Artikel

KEMPEN ANAK MUDA BERAYA 2024, SEMARAKKAN SYAWAL BERSAMA PTS

oleh Nor Fadhilah Fauzan pada 01 Apr 2024

Ramadan masih berbaki beberapa hari lagi sebelum memasuki Syawal yang dinanti-nanti. Namun, kemeriahan dan keriangan menjelang hari raya sudah dirasai di segenap kota, dengan persediaan yang giat dilakukan oleh seluruh masyarakat. Dendangan lagu raya sudah mula dimainkan dengan penuh asyik di corong radio, televisyen dan pusat membeli belah seluruh negara. Hiasan lampu yang berwarna-warni dan pelita juga dilihat indah dinyalakan di malam hari.

Tidak dilupakan, kanak-kanak yang berlari girang menjadi penyeri utama setiap kali tibanya lebaran. Kanak-kanak seolah-olah sumber kegembiraan dalam semua perayaan. Keceriaan dan kegembiraan mereka sering membawa semangat baru lebih-lebih lagi ketika sambutan hari raya. Mereka juga tidak melepaskan peluang untuk turut serta dalam persediaan hari raya, membantu menghias rumah, membuat kuih, dan persediaan yang lain dengan penuh semangat.

Seperti kebiasaannya, pagi raya juga adalah saat yang paling dinantikan bagi kanak-kanak. Bagi mereka, pagi raya bukan hanya tentang memakai pakaian baru yang menawan, tetapi tentang menerima duit raya daripada keluarga dan tetamu yang datang berkunjung ke rumah. Kocek baju raya mereka akan dipenuhi dengan sampul yang berwarna warni setelah puas meronda di kawasan kejiranan. Mereka pasti sudah membayangkan tentang segala keinginan yang bakal dipenuhi seperti mainan atau bunga api untuk dibeli menggunakan duit mereka sendiri.

Oleh itu, ibu bapa haruslah mengawal penggunaan duit raya anak-anak untuk dibelanjakan secara berhemah dan bermanfaat. Misalnya, bawa anak-anak anda ke kedai buku dan membeli buku-buku fiksyen yang menarik. Selain daripada menerap sifat suka membaca, langkah ini juga sangat efisien bagi mengurangkan “masa skrin” kanak-kanak dengan gajet. Pemilihan kandungan buku yang menarik adalah sangat penting.

Misalnya, koleksi buku-buku fiksyen daripada imprin PTS yang menarik dan penuh pengisian seperti terbitan Komik-M, Bookiut, Penerbit-X dan PTSJunior. Selain daripada pengisiannya yang menarik, buku-buku ini juga sesuai dijadikan koleksi kerana sirinya yang menarik dan seronok untuk dibaca.

Justeru itu sempena hari raya ini, PTS mengadakan Kempen Anak Muda Beraya bermula 1 April hingga 12 Mei 2024. Kempen ini bertujuan untuk mengajak anak-anak muda, memanfaatkan duit raya mereka supaya tidak disia-siakan membeli barangan yang tidak berfaedah, sebaliknya menggunakan duit raya sebaiknya dengan membeli buku. Lebih menarik lagi, setiap pembelian minimum dua buah buku akan mendapat sampul duit raya eksklusif secara percuma. Terdapat enam reka bentuk yang menarik untuk dijadikan koleksi. Jadi, mari ke kedai buku dan semarakkan syawal bersama PTS!

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024