Artikel
Ulasan Buku Tip-Tip Cemerlang Daripada Quran Oleh Zamri Mohamad
oleh [email protected] pada 08 Sep 2009
Kecemerlangan dalam tamadun Islam sangat didasari usaha-usaha penggalian formula sukses daripada al Quran. Ia dianggap sebagai pengulangan kejayaan kesan daripada aplikasi formula yang konsisten dan diterjemah secara langsung ke dalam sistem hidup. Ini menjadi punca kepada rasa kagum yang jelas terbukti dalam sejarah sebagaimana dinyatakan Marquis of Dfferin and Ava, Speeches, "Eropah terhutang budi kepada sains Islam, seni Islam dan sastera Islam yang menjadi kunci pembebasan mereka daripada kegelapan Zaman Pertengahan."
Ini menimbulkan persoalan, dari mana datangnya kecemerlangan dalam diri seorang Muslim sehingga menjadi momentum kepada siri kejayaan lain yang bersifat pelbagai? Kesannya bukan sahaja pada pelaku malah ia mengubah lanskap tamadun terdahulu sehingga menjadi rujukan dan ikutan dalam sejarah perkembangan dunia. Kesemua ini bermula dari kecemerlangan asas yang bermula dari dalam diri individu dilengkapi panduan yang bersifat menyeluruh.
Mentafsir kecemerlangan bermula dari dalam sebagaimana dinyatakan oleh Dr Danial Zainal Abidin mempunyai asas dan hujah yang jelas. Diteropong melalui sejarah pembinaan karakter bermula dari terciptanya nabi Adam, konteks kecemerlangan dari dalam yang membentuk karakter individu sangat berkait rapat dengan pembinaan iman. Malah kecemerlangan seorang Muslim itu dapat dilihat sebagai satu lagi bentuk rezeki daripada tuhan.
Jelas dinyatakan dalam surah al-Talaq ayat dua dan tiga, "Barang siapa yang bertaqwa kepada Allah, Dia akan adakan baginya jalan keluar dan (Allah) akan mengurniakan rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya. Secara mudah, takwa bermaksud sikap individu yang berhati-hati dan bersungguh-sungguh semasa beramal berlandaskan Quran dan Sunnah. Ini berdasarkan daripada lontaran soalan Omar bin Khattab kepada Ubai bin Kaab mengenai maksud takwa. Maka disoal oleh Ubai bin Kaab, "Pernahkah kamu berjalan di sebatang jalan yang dipenuhi onak dan duri?
Jawab Omar, "Ya, pernah."
Bertanya Ubai sekali lagi, "Apa yang kamu lakukan?"
"Aku berhati-hati dan bersungguh-sungguh," balas Omar.
Jelas Ubai, "Itulah takwa."
Budaya cemerlang dalam hidup individu juga berkait rapat dengan kemampuan individu membezakan antara yang benar dan sebaliknya. Kemampuan membuat interpretasi dan pertimbangan ini menurut Imam Ibn Kathir hanya diperolehi kesan daripada pendidikan jiwa yang mengukuhkan kesan takwa kepada Allah. Dalam bayangan yang dinyatakan Ibn Kathir, "Ia menjadi sebab kepada kejayaan dan menjadi jalan keluar masalah dari dunia. Ia juga menjadi sebab kepada kebahagiaan di akhirat." Takwa memerlukan pelengkapnya bagi menyempurnakan kefahaman dan meningkatkan keyakinan terhadap amalan serta keputusan hidup.
Di sini datangnya peranan ilmu dan hikmat. Hikmat berdasarkan kumpulan maksud daripada pandangan Imam Ibrahim an-Nakhii, Imam Malik dan Imam mujahid adalah kefahaman terhadap agama dan percakapan yang benar. Kefahaman yang mendalam mendorong kepada penguasaan seseorang terhadap sesuatu yang secara langsung mendorong elemen kecemerlangan yang mantap berkembang dari dalam diri.
Sebagaimana disebutkan oleh penulis, "Mereka menjadi golongan bijaksana, mampu mentadbir hidup dan menjadi contoh masyarakat."