Artikel

Kenali Rasulullah dan Personalitinya :Selembut Hati Rasulullah

oleh Hairul Faizal Adli Ab Ghani pada 17 Sep 2013

Kelembutan akan sentiasa mengalahkan kekerasan, dan kasih sayang akan menenggelamkan kebencian. Elemen kelembutan dan kasih sayang adalah senjata terhebat untuk menguasai dunia dan menawan hati para manusia.

Rasulullah s.a.w adalah ikon cinta dan kasih sayang terhebat yang pernah hidup di dunia ini. Hatinya begitu lembut dan dipenuhi dengan sifat kemaafan yang tidak terpalit walaupun sekelumit dendam.

Di Taif, Rasulullah s.a.w pernah dilempari dengan batu sehingga berdarah tubuhnya. Malaikat memohon izin untuk menghancurkan penduduk Taif, namun Rasulullah memberi kemaafan dan mendoakan kebaikan untuk penduduk Taif.

Orang Yahudi yang menyihir baginda juga turut dimaafkan walaupun kesan sihir ini menjadikan Rasulullah sukar untuk bergerak selama enam bulan.

Terdapat 102 himpunan kisah kasih sayang dan kelembutan hati Rasulullah dalam buku Selembut Hati Rasulullah ini. Kisah-kisah ini dikutip dari kitab-kitab hadis yang sahih lagi muktabar untuk kebenaran kisahnya.

Mudah-mudahan kisah kasih sayang dan kelembutan hati Rasulullah ini akan meresap masuk ke dalam hati kita dan bertebaranlah kasih sayang ini ke seluruh alam semesta.

Pastinya Islam lebih utuh dan dikenali dengan agama yang penuh dengan kasih sayang, bukannya agama keganasan yang disalah anggap oleh sebahagian besar penduduk dunia.

 Sekiranya kita masih tercari-cari sebuah buku yang dapat menenangkan hati, mententeramkan jiwa dan menjadi peneman ketika bersedih, maka buku ini perlu segera berada dalam tangan kita.

Himpunan 102 kisah keagungan peribadi Rasulullah dan para sahabat ini akan memberi pengajaran terhebat dalam hidup kita.

 

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024