Artikel
Karya Bina Insan Jadi Pilihan
oleh Helmi pada 01 Jun 2005
Soalan
BH: Bagaimanakah Ahmad Fadzli mencari ruang untuk menulis di sebalik tugas sebagai pakar runding dan pensyarah sambilan?
AFY: Yang penting ada perancangan. Bila kita tahu apa yang perlu dilakukan, kita akan sentiasa ada masa untuknya. Selain itu, saya akan berusaha mencuri masa yang tersembunyi untuk mencari dan menyusun idea-idea baru. Jika kita tidak tahu apa yang kita ingin dan mesti lakukan, masa-masa tersembunyi akan hilang begitu sahaja.
BH: Apa maksud masa tersembunyi?
AFY: Waktu anda tidak menggunakan tangan, kaki, lidah dan otak! Banyak sebenarnya. Dalam perjalanan menggunakan pengangkutan awam, menunggu kawan yang lambat, menunggu giliran di bank, dan banyak lagi.
BH: Apakah perasaan Ahmad Fadzli apabila muncul sebagai penulis paling Produktif di PTS Publication & Distributors Sdn Bhd?
AFY: Itu adalah pengiktirafan daripada orang lain tentang diri saya. Terima kasih. Tetapi kejayaan ialah keupayaan untuk merealisasikan diri sendiri. Saya belum lagi mencapai tahap itu.
BH: Tidak rasa rugikah tidak menjadikan bidang guaman sebagai kerjaya?
AFY: Saya tidak perlu rasa begitu.
BH: Apakah sebenarnya yang mendorong Ahmad Fadzli untuk berkarya?
AFY: Rasa tanggungjawab untuk membantu proses bina insan di kalangan bangsa Melayu. Tulisan saya dalam bahasa Melayu, dan boleh dibaca oleh kebanyakan orang Melayu. Bahan bacaan bina insan masih terlalu kurang. Saya percaya bahawa setiap daripada kita mempunyai hak untuk memajukan diri sendiri. Saya menulis untuk membantu mereka yang inginkan hak tersebut.
BH: Bagaimanakah Ahmad Fadzli boleh terfikir untuk menghasilkan 55 Petua Orang Berjaya sedangkan Ahmad Fadzli sendiri dari segi pengalaman dalam mengharungi kerjaya mahupun kehidupan masih terbatas memandangkan Ahmad Fadzli masih muda?
AFY: Buku tersebut mengumpulkan 55 petua orang yang telah berjaya, bukan petua saya. Ia adalah canaian idea-idea unggul daripada mereka yang telah membuktikan kecemerlangan mereka. Saya hanya medium penyampai.
BH: Mengapakah Ahmad Fadzli memilih menulis dalam bentuk nota ringkas untuk semua buku resipi kejayaan Ahmad Fadzli?
AFY: Kebanyakan orang sukar untuk memberikan masa yang banyak untuk membaca buku bina insan. Buku-buku yang berperenggan panjang, penuh dengan huruf-huruf tanpa henti; adakalanya menghilangkan minat sesetengah kalangan individu. Saya ingin membantu mereka yang sebegini. Buku set Resipi Kejayaan konsepnya ringkas dan padat. Tips dan idea ditampilan dalam bentuk senarai, rajah, graf, jadual, dan seumpamanya. Anda tidak perlu membacanya seperti membaca sebuah novel, tetapi sebaliknya seperti menggunakan buku panduan telefon. Buka yang tertentu, baca yang perlu. Ini akan banyak menjimatkan masa. Sekurang-kurangnya, mereka mempunyai panduan ringkas untuk komitmen yang mereka pegang.
BH: Apakah Ahmad Fadzli mempunyai laman web sendiri untuk memudahkan peminat menghubungi Ahmad Fadzli?
AFY: Ada. http://resipikejayaan.com Di sini anda boleh mendaftar secara percuma sebagai ahli. Selepas itu, anda boleh berkongsi idea dan pandangan. Masalah-masalah yang dihadapi juga boleh dimasukkan, dan rakan-rakan ahli RK.com yang lain akan membantu. Selain itu, konsultan-konsultan Pusat Latihan Resipi Kejayaan (Suretac) juga akan turut berinteraksi untuk menolong mereka yang perlukan nasihat dan bimbingan.
BH: Pandangan Ahmad Fadzli mengenai langkah kerajaan meneruskan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris?
AFY: Dalam pengurusan bursa saham, polisi yang kita buat sekarang, kesannya dua minit selepas itu. Dalam pendidikan, polisi yang kita buat sekarang, kesannya ialah dua puluh tahun nanti. Penyata Rahman dan Penyata Razak mungkin contoh yang baik. Semoga kita terus dengan sistem yang terbaik demi ketamadunan umat Malaysia yang tercinta.
BH:Mengapakah Ahmad Fadzli memilih menulis resepi kejayaan untuk eksekutif, remaja, pekerja, siswa, siswi dan pelajar?
AFY: Itu sebagai permulaan. Mereka adalah antara kelompok yang terlalu dahagakan bahan-bahan bina insan. Kami berusaha untuk menyiram tanah yang paling gersang terlebih dahulu.
BH:Apakah karya terbaru yang berada di pasaran dan karya terbaru yang sedang ditangani?
AFY: Beberapa minggu lagi, ada tujuh tajuk yang akan terbit; lima buah set Resipi Kejayaan; untuk Ketua Kelas, Pengawas, Pustakawan, Presiden Persatuan, dan Setiausaha Persatuan. Dua lagi ialah 55 Petua Seronok Bekerja, dan 55 Petua Kerja Berpasukan. Buku 55 Petua saya adalah hasil gabungan idea bersama dengan Datuk Dr Fadzilah Kamsah.
Akan menyusul tidak lama lagi ialah beberapa lagi set Resipi Kejayaan; untuk Adik, Abang, Kakak, Sahabat, dan Anak. Selain itu, ada beberapa buah buku bina insan lain tentang pengurusan stres, seronok bekerja, mengurus majikan, merancang kejayaan hidup, berfikiran positif, interpersonal dan beberapa lagi yang sedang dalam proses perah minda bersama dengan konsultan Suretac yang lain.
BH:En Ahmad Fadzli, saya juga memerlukan maklumat seperti tahun bila mula berkarya, pernahkah mengikuti sebarang bengkel penulisan dan mengapa memilih buku bersifat motivasi sebagai karya.
AFY: Sejak sekolah lagi saya berminat dalam penulisan. Artikel saya pernah tersiar dalam akhbar dan majalah sejak di bangku sekolah. Tetapi tidak pernah terlintas untuk menjadi penulis buku. Saya menulis atas tanggunjawab sosial yang saya rasa menjadi tugas setiap dari kalangan kita. Buku pertama terbit pada Mac 2004. Pernah menyertai bengkel penulisan yang dikendalikan oleh PTS Publication yang dikendalikan oleh Puan Ainon Mohd.
Sebenarnya, saya lebih kerap mengkategorikan buku-buku tulisan saya sebagai buku bina insan. Saya ingin berkongsi dengan para pembaca tentang beberapa idea dan kemahiran yang penting untuk memanjukan diri mereka. Manusia bukan sahaja perlukan motivasi, bahkan mereka perlukan kemahiran. Penebang pokok yang bermotivasi belum tentu dapat menebang banyak pokok kalau tidak tahu mengasah kapaknya! Saya hanya ingin berkongsi dengan para pembaca bagaimana untuk mengasah kapak itu!
—————
Temuramah ini adalah yang lengkap sebelum disunting dan disiarkan di akhbar.