Artikel

Pastikan matlamat Bulan Membaca Kebangsaan tercapai

oleh Helmi pada 10 Jul 2006

TAHUN ini kempen membaca dan sambutan bulan membaca diterajui oleh Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan atau Kekwa, setelah Perpustakaan Negara selaku urus setia Gerakan Membaca Kebangsaan berpindah dari Kementerian Pelajaran ke Kekwa pada Mei 2005.

Bulan Membaca Kebangsaan yang disambut pertama kalinya pada Ogos 1995, bertujuan memperhebatkan kempen membaca kebangsaan untuk meningkatkan kesedaran dan mengingatkan masyarakat Malaysia pentingnya tabiat membaca dalam usaha menimba ilmu pengetahuan di samping membuka minda dan meluaskan pemikiran.

Memupuk tabiat dan amalan membaca bagi pelbagai tujuan di kalangan masyarakat amat penting dalam usaha membina masyarakat berilmu yang inginkan kemajuan dan cemerlangan serta mampu bersaing. Untuk mencapai matlamat ini semua peringkat kepimpinan daripada keluarga, institusi pendidikan, agensi kerajaan dan syarikat swasta serta pertubuhan bukan kerajaan perlu memainkan peranan untuk menggalakkan kerajinan membaca di kalangan anggota mereka. Mesej penting ini perlu diterapkan dengan mengulangi dan ditekankan setiap tahun melalui kempen di peringkat kebangsaan.

Program Bulan Membaca 2006 memang diberi lebih penekanan daripada tahun-tahun lalu oleh kerana bukan seorang tetapi dua orang menteri terlibat dalam pelancarannya iaitu Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan dan Menteri Pelajaran.

Meluas

Gabungan Kementerian Pelajaran dan Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan amat dialu-alukan kerana sudah tentu akan menjadikan kempen membaca ini lebih meluas dan bermakna lagi. Pengumuman pengisian program bulan membaca dan kempen membaca 2006 yang akan dilancarkan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, memang dinantikan.

Saya berkesempatan menghadiri beberapa aktiviti kempen membaca 2006 sebelum ini iaitu Pertandingan Bercerita Cerita Rakyat Peringkat Kebangsaan anjuran Perpustakaan Negara pada Mei lalu. Minggu lepas, saya berpeluang pula menghadiri majlis penutup Program Kembara Ilmu peringkat Negeri Sembilan di Seremban anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Sembilan. Aktiviti awalan ini menjanjikan pengisian program kempen membaca yang mantap dan menyeronokkan.

Negara maju seperti Amerika Syarikat juga menyambut Bulan Membaca Kabangsaan pada Mac dengan pelbagai aktiviti yang inovatif. Di antaranya melibatkan tokoh terkenal dan popular seperti Juara Dunia NBA (Persatuan Bola Keranjang Kebangsaan) Detroit Pistons dengan mengacarakan program khas Reading and Moving with Science (Membaca dan Bergerak Dengan Sains) di Pusat Sains Detroit yang baru dan serba moden. Bintang-bintang bola kerajang dari Detroit Pistons membaca dan menerangkan konsep sains serta membincang buku-buku sains bersama 250 pelajar dan ibu bapa mereka. Bayangkan impak program seperti ini jika diadakan di Malaysia untuk pelajar sekolah mahupun orang awam yang dihoskan oleh calon peringkat akhir program ke Angkasa Lepas di Pusat Sains Negara!

Gabenor Michigan, iaitu salah sebuah negeri di Amerika Syarikat, pula mengadakan program melawat sekolah pada Bulan Membaca untuk berkongsai buku pilihannya serta bercakap tentang kepentingan dan keseronokan membaca kepada pelajar sekolah. Sebagai ibu kepada tiga orang anak gabenor itu juga menceritakan bagaimana beliau menanam minat membaca ke dalam anak-anaknya seawal usia. Buku yang diceritakan oleh gabenor itu kemudian diedarkan kepada semua perpustakaan di Michigan berserta poster sempena Bulan Membaca Kebangsaan. Teladan yang mudah tetapi amat berkesan pemimpin seperti Gabenor Michigan ini memang wajar dicontohi.

Perpustakaan Negara juga telah mengambil inisiatif menjalankan Kajian Profil Masyarakat Malaysia pada 2005 dengan kerjasama Jabatan Perangkaan Malaysia. Kajian ini telah selesai dijalankan dan pengumuman penemuan kajian ini memang ditunggu.

Di negara membangun pula, Bulan Membaca Kebangsaan telah dilancarkan pertama kalinya di Sri Lanka pada 2004. Sebagai sebuah negara membangun yang mempunyai kadar literasi yang tinggi iaitu mencecah 96 peratus, kempen ini telah mendapat sambutan yang amat memberangsangkan dengan hampir 700 aktiviti membaca dianjurkan di seluruh negara. Malangnya usaha ini terjejas pada tahun berikutnya disebabkan kemusnahan hampir 70 perpustakaan awam apabila pulau itu dilanda tsunami pada akhir Disember 2004.

Namun kempen ini diteruskan walaupun banyak sumber dan usaha perlu ditumpukan untuk membina semula infrastruktur dan perkhidmatan perpustakaan awam di kawasan tepi laut selatan dan timur negara pulau itu.

Di antara cabaran penting kempen membaca kebangsaan ialah memastikan kesampaiannya ke kawasan luar bandar dengan penyertaan dan sokongan pemimpin dan institusi luar bandar termasuk sekolah, perpustakaan, masjid dan pertubuhan sukarela. Media elektronik dan surat khabar memainkan peranan penting dalam hebahan kempen. Yang sukar ialah mengadakan aktiviti yang dapat memberi suasana dan pengalaman keseronokan membaca untuk kanak-kanak dan masyarakat setempat di luar bandar.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (198801006125) © 2000 - 2025