Artikel

Siapa itu fasilitator?

oleh Helmi pada 27 Aug 2004

Definisi Fasilitator

Fasilitator adalah pemudah cara yang berperanan membantu peserta dalama sesebuah kumpulan latihan melalui suatu proses pembelajaran dan komunikasi yang berkesan bagi mencapai matlamat sesebuah kelompok atau perbincangan.

Mengikut Carl Rogers, (1983) dalam bukunya Freedom To Learn, perkataan fasilitasi diambil daripada Bahasa Latin facilis yang membawa maksud untuk mempermudah. Kamus Dewan pula mendefinisikan fasilitasi bermaksud seperti berikut:-
1.‘untuk memudahkan’
2.‘untuk bebas daripada kesusahan dan halangan’
3.‘untuk mengurangkan tugas yang susah
4.‘untuk menyenangkan’
5.‘untuk menggalakkan’
6.‘membantu supaya terkedepan’
7.‘pemudah cara’

Trevor Bently, (1994) dalam bukunya memberikan erti yang lebih meluas lagi. Mengikut Trevor Bently Fasilitasi bererti, menawarkan atau menyediakan peluang pembelajaran. Makna yang diberi oleh Trevor Bently ini dirasakan lebih tepat dengan tujuan kami menulis buku ini.

Seorang fasilitator dijangkakan dapat memberikan dorongan kekal kepada semua pesertanya. Dalam hal ini, peserta diharap dapat mengaplikasikan fakta, mengutarakan pendapat sendiri dan memanfaatkan segala idea secara bebas dan tidak perlu diarahkan oleh sesiapa. Walau pun latihan ini sebenarnya berlaku dalam kumpulan, tetapi setiap individu tetap merasakan penglibatan dan sumbangannya itu penting secara umum, tetapi yang lebih bererti adalah tindakannya itu merujuk khusus bagi peningkatan dan perubahan dirinya.

Pendekatan yang digunakan biasanya sesuai dengan keperluan dan keadaan semasa peserta sendiri. Sekiranya ini dapat dilaksanakan, peserta akan merasa lebih selesa menerima pembelajaran yang disampaikan oleh fasilitator. Pembelajaran yang berlaku dalam LDK sepatutnya serius, tetapi berlaku dalam keadaan yang menggembirakan.
Apabila peserta yang diterima oleh fasilitator pada sesuatu masa itu berlainan latar belakang, masalah, minat dan keperluan; fasilitator akan berusaha mencari kaedah yang paling sesuai digunakan supaya bukan sahaja dirinya dapat diterima oleh kumpulan, tetapi apa juga yang disampaikan oleh fasilitator dapat diterima oleh semua ahli kumpulan. Mungkin peserta yang hadir pada sesuatu kursus itu sudah pun kaya dengan ilmu dan pengalaman. Namun mereka masih perlu dibantu bagi menyelaraskan perbezaan yang wujud dalam dirinya dan orang-orang yang bekerja di sekelilingnya.

Menjadi tanggungjawab fasilitator memastikan apa juga yang berlaku dalam perkongsian kumpulan dan pembelajaran yang berlaku dalam proses LDKnya, adalah wajar semua bimbingannya itu menuju ke arah memenuhi keperluan kumpulan dan khususnya bermanfaat kepada diri setiap ahli kumpulan.

Fasilitasi atau kefasilitatoran lebih berhasrat mengamanatkan kuasa kepada seseorang supaya mengawal malah bertanggungjawab terhadap usaha serta berusaha sedaya upaya mencapai matlamat yang diinginkan. Proses kefasilitatoran hanya akan dirasakan kemajuannya apabila fasilitator berjaya mendorong setiap ahli dalam kumpulannya memainkan peranan masing-masing. Adalah perlu dipastikan setiap pandangan dan cadangan yang disampaikan oleh setiap ahli kumpulan diproses dengan baik dan keputusan dibuat dengan konsensus kumpulan.

Seorang fasilitator akan berusaha memandu ke tahap pemikiran dan penaakulan berasaskan bakat dan keupayaan kepimpinan seseorang itu. Sekiranya setiap individu mempunyai daya kepimpinan dalam dirinya, maka usaha menggerakkan individu masyarakat dalam kategori ini adalah lebih mudah. Apabila setiap seorang mempunyai keinginan membangunkan dirinya sendiri, sebenarnya dia sudah memilih meningkatkan martabat dirinya. Bentuk kehidupan masa akan datang yang kita inginkan adalah pilihan kita sendiri dan hanya orang bijak sahaja yang akan sedar perkara ini dan dia akan berusaha mencapai keinginannya itu.

Fasilitator mengaplikasikan pesanan Lao Tzu, supaya setiap individu berazam berfungsi seperti yang diinginkan oleh peserta kumpulan. Fasilitator akan berusaha memberi perangsang, semangat, serta sokongan bagi menjayakan proses LDK.

Dalam kumpulan yang ditangani, fasilitator boleh bertindak sebagai pemimpin dan sebagai rakan seperti ahli yang lain. Dia akan bersama melakukan aktiviti dalam kumpulan. Dengan kepakarannya dia akan membimbing, memujuk, memimpin dan membantu bersama dalam kumpulan dengan sepenuh keikhlasan hati, sehingga setiap ahli kumpulan merasakan dirinya adalah sebahagian daripada kumpulan. Kumpulan akan rasa selesa dengan kehadirannya dan mudah bekerjasama. 

Fasilitator yang baik akan mengatakan kepada kumpulannya, “Saya akan memberi cadangan kepada kamu semua mengenai jalan yang boleh membawa kita semua memahami fasilitasi. Kamu semua tahu yang sehingga masa ini tidak ada seorang pun bertanyakan sama ada saya mempunyai idea atau tidak mengenai masalah yang sedang kita fikirkan sekarang. Sekiranya saya membuat cadangan sebelum saya menyuruh kamu semua memberi cadangan sudah tentu proses LDK ini tidak akan berjalan. Saya sudah merancang mendapatkan seberapa banyak idea dan bahan yang boleh digunakan apabila diperlukan. Kalau saya menawarkan idea dan sokongan, seolah-olah saya tidak memberikan kuasa kepada kumpulan mencari jalan sendiri bagi mendapatkan penyelesaian. Yang penting adalah perjuangan dan usaha bersungguh-sungguh, bukannya penyelesaian masalah, kerana kepuasan yang maksimum akan hanya terasa apabila kita dapat menyelesaikan masalah itu sendiri secara berkumpulan”.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (198801006125) © 2000 - 2025