Artikel

Jelajah Kampus PTS 2026: Kampus sebagai Nadi Literasi

oleh Nor Fadhilah Fauzan pada 30 Dec 2025

Dalam usaha berterusan melaksanakan misi Memandaikan Bangsa, PTS Media Group meneruskan inisiatif Jelajah Kampus PTS ke tahun 2026 dengan pendekatan yang lebih tersusun dan meluas. Program ini yang mula diperkenalkan pada tahun 2025 sebagai sebuah inisiatif percubaan, telah menerima sambutan yang menggalakkan daripada warga mahasiswa dan pihak institusi pengajian tinggi.

Kejayaan pelaksanaan Jelajah Kampus PTS 2025 membuktikan bahawa usaha membawa budaya ilmu dan pembacaan secara langsung ke kampus masih relevan dan diperlukan. Melalui penyertaan di pesta-pesta buku universiti terpilih, PTS telah menghimpunkan penulis-penulis tempatan untuk berkongsi pengalaman, pandangan serta inspirasi berkaitan dunia penulisan dan penerbitan. Interaksi secara bersemuka antara penulis dan mahasiswa bukan sahaja merapatkan jurang antara pembaca muda dan pengkarya, malah membuka ruang dialog ilmu yang lebih terbuka dan bermakna.

Melihat kepada sambutan positif tersebut, PTS berhasrat untuk meneruskan Jelajah Kampus PTS pada tahun 2026 dengan skala yang lebih luas dan perancangan yang lebih kemas. Jelajah ini tidak lagi terhad kepada penglibatan sempena pesta buku kampus semata-mata, malah akan diperluaskan ke pelbagai program akademik dan ko-kurikulum universiti. Antaranya termasuk sesi pengenalan dunia penerbitan, penulisan kreatif, pembangunan kandungan, serta bengkel penghasilan komik yang selari dengan kepelbagaian genre buku terbitan PTS.

Sebagai penerbit yang berpengalaman lebih dua dekad, PTS terus komited menawarkan bahan bacaan merangkumi pelbagai genre melalui imprint-imprint di bawahnya, termasuk fiksyen, bukan fiksyen, agama, pembangunan diri serta komik pendidikan. Kepelbagaian ini memberi ruang kepada mahasiswa dengan latar pemikiran yang pelbagai, kreatif dan kritis untuk memilih bahan bacaan yang sesuai dengan minat, bidang pengajian dan aspirasi masing-masing.

Jelajah Kampus PTS 2026 juga dilihat sebagai satu pendekatan strategik dalam memperkukuh ekosistem literasi di peringkat institusi pengajian tinggi. Melalui kerjasama bersama kelab buku universiti, Jabatan Perwakilan Pelajar (JPP) serta pihak pentadbiran kampus, PTS berharap dapat menggalakkan penubuhan dan pengaktifan semula komuniti pembaca dalam kalangan mahasiswa. Usaha ini seterusnya diharapkan mampu menyemai minat membaca secara berterusan dan membentuk budaya ilmu yang lebih kukuh di kampus.

Melangkah ke tahun 2026, Jelajah Kampus PTS akan terus menjadi salah satu wadah utama PTS dalam mendekati generasi mahasiswa sebagai pemikir masa depan negara. Dengan pendekatan yang lebih inklusif dan relevan, PTS komited untuk memastikan usaha memandaikan bangsa terus dilaksanakan secara berperingkat, bermula daripada kampus dan berkembang ke seluruh lapisan masyarakat.


Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (198801006125) © 2000 - 2026