Artikel
Jelajah Setem Masjid PTS: Jadikan Setiap Langkah Satu Cerita
oleh Nor Fadhilah Fauzan pada 19 Feb 2026
Sempena kempen Rihlah Ramadan, PTS Media Group memperkenalkan satu inisiatif istimewa yang menggabungkan semangat membaca, penglibatan komuniti dan pengimarahan masjid — Jelajah Setem Masjid PTS. Program ini merupakan salah satu aktiviti utama sepanjang Ramadan, dan kesinambungan kepada kejayaan Jelajah Setem PTS yang telah diadakan semasa Pesta Buku Alternatif Kuala Lumpur (KLAB) 2026 di Pasar Seni sebelum ini. Jika sebelum ini peserta mengumpul setem di reruai pesta buku, kali ini pengalaman tersebut dibawa ke suasana yang lebih bermakna — masjid.
Jelajah Setem Masjid diwujudkan dengan hasrat menggalakkan pembaca, khususnya golongan muda, untuk lebih dekat dengan institusi masjid melalui pendekatan yang santai dan interaktif. PTS akan bekerjasama dengan beberapa masjid terpilih di sekitar Lembah Klang sebagai lokasi “checkpoint” rasmi program ini. Peserta boleh berkunjung ke masjid-masjid yang terlibat, mendapatkan cop setem di setiap lokasi, dan menjadikan setiap kunjungan sebagai satu pengalaman yang bermakna.
Inisiatif ini amat bertepatan dengan budaya “masjid hopping” atau kunjungan berbuka puasa di masjid yang semakin menjadi pilihan masyarakat, khususnya sepanjang Ramadan. Melalui Jelajah Setem Masjid, setiap langkah ke masjid bukan sekadar perjalanan fizikal, tetapi juga refleksi rohani.
Konsep penyertaan adalah mudah dan terbuka kepada semua. Langkah pertama, pembaca atau individu pelrulah mengunjungi masjid-masjid terpilih yang menjadi lokasi program. Seterusnya, kumpulkan cop setem di setiap checkpoint yang disediakan. Akhir sekali, lengkapkan jumlah setem yang ditetapkan untuk melayakkan diri menerima hadiah istimewa daripada PTS. Peserta yang berjaya mengumpul setem mengikut syarat yang ditetapkan berpeluang menerima ganjaran eksklusif sebagai tanda penghargaan atas penyertaan mereka.
Menariknya, tempoh penyertaan bukan sahaja sepanjang Ramadan, malah dilanjutkan sehingga tamat bulan Syawal. Ini memberi ruang yang lebih fleksibel kepada peserta untuk merancang kunjungan mereka.
Lebih daripada sekadar aktiviti stamp hunting, Jelajah Setem Masjid adalah sebuah usaha untuk menghidupkan masjid sebagai ruang komuniti yang dinamik dan inklusif. Melalui pendekatan yang kreatif ini, PTS berharap dapat menggalakkan masyarakat, khususnya anak muda, untuk lebih kerap mengunjungi masjid. Selain itu, mampu menghidupkan suasana Ramadan dengan aktiviti yang bermanfaat dan mewujudkan pengalaman yang menghubungkan ibadah, komuniti dan budaya membaca.
Setiap setem yang dikumpul bukan sekadar tanda lawatan, tetapi simbol perjalanan mencari ilmu, membina hubungan dan mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Jadikan Ramadan kali ini lebih bermakna. Kumpul setem, kunjungi masjid, dan jadikan setiap langkah sebuah cerita. Untuk maklumat lanjut mengenai senarai masjid terlibat dan mekanisme penuh penyertaan, ikuti platform rasmi media sosial PTS Media Group.

