Artikel
Membudayakan Ilmu di Menara Gading: Inisiatif Jelajah Kampus PTS
oleh Nor Fadhilah Fauzan pada 21 Oct 2025
Dalam usaha meneruskan misi Memandaikan Bangsa, PTS Media Group Sdn. Bhd. memperkenalkan satu inisiatif baharu, Jelajah Kampus PTS — sebuah program yang bertujuan membawa budaya ilmu dan pembacaan segar terus ke institusi pengajian tinggi di seluruh Malaysia.
Melalui program ini, PTS menghimpunkan penulis-penulis tempatan untuk bersama-sama turun padang ke pesta buku di kampus-kampus terpilih. Para penulis bukan sahaja berkongsi pengalaman dan pandangan mereka terhadap dunia penulisan, tetapi juga menyampaikan ilmu dan inspirasi yang bermanfaat kepada warga mahasiswa. Usaha ini dilihat sebagai jambatan yang menghubungkan penulis dengan pembaca muda di peringkat universiti, sekali gus menyuburkan kembali semangat membaca dalam kalangan generasi pelapis negara.
Sebagai sebuah penerbitan yang berpengalaman lebih dua dekad, PTS bukan sahaja sinonim dengan buku-buku agama dan motivasi, tetapi turut memperluaskan penerbitan kepada pelbagai genre lain melalui imprint-imprint di bawahnya yang merangkumi fiksyen, bukan fiksyen, pembangunan diri, serta komik pendidikan. Kepelbagaian ini memberi peluang kepada mahasiswa memilih bahan bacaan yang sesuai dengan minat, bidang pengajian, dan aspirasi diri mereka.
Selain menggerakkan aktiviti literasi, Jelajah Kampus PTS juga diharap menjadi pemangkin kepada penubuhan serta pengaktifan semula kelab-kelab buku di kampus, seterusnya membina komuniti pelajar yang cintakan ilmu dan buku. Melalui kolaborasi bersama kelab buku universiti, Jabatan Perwakilan Pelajar (JPP) serta pihak pentadbiran universiti, PTS berhasrat mampu memperkukuh ekosistem literasi di peringkat kampus agar budaya membaca mampu dihidupkan dengan lebih aktif dan meluas. Setiap mahasiswa yang melibatkan diri secara langsung atau tidak langsung juga diberikan inisiatif baucar berjumlah lima ringgit dan sah digunakan di reruai PTS atau BookCafe sepanjang pesta buku berlangsung sama ada di universiti mereka atau di universiti lain yang melibatkan PTS sebagai penganjur di acara pesta buku mereka.
Menariknya, siri jelajah ini dimulakan di International Islamic University Malaysia (IIUM) pada acara IIUM Book Festival sebagai lokasi pertama, sebelum diteruskan ke universiti-universiti lain yang turut menganjurkan pesta buku seperti Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS). Selain menjelajah ke kampus-kampus terpilih, Jelajah Kampus PTS turut mengalu-alukan jemputan daripada mana-mana universiti di Malaysia untuk mengadakan sesi perkongsian ilmu bersama penulis dan pelukis PTS dalam bidang penulisan serta seni komik.
Kesimpulannya, Jelajah Kampus PTS bukan sekadar program promosi buku, tetapi satu usaha berterusan dalam misi Memandaikan Bangsa melalui jalinan ilmu, inspirasi dan kolaborasi bersama generasi muda di peringkat mahasiswa. Inisiatif ini membuktikan bahawa budaya membaca masih relevan dan mampu menjadi teras kepada pembangunan intelektual masyarakat kampus masa kini.

