Artikel
Jari Ajaib Marissa: Bakat Muda yang Menarik Perhatian Komik-M
oleh Nor Fadhilah Fauzan pada 30 Oct 2025
PUTRAJAYA, 5 Oktober 2025 — Seorang pelajar istimewa dari SMK Putrajaya Presint 9 (2) membuktikan bahawa kekurangan bukan penghalang untuk berjaya. Nur Marissa Hana, pelajar yang menghidap disleksia dan ADHD, mencuri perhatian ramai apabila bakat luar biasanya dalam seni lukisan digital tular di media sosial. Beliau mampu melukis secara digital hanya dengan menggunakan jari di atas skrin tablet.
Keistimewaan dan semangat luar biasa Marissa telah menarik perhatian Komik-M, penerbit komik tempatan di bawah naungan PTS Media Group Sdn. Bhd. Baru-baru ini, wakil Komik-M Encik Wanzu Alwan, Ketua Pegawai Eksekutif Komik-M bersama editor Cik Puan Khalisa, berkunjung ke sekolah Marissa bagi menyantuni pelajar berbakat itu dan menyampaikan sumbangan sebuah tablet baharu sebagai tanda penghargaan serta sokongan terhadap bakat seninya.
Menurut ciapan di media sosial oleh Encik Wanzu, beliau menyifatkan Marissa sebagai pelajar yang istimewa dan memiliki potensi besar dalam dunia seni digital.
“Di SMK Putrajaya Presint 9 (2), kami berkesempatan menyampaikan tablet sumbangan PTS kepada adik Nur Marissa Hana. Marissa pelajar yang istimewa (disleksia serta ADHD) dan mempunyai bakat besar dalam seni lukisan. Di TikTok, Marissa sering berkongsi video menghasilkan lukisan digital hanya menggunakan jari. Mereka yang melayari TikTok pasti pernah melihat karya beliau di akaun @jarimarissa,” ujar beliau.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada ibu Marissa serta Cikgu Nurafidah yang banyak memberi dorongan dan membantu mengembangkan bakat pelajar berkenaan.
“Semoga Marissa terus maju dalam menghasilkan karya-karya yang bermanfaat,” tambah beliau.
Sebagai pengiktirafan terhadap bakat dan kesungguhan Marissa, pihak Komik-M turut mengumumkan bahawa Marissa bakal menjadi pelukis rasmi di bawah label Komik-M, dan karya sulungnya dijangka akan diterbitkan serta diperkenalkan kepada umum pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026.
Langkah ini bukan sahaja menjadi simbol penghargaan terhadap bakat muda Malaysia, tetapi juga menunjukkan komitmen PTS Media Group dalam memberikan ruang dan peluang kepada golongan pelajar istimewa untuk berkarya dan menyerlah dalam bidang kreatif.
Kisah Marissa mengingatkan kita bahawa setiap insan dikurniakan keistimewaan tersendiri. Dengan dorongan, sokongan dan platform yang tepat, sekatan seperti disleksia atau ADHD bukan penghalang untuk mencipta keajaiban, malah menjadi pemangkin untuk terus memberikan inspirasi kepada masyarakat dan dunia.




