Artikel

Kenali HAMKA: Pemikir Agung yang Relevan Sepanjang Zaman

oleh Nor Fadhilah Fauzan pada 23 Apr 2026

Abdul Malik Karim Amrullah, atau lebih dikenali sebagai Buya HAMKA, merupakan seorang intelektual Islam yang disegani, bekas wartawan serta aktivis yang memperjuangkan nilai keamanan dan kemanusiaan. Keunggulan beliau bukan sahaja terletak pada latar akademik formal, tetapi juga sebagai seorang otodidak yang tekun mendalami pelbagai bidang seperti falsafah, sastera, sejarah, sosiologi dan politik.

Karya-karya HAMKA bukan sekadar menghiburkan, malah sarat dengan pemikiran yang mendalam sehingga menjadi bahan kajian dalam kalangan sarjana di Malaysia, Indonesia dan Singapura. Antara karya beliau yang paling terkenal ialah Di Bawah Lindungan Kaabah, Tenggelamnya Kapal van der Wijck dan Merantau ke Deli. Menurut Wida Kurniasih (2021), karya-karya ini pada asalnya diterbitkan secara bersiri dalam majalah Pedoman Masyarakat, sebelum diangkat menjadi novel yang masyhur dan berpengaruh.

Ketiga-tiga karya ini sering menjadi rujukan dalam memahami kehidupan dan budaya masyarakat Minangkabau. Melalui penceritaan yang sarat emosi dan konflik sosial, HAMKA berjaya menampilkan realiti kehidupan masyarakat dengan begitu dekat dan menyentuh hati pembaca. Malah, karya-karya beliau turut dijadikan bahan kajian dalam bidang sosiologi bagi meneliti nilai, norma dan perubahan dalam masyarakat.

Selain karya-karya tersebut, HAMKA juga menghasilkan novel lain seperti Tuan Direktur dan Ayahku, yang turut memperlihatkan ketajaman pemerhatian beliau terhadap sikap dan struktur sosial masyarakat. Novel-novel ini bukan sekadar bahan bacaan santai, tetapi berperanan mencelikkan minda dan membentuk pemikiran generasi demi generasi.

Apa yang menjadikan karya HAMKA terus relevan adalah keupayaannya mengangkat isu-isu kemanusiaan yang bersifat sejagat seperti cinta, pengorbanan, maruah dan konflik serta nilai yang masih dekat dengan kehidupan masyarakat hari ini. Walaupun dunia semakin moden dan sebahagian adat serta tradisi semakin terhakis, mesej yang dibawa dalam karya-karya HAMKA tetap “hidup” dan mudah difahami oleh pembaca masa kini.

Sehingga hari ini, karya-karya beliau masih dicetak dan diterbitkan semula bagi memastikan legasi pemikiran ini terus dinikmati. Antara penerbit yang giat menerbitkan semula karya HAMKA ialah PTS Media Group, dengan pendekatan reka bentuk kulit buku yang lebih segar dan menarik, khususnya untuk menarik minat generasi muda seperti Gen Z.

Usaha ini membuktikan bahawa karya HAMKA bukan sekadar tinggalan sejarah, tetapi sebuah warisan intelektual yang terus berkembang dan memberi makna merentasi zaman. Sesuai dengan gelaran yang diberikan kepadanya, HAMKA bukan hanya seorang penulis, tetapi pemikir agung yang kekal relevan sepanjang zaman.


Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (198801006125) © 2000 - 2026