Artikel
Isi tekad perjuangan bahasa
oleh Helmi pada 13 Jul 2006
Oleh NOOR AZAM
SAYA memilih untuk menulis mengenai 50 tahun Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) kerana DBP adalah Anak Utusan. Tanpa Utusan Melayu mungkin DBP tidak akan lahir pada tahun 1956 - belum pun kita merdeka.
Utusan Melayu membuka ruangan seluas-luasnya untuk perjuangan bahasa dan budaya, bahkan Utusan Melayu sendiri menjadi pejuang bahasa yang berani dan konsisten.
Utusan Melayu juga satu-satunya akhbar yang terus komited pada perjuangan bahasa Melayu. Dalam beberapa tahun terakhir ini - ketika media massa kita meminggirkan perjuangan bahasa - bila perlu Utusan Malaysia masih terus bersuara.
Pada Tahun Baru Cina yang lalu, Utusan Malaysia menyiarkan gambar besar sepanduk bertulisan Cina serta komennya yang menyengat, di muka depan. Beberapa hari selepas itu, sepanduk itu hilang dan berganti dengan sepanduk bertulisan Cina dan bahasa Melayu. Peristiwa ini kecil, tetapi besar ertinya.
Malam itu, timbul pertanyaan, Apa yang nak saya tulis? Dua puluh tahun - 1960-1980 - saya berkhidmat di DBP.
Saya teringatkan Tun Syed Nasir Syed Ismail, pegawai dan kakitangan, termasuk peon dan jaga - semuanya jadi pejuang bahasa yang jujur dan sangat komited.
Teringatkan Bulan Bahasa, Barisan Bertindak Bahasa Kebangsaan dan Peristiwa Keranda 152. Semuanya kisah perjuangan yang membanggakan. Tetapi saya tidak mahu bernostalgia. Orang tak akan suka membacanya.
Dua hari selepas itu, saya baca tulisan Firdaus dalam Utusan Malaysia. Tajuknya DBP: Satu jasad, tiga wajah. Mengapa mesti ada tiga wajah? Tulisan ini mulai membuka fikiran saya. Pada para akhir tulisan itu, Firdaus menyimpulkan:
Demikianlah, DBP dalam realiti dan idealismenya sepanjang kewujudannya 50 tahun yang lalu akhir-akhir ini telah menjadi mangsa salah tanggapan.
Benarkah DBP telah menjadi mangsa salah tanggapan? Kalau benar, mengapa terjadi salah tanggapan? Atau tanggapan yang dikatakan salah itu sebenarnya betul ? Apa pun tanggapan orang, tentulah ada salahnya DBP.
Pada pertemuan bekas orang Dewan yang pernah terlibat dalam pementasan drama di DBP - 13 Jun - saya baru tahu Datuk Johan Jaaffar telah dilantik Pengerusi Lembaga Pengelola DBP yang baru. Dan dalam ucapan singkatnya Firdaus menegaskan beberapa kali: Pesanan Datuk Johan agar menjadikan Dewan Bahasa mesra masyarakat dan Firdaus mengulang-ulang minta agar kita semua melupakan kelemahan masa lalu dan menumpukan perhatian kepada masa depan.
Peristiwa ini memberi jawapan: Apa yang elok saya tulis. 50 tahun adalah masa yang cukup lama. Tidak salah, malah memang perlu kita melihat ke belakang - bukan untuk ditangisi atau menghukum sesiapa - tetapi untuk panduan melangkah ke depan.
Meneliti kesalahan dan kelemahan untuk jadi pengajaran. Mencari kejayaan dan kekuatan untuk diperkukuhkan. Untuk jadi tempat tegak meneruskan amanah bangsa, khususnya amanah pejuang bahasa.
Amanah supaya DBP berjuang dan berusaha menjadikan bahasa Melayu benar-benar bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi yang tunggal di negara kita yang merdeka.
Firdaus dan Johan adalah gandingan dua tokoh yang sangat ideal. Selama 50 tahun belum pernah DBP mendapat gandingan pimpinan seperti ini. Kedua-duanya sama-sama memiliki kemampuan ilmu dan pengalaman kerja yang sangat diperlukan oleh DBP. Kedua-duanya adalah cendekiawan yang komited kepada usaha mengangkat martabat bangsa Melayu. Orang -orang yang prihatin pada nasib bahasa Melayu menumpukan harapan kepada mereka untuk mengembalikan semangat dan kegemilangan DBP, sekurang-kurangnya setara dengan zaman Syed Nasir dan Datuk Hassan Ahmad.
Bagi menunaikan amanah ini, DBP memerlukan semangat dan kepakaran, keberanian politik dan kemampuan ilmu. Keberanian politik perlu untuk menyelesaikan masalah politik bahasa, dan kemampuan ilmu untuk membina dan mengembangkan bahasa.
Zaman awalnya - selama 12 tahun (1957-1969) adalah era kehebatan DBP dalam tugas politik bahasa. Syed Nasir dengan dibantu tokoh-tokoh, antaranya Keris Mas, Usman Awang dan Pak Samad Ahmad telah berjaya menggembleng seluruh semangat dan tenaga pejuang-pejuang bahasa dari semua pertubuhan politik, guru, penulis, wartawan, bahasa, kebudayaan dan ilmuwan untuk mendaulatkan bahasa Melayu.
Bagaikan api dan ombak besar, Syed Nasir dan DBP memerangi siapa saja dan apa saja halangan dan tentangan, termasuk menteri, tokoh politik dan pegawai Melayu sendiri.
Perjuangan
DBP waktu itu menjadi kubu perjuangan bahasa dan Syed Nasir mendapat gelaran Panglima Bahasa. Seluruh pegawai dan kakitangan DBP pada zaman itu bukan sekadar bekerja makan gaji, tetapi menyatukan diri dalam barisan pejuang-pejuang bahasa.
Hebatnya DBP waktu itu sehingga mana-mana pegawai yang melakukan kesalahan lalu lintas tidak akan disaman polis. Tentera dan polis pun ikut dalam perjuangan bahasa.
Kedaulatan bahasa Melayu telah mencapai puncaknya, apabila dijadikan bahasa pengantar utama di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dengan tertubuhnya UKM (1970). Mulai 1982 menjadi bahasa pengantar semua kursus ijazah pertama di semua IPTA. (UKM itu sendiri - jika saya tidak salah - lahir daripada satu kongres yang dilangsungkan di Balai Budaya DBP.)
Pemakaian bahasa Melayu dalam pentadbiran kerajaan telah berjalan lancar dan mantap. DBP menubuhkan jabatan khusus untuk menyediakan buku dan menyelenggara kursus bahasa untuk pegawai kerajaan bukan Melayu. Penentang bahasa kebangsaan pun hampir tidak kedengaran lagi. Maka perjuangan politik bahasa boleh dikatakan selesai.
Kerja membina bahasa berjalan terus hingga sekarang, tetapi kerja mengembangkan pemakaian bahasa semakin hari semakin lemah. Harga dan maruah bahasa kebangsaan kita semakin jatuh. Rakyat, termasuk syarikat-syarikat boleh berurusan dengan kerajaan dengan bahasa Inggeris. Setiausaha dan juruaudit bertauliah menyediakan laporan tahunan syarikat yang menggunakan khidmat mereka, untuk Pendaftar Syarikat, dalam bahasa Inggeris. Kertas-kertas cadangan projek yang dikemukakan kepada kerajaan, juga dalam bahasa Inggeris. Di sekolah dan universiti bahasa Melayu tidak penting lagi. Bahasa Cina semakin penting. Semakin ramai orang Melayu menggunakan bahasa pasar dan bahasa kedai kopi.
Kerja berpuluh tahun untuk membolehkan bahasa Melayu jadi bahasa pengantar pendidikan, telah jadi sia-sia. Siapa pun tak boleh buat apa-apa. DBP pun tak boleh buat apa-apa. Yang ada hanya suara rakyat yang tidak ada pengaruh dan kuasa.
Nyatalah, perjuangan politik bahasa rupa-rupanya tidak selesai. Menjelang 2000 hingga sekarang, keberanian politik untuk mendaulatkan pemakaian bahasa sudah lupus. Komitmen dan keberanian politik yang dulunya ada pada UMNO, sudah tidak ada lagi. Pertubuhan penulis, guru, wartawan dan ilmuwan pun hampir tak kedengaran lagi.
Ada yang minta supaya DBP diberi kuasa undang-undang untuk boleh bertindak. Namun bagi saya, pemakaian bahasa tidak boleh dengan tindakan undang-undang. Tidak boleh menghukum orang yang tidak menggunakan bahasa Melayu atau menggunakan bahasa yang tidak betul.
Bagaimana hendak menghukum kalau menteri dan pegawai tinggi kerajaan menggunakan bahasa Inggeris atau bahasa dalca? Bagaimana hendak menghukum para eksekutif muda Melayu yang menggunakan bahasa Inggeris? (Mereka tidak mampu berbahasa Melayu yang baik. Kerja harian mereka menggunakan bahasa Inggeris.) Bagaimana hendak menghukum apabila televisyen menyiarkan ucapan dan kenyataan menteri, pegawai dan tokoh korporat dalam bahasa Inggeris? Bagaimana hendak menghukum apabila institusi kerajaan sendiri makin ghairah mencipta ungkapan atau nama-nama dalam bahasa Inggeris atau sekerat Melayu sekerat Inggeris?
Kata Hassan Ahmad, yang saya rasa hampir 20 tahun bertugas di DBP, termasuk 12 tahun sebagai ketua pengarah, Negara ini sudah sampai ke tahap yang agak mencemaskan, iaitu tahap mempertahankan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, bahasa pendidikan dan bahasa ilmu yang dibina selama 50 tahun. (DM Jun 06)
Untuk mempertahankan sesuatu - apa juga - memerlukan kekuatan dan mungkin juga senjata. Adakah kekuatan dan senjata itu pada DBP, dan pada gandingan Firdaus-Johan?
Menurut Firdaus: DBP sebagai badan kerajaan mendapat bantuan kewangan daripada Kementerian Pelajaran, diikat oleh Jabatan Perkhidmatan Awam, Kementerian Pelajaran dan kementerian-kementerian lain.
DBP sebagai badan kerajaan perlu pula menerima hakikat bahawa kerajaan mana yang memerintah, parti politik mana yang memerintah, pemimpin mana yang berkuasa, merekalah yang menentukan gerak- gerinya sebagai badan kerajaan. (UM 5 Jun 06)
Dengan penjelasan ini, penegasan Firdaus bahawa DBP tidak semestinya disamakan dengan badan kerajaan yang lain kerana ia adalah badan perjuangan yang diwujudkan pada Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ketiga, tidak bermakna apa-apa.
Bahkan ia tidak akan mungkin berjuang kerana diikat oleh pelbagai tali, iaitu kementerian-kementerian lain di samping Jabatan Perkhidmatan Awam dan Kementerian Pelajaran. Dan DBP lebih banyak diikat jika dibandingkan dengan jabatan dan perbadanan kerajaan yang lain. Dengan ikatan seperti ini, DBP akan jadi jasad yang mati.
DBP zaman Syed Nasir, ditubuhkan dan ditadbirkan di bawah akta penubuhan DBP yang sama dengan yang ada sekarang. Juga ditubuhkan oleh kerajaan yang sama dan parti pemerintah yang sama. Yang tidak sama adalah pemimpin nya.
Selama 20 tahun di DBP saya dan kawan-kawan tidak pernah merasa diikat sedemikian rupa. Bajet DBP bukanlah bantuan daripada Kementerian Pelajaran, tetapi peruntukan daripada bajet tahunan berdasarkan permohonan DBP dan perbincangan dengan pegawai-pegawai yang berkenaan. Alangkah malangnya jika badan seperti DBP menjadi anak miskin yang hidup daripada bantuan. Apalah gunanya ada Lembaga Pengelola jika gerak geri DBP ditentukan oleh parti yang memerintah dan kuasa-kuasa lain? Maka saya sarankan agar Firdaus dan Johan segera menyemak Akta DBP 1959 dan pindaannya 1995.
Kata Hassan DBP tidak mempunyai kuasa untuk menentang apa-apa keputusan pemerintah yang dianggap boleh menggugat taraf bahasa Melayu. Tetapi kata Firdaus DBP tidak semestinya disamakan dengan Pejabat Tanah kerana DBP adalah badan perjuangan. Itulah cabaran untuk gandingan Firdaus-Johan.