Artikel
Islamik Relief Malaysia Terima Buku Yasin Dan Tahlil PTS
oleh Roziyah pada 19 Aug 2010
Dari kanan, Timbalan Pengurus Jualan, Tuan Zain Nasri bersama Penolong Penyelia Gudang, Tuan Aminul Hakimin Ahmad(tengah) menyerahkan buku-buku Yasin dan Tahlil kepada Ketua Bahagian Pembagunan Dana, Tuan Iskandar Syah Ismail bagi diwakafkan.
Islamik Relief Malaysia berbesar hati menerima buku Yasin dan Tahlil yang telah diwakafkan oleh PTS.
Menurut Ketua Bahagian Pembagunan Dana, Tuan Iskandar Syah Ismail, buku Yasin dan Tahlil ini bakal disalurkan kepada rumah anak yatim dan projek kemanusiaan yang diadakan oleh Islamik Relief Malaysia .
"Pihak Islamik Relief sentiasa mengadakan projek kemausiaan di kawasan-kawasan yang memerlukan seperti masjid dan sekolah. Selain itu kita juga mengadakan pameran di bazar-bazar sempena Ramadan ini. Jadi kita akan edarkan buku-buku Yasin dan Tahlil ini kepada orang ramai melalui projek kemanusiaan ini," jelas Tuan Iskandar.
Beliau yang mewakili Islamik Relief merasakan projek wakaf yang dilaksanakan PTS merupakan langkah yang baik kerana melalui projek ini dapat memupuk semangat membaca dan sukakan buku.
"Projek wakaf ini dapat membantu anak-anak yang memerlukan agar mereka dapat menjadikan hidup mereka lebih baik. Seperti kata pepatah daripada bagi mereka makan ikan lebih baik kita beri mereka pancing agar mereka dapat membangunkan kehidupan mereka agar menjadi lebih baik," jelas beliau lanjut.
Bagi beliau, wakaf buku ini juga mampu memberi peluang kepada masyarakat umum agar dapat beribadah dengan bersedekah sambil memberi manfaat jangka panjang.
Terbaru, Islamik Relief sedang mengumpul dana bagi mengadakan perpustakaan di pusat jagaan anak yatim serta perpustakaan komuniti kaum India di yang tinggal di estet.
"Prinsip Islamik Relief adalah membantu semua golongan tanpa mengira agama, bangsa dan warna kulit. Kita akan menyalurkan bantuan kepada yang memerlukan terutamanya kepada mereka yang tiada ekses kepada pendidikan," jelas beliau lanjut.
Beliau bersama Islamik Relief Malaysia juga mengambil langkah menyediakan rak dan buku di masjid-masjid yang dilawati.
"Apabila pergi ke masjid kita melihat ramai orang baring dan berehat kerana kurang bahan bacaan ringan di ruangan masjid. Kita letakkan majalah dan buku agar mereka dapat mengisi masa dengan membaca buku-buku yang disediakan,"jelas beliau lagi.
Islamic Relief merupakan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang memberi bantuan ketika darurat dan pembangunan yang dapat bertahan, bermatlamat membantu masyarakat termiskin dunia.
Islamic Relief aktif dengan memberi bantuan darurat dan pembangunan kemanusiaan di seluruh dunia, termasuklah di Afghanistan, Albania, Bangladesh, Bosnia, Chad, Chechya, China, Mesir, Ethiopia, Indonesia, Iraq, Jordan, Kenya, Kosova, Lebanon, Malawi, Mali, Nigeria, Pakistan, Somalia, Africa, Sudan dan Yemen.
Tuan dan puan yang berminat menyumbangkan dana ke Islamik Relief dimohon melayari www.irm.org.my atau menghubungi Tuan Iskandar di 03-89486334. Semoga dengan dana yang disalurkan tuan dan puan mampu membantu mereka yang memerlukan di seluruh dunia.