Artikel
Jelajah Buku PTS 2026: Membawa Khabar Baharu kepada Pembaca
oleh Nor Fadhilah Fauzan pada 30 Dec 2025
Menjelang tahun 2026, PTS Media Group bersedia melangkah ke fasa baharu Jelajah Buku PTS dengan pendekatan dan identiti yang lebih segar. Selepas tahun 2025 yang menampilkan tema setem sebagai simbol perjalanan dan hubungan PTS bersama pembaca di seluruh negara, memasuki tahun 2026, PTS tampil dengan wajah dan semangat baharu melalui tema akhbar sebagai nadi Jelajah Buku PTS 2026.
Pemilihan tema ini bukan sekadar perubahan visual atau konsep, malah membawa makna yang lebih mendalam dan simbolik terhadap hala tuju perjalanan PTS pada tahun mendatang.
Tema akhbar dipilih sebagai simbol kepada komitmen PTS untuk sentiasa membawa khabar yang baharu, segar dan relevan kepada masyarakat pembaca. Melalui jelajah ini, PTS akan terus berkongsi perkembangan terkini berkaitan buku-buku terbaharu, penulis-penulis baharu, aktiviti PTS serta pelbagai perkara istimewa yang bakal dibawakan di pesta-pesta buku sepanjang tahun 2026.
Jelajah Buku PTS 2026 bukan sekadar ruang memperkenalkan buku, malah berfungsi sebagai medium komunikasi dua hala antara PTS dan pembaca. Ia membuka peluang kepada pembaca sedia ada untuk terus mengikuti perkembangan PTS, di samping menarik pembaca baharu untuk mengenali dunia penerbitan PTS dengan lebih dekat. Pendekatan ini diharap dapat memastikan pembaca sentiasa kekal mengikuti perkembangan PTS, selari dengan perubahan minat dan keperluan pembaca masa kini.
Dalam arus perubahan serta keperluan pembaca yang sentiasa berkembang, PTS kekal komited untuk memastikan misi memandaikan bangsa terus menjadi teras utama. Usaha mendekati pembaca baharu, memperluaskan capaian bahan bacaan serta menyediakan kandungan yang bermanfaat akan terus diperkasakan sepanjang Jelajah Buku PTS 2026, termasuk meneruskan jelajah ke sekolah-sekolah dan institut pengajian tinggi.
Seiring dengan pelaksanaan jelajah ini, PTS akan terus memastikan penerbitan bahan bacaan yang berkualiti, relevan dan mudah diakses oleh pelbagai lapisan masyarakat. Dengan pendekatan yang lebih tersusun dan berfokus, PTS berhasrat menjadikan buku-buku terbitannya sebagai rujukan serta pilihan utama pembaca pada tahun 2026.

