Artikel
Zine Ramadan PTS: Teman Tadabbur Meraih Sakinah
oleh Nor Fadhilah Fauzan pada 19 Feb 2026
Sempena hadirnya bulan Ramadan yang mulia, PTS Media Group mempersembahkan sebuah penerbitan istimewa yang diterbitkan secara terhad khusus untuk musim ini — Koleksi Zine Ramadan PTS.
Didatangkan dalam dua judul yang sarat dengan renungan dan tadabbur, zine ini dihasilkan sebagai teman setia buat mereka yang ingin mengisi detik Ramadan dengan perenungan yang lebih mendalam, perlahan dan bermakna.
Judul pertama, Meraih Tenang di Antara Waktu, ditulis oleh Nuraini Shahbuddin dan Nadia Bakar — dua sosok yang dikenali dalam bidang al-Quran journaling dan aktif menyebarkan kesedaran tentang kepentingan tadabbur al-Quran melalui media sosial.
Nuraini Shahbuddin sendiri merupakan penulis PTS yang telah menerbitkan dua buah buku sebelum ini, dan komited dalam membimbing pembaca mendekati al-Quran dengan pendekatan reflektif dan praktikal.
Zine ini berangkat daripada kesedaran bahawa:
Di antara detik yang berlalu, Allah mengajarkan sabar.
Di antara nikmat yang hadir, Allah menumbuhkan syukur.
Melalui catatan tadabbur kalam Tuhan, pembaca diajak menyelami makna ujian yang mendewasakan serta nikmat yang sering terlepas daripada pandangan. Setiap helaian ditulis dengan nada yang lembut sebagai panduan untuk memurnikan hati dan menumbuhkan ketenangan yang lahir daripada hubungan yang lebih akrab dengan Allah SWT. Zine ini umpama ruang dialog antara hamba dan Pencipta agar perjalanan hidup yang kian mencabar dapat dilalui dengan jiwa yang lebih teguh dan tenang.
Judul kedua diterbitkan dalam bahasa Inggeris, Coming To Him: Reflections for the Quiet Hours, karya Idayu Mumtaz, penulis PTS di bawah imprint Puteh Press. Zine ini merupakan sebuah undangan halus untuk menyedari, berhenti dan menyelaraskan kembali kedudukan diri antara siapa kita hari ini dan siapa yang kita impikan sebagai seorang hamba Allah.
Disusun berasaskan tema-tema spiritual Ramadan, zine ini mengajak pembaca untuk melukis, menulis dan duduk bersama persoalan-persoalan yang tidak tergesa-gesa menuntut jawapan. Ia membuka ruang untuk merenung apa yang sedang dipikul, apa yang perlu dilepaskan, dan dengan hati bagaimana kita ingin kembali kepada Allah apabila segala yang lain ditanggalkan.
Setiap niat untuk memperbaiki diri, hatta sekecil-kecil amal yang dilakukan ikhlas kerana Allah, membawa nilai yang jauh lebih besar daripada apa yang terlihat oleh mata manusia. Zine ini meneguhkan kesedaran tersebut bahawa perubahan bermula daripada kesunyian yang jujur.
Koleksi Zine Ramadan PTS ini diterbitkan dalam jumlah yang sangat terhad dan hanya dikeluarkan khusus sempena Ramadan. Jualan pra-tempah telah dibuka bermula 19 Februari, dan pembaca masih boleh mendapatkannya melalui kedai dalam talian rasmi PTS di Shop.pts.com.my, selagi stok masih ada. Setiap pembelian juga untuk kedua-dua zine melayakkan pembaca menikmati kelas webinar tadabbur al-Quran bernilai RM200 dan kit pemula secara percuma.
Sehubungan itu, para pembaca disarankan agar tidak melepaskan peluang memiliki koleksi istimewa ini. Ramadan adalah bulan yang singkat, namun kesannya mampu berpanjangan bergantung pada bagaimana kita mengisinya.
Semoga setiap helaian yang dibuka menjadi wasilah untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT, mematangkan jiwa melalui sabar dan menyuburkan hati dengan syukur.

