Artikel

Infak Ramadan dI Rumah Amal Limpahan Kasih Mencapai Objektif

oleh [email protected] pada 09 Sep 2009

Puchong – Objektif program Infak Ramadan iaitu mahu mewujudkan persahabatan dan keakraban bersama masyarakat luar berjaya tercapai apabila Kumpulan Cakcibo (salah sebuah rumah sukan di PTS) mengadakan program berkenaan di Rumah Amal Limpahan Kasih(RALK). Program yang juga disertai oleh enam orang wakil dari Pertonas itu diadakan pada 8 September 2009 yang lalu bagi meraikan 50 orang penginap RALK yang berusia dari 5 ke 15 tahun.

Tuan Zawawi iaitu penyelia RALK menyambut mesra kedatangan Kumpulan Cakcibo dengan membawa mereka ke nurseri yang diusahakan sendiri oleh penginap RALK. Nurseri itu bertujuan bagi memupuk semangat berdikari sesama penginap RALK supaya tidak hanya bergantung nasib kepada pemberian dan sedekah masyarakat sekeliling.

Beliau juga menerangkan 'limpahan' bermaksud hasil pemberian dan sedekah yang diterima daripada masyarakat tidak hanya diberikan kepada penginap RALK sahaja tetapi juga kepada warga tua, anak yatim yang tidak mendapat perhatian, orang kurang upaya dan sebagainya yang lebih memerlukan walaupun bukan penginap di RALK.

Program diteruskan secara santai yang mana dimulakan dengan persembahan nasyid daripada penginap RALK dan kemudiannya sesi suai kenal. Suai kenal dimulakan oleh penghulu RALK iaitu Saudara Lukmanul Hakim kemudian diikuti dengan penginap paling tua dan terakhirnya penginap yang paling muda. Staf PTS juga memperkenalkan diri sekaligus menerangkan serba sedikit latar belakang tugasan mereka di PTS.

Suasana bertambah gamat apabila ahli kumpulan Cakcibo mengadakan dua jenis permainan iaitu Kelopak Jantung Pisang dan Kotak Raya Beracun. Kesemua yang terlibat dibahagikan kepada 3 kumpulan. Ternyata peserta langsung tidak menunjukkan aksi penat dan letih walaupun masing-masing dalam keadaan lapar dan dahaga kerana berpuasa.

Majlis ditamatkan dengan ucapan penutupan oleh wakil staf Petronas, diikuti oleh Kapten Kumpulan Cakcibo dan yang terakhir oleh Tuan Zawawi. Seterusnya Kumpulan Cakcibo dan kesemua staf Petronas bersalam-salaman dan merakamkan kenangan tersebut dengan mengambil foto bersama-sama dengan penginap RALK.

Ternyata program ini dimanfaatkan sebaiknya oleh Kumpulan Cakcibo sempena bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini. Sesungguhnya, program sebegini mampu membuahkan rasa sayang kepada anak-anak yatim yang mana sangat dituntut dalam Islam.

Sumber : Rashiela Nurain Rashid (PTS PRO)

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (198801006125) © 2000 - 2025