Artikel
PTS Dapat Liputan Akhbar Sin Chew Jit Poh
oleh Roziyah pada 01 Dec 2010
PTS kini melangkah lebih jauh apabila mempromosikan buku-bukunya kepada masyarakat cina. Terbaru, PTS mendapat liputan daripada akhbar berbahasa Cina iaitu Sin Chew Jit Poh bagi memberi maklumat yang lebih luas dan mendalam mengenai PTS kepada masyarakat Cina.
Wartawan Sin Chew yang datang sendiri ke PTS bagi membuat temuramah bersama pengerusi PTS, Puan Ainon Mohd diberikan penerangan mengenai dasar PTS dalam tujuan memandaikan bangsa. Selain itu, Puan Ainon menerangkan secara mendalam mengenai penerbitan di Malaysia. Bagi beliau kerjasama antara penerbit Melayu dengan penerbit Cina di Malaysia sangat penting bagi menjalin hubungan yang erat antara masyarakat Melayu dan Cina di Malaysia.
Puan Ainon yang ditemuramah berkata, buku-buku berbahasa Melayu harus didedahkan kepada masyarakat Cina agar masyarakat Cina mengetahui budaya Melayu secara terus melalui pembacaan dan sebaliknya.
"Budaya dahulu dan sekarang sudah berubah, dahulu masyarakat pelbagai bangsa dapat berkomunikasi antara satu dengan yang lain secara dekat. Berbeza dengan masyarakat kini yang terikat dengan budaya Internet sukar menyebabkan mereka sukar berkomunikasi secara dekat. Melalui buku, anak-anak kita dapat mengetahui budaya masing-masing. Masyarakat Melayu dapat mengetahui budaya Cina dengan membaca alih bahasa buku Cina manakala masyarakat Cina dapat mengetahui budaya Melayu dengan membaca buku-buku bahasa Melayu," jelas Puan Ainon.
Sebagai maklumat, jabatan pemasaran PTS yang diketuai Puan Norhazizam berusaha bagi mengiklankan buku-buku terbitan PTS di akhbar berbahasa Cina. Iklan yang disiarkan memberi peluang kepada masyarakat Cina bagi mengenali buku-buku PTS sekaligus melatih anak-anak mereka membaca buku bahasa Melayu.
Maklumat yang disiarkan di akhbar berbahasa Cina dapat memberi pencerahan kepada masyarakat Cina mengenai dunia penerbitan di Malaysia yang sentiasa berkembang dari semasa ke semasa sekaligus menarik kerjasama antara penerbit Cina bagi bekerjasama dengan PTS.