naskhah terjual juga jatuh daripada 875.9 juta naskhah kepada 748.7 juta naskhah.

Namun begitu penerbit Jepun menerbitkan 70,000 judul dalam tahun niaga yang berlalu. Hasilnya tidaklah seperti yang dihasratkan. Namun demikian Yayasan Buku Jepun iaitu Japan Book News, melaporkan bahawa jualan buku terlaris bagi tahun yang bermula dengan bulan Disember 2000 hingga bulan November 2001 ialah Who Moved My Cheese? oleh Spencer Johnson, dan tiga tempat berikutnya diduduki oleh tiga tajuk pertama buku Harry Potter.

Seperti di Taiwan juga industri terjemahan meningkat di Jepun, walaupun jualan buku keseluruhannya jatuh.

Industri Buku dan terjemahan di Korea

Di Korea perkembangan syarikat penerbitan yang menerbitkan buku karya asli dan juga terjemahan semakin menonjol. Sally Taylor menulis dalam Publishers Weekly mengenai penerbitan di Korea. Sejak lima tahun lalu, Korea mula mengiktiraf dan mematuhi peraturan hakcipta antarabangsa. Sekarang Korea menghantar pasukan yang besar pergi ke Bologna setiap tahun bagi membeli hakcipta buku bagi yang akan diterjemah dan diterbitkan.

Syarikat penerbit Thinking Tree mengambil masa selama tiga tahun sahaja bagi melonjak naik masuk ke golongan lima syarikat penerbit terbesar di Korea. Pengurus hakciptanya Hegene Kim menyatakan bahawa kejayaan mereka tercapai kerana hubungan media yang baik dan juga terjemahan yang baik. Malah Hegene Kim tertarik masuk bekerja dengan Thinking Tree kerana peningkatan terjemahan karya akademik yang lebih serius.

Buku bestsellernya yang pertama ialah buku Anthony Giddons bertajuk The Third Way. Malah ini adalah bukunya yang ketiga sahaja. Syarikat ini juga menterjemah dan menerbitkan buku George Stephanapoulos bertajuk All Too Human, buku Lester Thurow bertajuk Building Wealth, buku David Bodanis bertajuk E=MC2, buku Dava Sobel bertajuk Galileo’s Daughter, dan berikutnya buku Dava Sobel yang bertajuk Longitude.

Syarikat Thinking Tree berbangga kerana mempunyai nama baik dalam penerbitan. Seperti syarikat penerbitan lain, jualan buku dalam taliannya. Thinking Tree mempunyai 64 buku tempatan dan 52 buku asing, semuanya dapat dibeli dalam bentuk buku elektronik. Malah Thinking Tree hanya satu daripada 200 penerbit yang menjual bukunya melalui Booktopia.com. Lazimnya, mereka akan membiarkan pelanggan memuat turun 10 halaman bukunya bagi melihat sama ada mereka mahu membeli buku itu atau tidak. Kalau suka mereka boleh memuat turun seluruh buku dengan bayaran.

Sekali lagi kita dapat melihat bahawa penjualan buku terjemahan mencakupi jumlah perniagaan yang besar di Korea.
Kesimpulan

Daripada tiga cerita industri perbukuan di atas, ternyata industri terjemahan memang boleh menjana industri besar. Kita dapat meniru startegi ini.


Inilah masanya yang tepat. Dalam industri penjualan buku di Malaysia pada hari ini, jualan buku dalam bahasa Melayu makin meningkat. Bertentangan dengan kepercayaan umum, buku-buku Melayu adalah laris berbanding dengan buku Inggeris. Buku-buku dalam bahasa Melayu perlu diperbanyak.

Untuk mencapai hasrat ini dasar yang dapat menggalakkan industri ilmu dalam bahasa Melayu perlu digubal. Kita perlu melaksanakan dasar pendidikan yang memberdayakan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Secara objektif itulah caranya memandaikan rakyat. Sebagai sarjana, kita mempunyai tanggungjawab pada masyarakat bagi menyatakan yang benar tanpa takut-takut.

Usaha-usaha sokongan yang dapat membantu perkembangan industri perbukuan negara juga perlu diberi perhatian. Majlis Buku Negara yang perlu diaktifkan semula bagi menjalankan tugasnya menyemarakkan industri perbukuan dalam bahasa Melayu.

Dana yang diwujudkan bagi menterjemah dan menerbitkan buku ilmu perlu ditambah dari semasa ke semasa. Dana tersebut dapat digunakan bagi membeli hakcipta buku-buku yang diperlukan. Hakcipta tersebut mahal dan sukar dilaksanakan oleh mana-mana penerbit bersendirian. Keuntungannya terletak pada minda bangsa yang dibina. Keuntungan dari segi ringgit tidak wajar digunakan sebagai ukuran.

Sistem percukaian yang tidak membantu perkembangan industri perbukuan dalam bahasa Melayu perlu juga diberi perhatian.

Badan-badan yang terlibat terus dengan terjemahan ilmu seperti ITNMB, penerbit universiti, Persatuan Penterjemah Malaysia, dan penerbit-penerbit swasta perlu digalakkan terus memindahkan ilmu ke dalam bahasa Melayu.

Memperkenalkan ganjaran yang sesuai pada usaha ke arah ini.

Begitulah kita memertabatkan bahasa dan bangsa. Retorik bahasa Melayu terjamin tarafnya dalam perlembagaan tidak bererti apabila bahasa itu kosong. Maruah bangsa itu pada bahasanya.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024