Artikel
Kasta dalam sastera
oleh Helmi pada 02 Oct 2006
HALAMAN sastera Mingguan Malaysia semalam seorang penulis, Zaid Akhtar mempertikaikan pemilihan novelis Ahadiat Akashah sebagai pembimbing di satu bengkel di Majlis Sastera Asia Tenggara (Mastera) di Bogor, Indonesia.
Hujahnya Ahadiat tidak mencapai piawaian berbanding pembimbing-pembimbing dari negara lain.
Secara jujur saya bukanlah pembaca novel-novel Ahadiat dan tulisan ini sama sekali tidak membela Ahadiat.
Bertolak daripada tulisan Zaid, eloklah kalau kita melihat secara realistik tentang kewujudan kasta antara sastera elit dan pop dalam kesusasteraan tanah air.
Ahadiat adalah penggiat sastera pop menerusi novel-novel yang mengambil pendekatan popular. Dia hidup mewah dengan karya pop ini. Malah bukan saja Ahadiat, sastera pop kita digerakkan oleh banyak penulis lain.
Antaranya Aisya Sofea (Adam dan Hawa), Aina Emir (Sesuci Cinta), Fauziah Ashari (Ombak Rindu) dan Norhayati Ibrahim (Cinta Pertama). Banyak lagi yang tidak disebut di sini begitu aktif menulis dan mendapat imbuhan daripadanya.
Tanpa menafikan penulis-penulis sastera elit, saya sangat perlu mengaku bahawa orang-orang inilah yang banyak menggerakkan dunia kesusasteraan kita. Mereka ini jugalah yang menjadi penyumbang besar dalam industri buku khususnya karya fiksyen.
Tetapi arus perdana kesusasteraan kita semacam menolak kehadiran penulis sastera pop. Bagi mereka penulis sastera pop merendahkan martabat sastera kerana memilih pendekatan popular.
Kita kena realistik bahawa inilah yang berlaku di seluruh dunia. Lihatlah dari mana datangnya John Grisham yang terkenal dengan The Chamber dan The Pelican Brief. Kita juga wajar melihat J.K Rowling penulis Harry Potter.
Kedua-dua contoh ini bukanlah lahir daripada kelompok sastera elit. Malah mereka tidak pernah menganggap diri mereka sebagai orang sastera.
Tetapi novel-novel mereka bukan saja menjana pendapatan yang hebat malah sangat berpengaruh.
Penulis-penulis sastera pop kita sudah mampu menjadikan sastera sebagai sumber pendapatan. Maknanya tanpa mengorban nilai-nilai masyarakat, sastera pop seharusnya ada tempat yang istimewa.
Kita boleh melabelkan apa saja terhadap penulis sastera pop. Malah boleh saja meminggirkan mereka daripada sebarang acara kesusasteraan.
Tetapi runtuh atau lesunya dunia sastera bukanlah kerana penulis sastera pop. Dunia kesusasteraan lesu dan terpinggir kerana ada elitis sastera yang sengaja membina kasta.
E-mel: [email protected]