Artikel
Pak Latip Bincang Buku Hulagu Khan dan Tok Janggut dalam Resensi RTM
oleh Roziyah pada 14 Oct 2010
Novel Sejarah Islam yang semakin mendapat tempat di hati pembaca di Malaysia dibincangkan dalam rancangan bual RTM, Selamat Pagi Malaysia.
Penulis Sejarah Islam paling popular di PTS, Tuan Abdul Latip Talib dijemput menjadi tetamu undangan dalam segmen resensi yang membicarakan mengenai buku-buku menarik di Malaysia.
Tuan Abdul Latip Talib atau lebih dikenali sebagai Pak Latip mengulas lanjut mengenai buku tulisan beliau iaitu Hulagu Khan: Khabar Hitam dari Timur serta novel terbaru tulisan beliau, Tok Janggut.
Program tersebut dikendalikan oleh pengacara dan juga penulis terkemuka, Tuan Ramlee Awang Murshid. Beliau yang teruja dengan hasil tangan Pak Latip menganggap karya tulisan pak latip lain daripada yang lain kerana mengangkat sejarah dalam bentuk novel.
Peminat Pak Latip juga berpeluang mendengar pengalaman Pak Latip dalam menghasilkan novel sejarah Islam yang semakin mendapat tempat di hati pembaca.
Ini merupakan penampilan pertama Pak Latip dalam rancangan bual bicara di RTM1. Siaran langsung program tersebut diadakan kira-kira jam 8 pagi tadi.
Melalui program resensi buku ini, penonton dapat mengetahui buku-buku terbaik yang dihasilkan oleh penulis terbaik di Malaysia.
Abdul Latip Talib, penulis kelahiran Negeri Sembilan ini mencipta nama di persada sastera tanah air apabila menghasilkan novel sejarah pertama di Malaysia. Antara novel hasil tulisan beliau adalah pahlawan Islam Salahudin Ayubi, Khalid Walid, Ikramah Abu Jahal, dan Tariq Ziyad yang diterbitkan oleh PTS Litera Sdn. Bhd.