Artikel

Jualan Buku PTS di Big Bad Wolf, Tropicana Gardens

oleh Maisarah Hanim Afandi pada 20 Dec 2021

Dalam era pasca pandemik, sudah tentu kita mencari bahan bacaan yang murah dan baik kualiti produknya. Pernahkah anda mendengar tentang Big Bad Wolf Books (BBW)? Bagi pencinta buku, BBW sudah tidak asing lagi bagi mereka. BBW Malaysia telah dilancarkan pada tahun 2009. Objektif utama program ini adalah untuk memupuk minat membaca, meningkatkan literasi bahasa Inggeris di seluruh dunia dan menarik pembaca baharu dengan menjadikan buku lebih mampu milik dan boleh diakses oleh semua orang.

Pada Mei 2009, BBW telah berjaya melancarkan pesta buku pertama mereka di Dataran Hamodal, Petaling Jaya yang telah menjadi pengubah permainan dalam industri buku. Jualan buku dengan harga yang murah dan kepelbagaian buku untuk semua peringkat umur menjadi tarikan utama para pembeli untuk berkunjung ke BBW. Buat mereka yang pertama kali ke BBW, mungkin akan terkejut dengan suasana dan jualan buku-buku di situ.

Terdapat banyak buku dari luar negara yang terdiri daripada novel, buku kanak-kanak, fiksyen dan bukan fiksyen yang dijual dengan harga murah. Tambahan pula, ada juga buku-buku lelong yang masih elok keadaannya. Suasana para pembaca membelek-belek buku yang ada selama berjam-jam lamanya adalah perkara biasa di BBW. Memang rambang mata dibuatnya.

Dalam pada itu, PTS telah bersama-sama BBW sejak tahun 2016 lagi dan sambutan yang diterima amat menggalakkan. Antara genre buku PTS yang boleh didapati di BBW ialah Bisnes dan Kewangan, Hamka, Keibubapaan, Kesihatan, Bantu Diri, Motivasi, Spiritual, Agama, Fatwa Kontemporari, Fiksyen Sains, Resipi, Seram, Sherlock Holmes, Komik-M, Backpacker, Bookiut, Young Aisyah, dan buku latihan untuk kanak-kanak.

Antara promosi yang PTS tawarkan di BBW adalah diskaun bermula dari 15% sehingga 50%, dan terdapat juga buku-buku yang dijual dengan harga serendah RM2, RM3, RM4 dan macam-macam lagi. Selain itu, terdapat lebih 200 judul buku baru dan lama menanti anda di sana termasuklah buku-buku terlaris PTS.

Setelah beberapa kali diadakan secara dalam talian rentetan Perintah Kawalan Pergerakan, BBW kini dijalankan secara fizikal di Tropicana Gardens Convention Centre, Petaling Jaya. BBW dibuka dari jam 10 pagi hingga 10 malam dan bermula dari 9 Disember sehingga 26 Disember 2021. Jangan lupa untuk ikuti media sosial BBW di Instagram (@ bigbadwolfbooks) dan di Shopee (@BigBadWolfBooks) supaya anda tidak terlepas info serta promosi terkini. Datanglah beramai-ramai ke BBW Tropicana Gardens dan rebutlah tawaran hebat ini.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024