Artikel

Kertas Cadangan Buku.

oleh Helmi pada 07 May 2004

Kertas Cadangan Buku.

Apabila menyebut proposal ataupun kertas kerja cadangan - ramai yang menyangka mereka perlu menulisnya melebihi 20 halaman. Ini adalah mitos dalam dunia penerbitan

Apabila menyebut proposal ataupun kertas kerja cadangan - ramai yang menyangka mereka perlu menulisnya melebihi 20 halaman.

Pandangan ini adalah mitos semata-mata. Kami hanya inginkan kertas kerja ringkas yang menceritakan gambaran kasar berkenaan buku. Ini bagi membolehkan kami mendapatkan idea berkenaan buku tersebut. Buku anda mesti dipersembahkan kepada masyarakat dengan pakej yang sesuai. Pakej ini ditentukan melalui perancangan di pihak pemasaran dan juga jualan.

Kertas kerja cadangan yang baik akan membantu kami dalam membuat perancangan untuk buku anda.

Apa yang perlu ada dalam kertas cadangan penulis?

  1. Judul buku
  2. Ringkasan buku
  3. Rangka kandungan
  4. Analisis pasaran
  5. Persaingan
  6. Promosi
  7. Faedah buku kepada pembaca
  8. Penyerahan manuskrip
  9. Bab contoh

Judul buku

Judul utama seharusnya tidak lebih daripada lima patah perkataan. Untuk penerangan lanjut kepada judul utama, bolehlah ditambah judul kecil. Judul mudah difahami dan gunakan perkataan yang positif. Judul juga dapat memberi gambaran berkaitan buku tersebut ke dalam minda pembeli dan seterusnya memotivasikan dia untuk membeli.
Ringkasan buku

  * Sediakan ringkasan buku
  * Anggaran muka surat buku ini apabila jadi buku
  * Adakah buku ini mempunyai sebarang ilustrasi, gambar atau rajah?
  * Bagaimana perancangan penulis untuk menulis?
  * Kenapa penulis adalah orang yang terbaik untuk menulis buku tersebut?

Rangka kandungan

Rangka kandungan boleh dipersembahakan dalam bentuk seperti ‘Kandungan’ dalam buku sebenar. Bentuk ‘kandungan’ lebih ringkas dan padat. Masukkan tajuk bab, sub-tajuk peringkat 1 dan 2, dan juga ringkasan yang berkaitan.
Analisis pasaran

Analisis pasaran sebenarnya cuba menjangka siapakah yang mahu membaca buku ini. Apakah taraf pendidikan mereka dan julat pendapatan.

  * Siapakah yang akan membeli dan membaca buku ini?
  * Berapa ramai yang memerlukan buku ini?
  * Di mana boleh dipasarkan buku ini?
  * Mengapa pembaca mahu membaca buku ini?

Persaingan (jika mempunyai maklumat)

Jika buku yang mencakup topik buku anda sudah ada dipasaran. Kami ingin tahu apakah kelebihan buku anda. Apakah yang menyebabkan pembaca merasa mereka dapat nilai yang lebih membeli buku ini.

  * Berapa banyak buku di pasaran yang sama dengan buku yang bakal ditulis? (senaraikan 3-6 judul)
  * Bagaimanakah jualan buku-buku tersebut?
  * Apakah kelebihan buku ini jika dibandingkan dengan buku lain yang sedia ada?

Cadangan bagi mempromosikan buku ini

Apakah yang penulis boleh lakukan bagi membantu menjual buku ini. Contohnya,

  * Sekiranya penulis seorang penceramah ataupun jurulatih, berapa banyak ceramah ataupun bengkel dalam setahun yang penulis kendalikan dan berapa banyak buku dapat dijual.
  * Sekiranya penulis mengenali individu atau pertubuhan yang dapat membantu menjual buku ini, sila senaraikan.
  * Sekiranya penulis seorang pensyarah dan mengajar subjek yang berkaitan dengan buku yang ditulis, berapa ramai pelajar dalam satu semester yang akan beli buku tersebut.
  * Penulis mungkin mempunyai idea-idea menarik bagaimana hendak meningkatkan jualan buku ini. Contohnya mengadakan peraduan yang berkaitan dan mempengaruhi syarikat-syarikat besar membeli buku ini sebagai hadiah kepada pekerja ataupun pelanggan.

Sila nyatakan dalam kertas cadangan anda juga bagaimana cara terbaik PTS hendak memasarkan buku ini.
Penyerahan Manuskrip

Sila berikan jadual penulisan dan tarikh akhir manuskrip dapat diserah kepada Penerbit. Kami akan mengambil kira musim penerbitan untuk jenis karya anda itu. Setiap kategori produk ada musimnya yang mana permintaannya lebih tinggi dari biasa.
Satu bab contoh

Apabila buku sudah mula ditulis sila sertakan satu bab contoh lebih kurang 20 hingga 30 muka surat dan langkau dua baris. Ia diperlukan untuk tujuan penilaian.
Biodata Penulis

Biodata penulis ini diperlukan bagi membantu PTS membuat perancangan masa hadapan untuk seseorang penulis. Ada kalanya kami mempunyai konsep buku, tetapi tiada penulis. Biasanya kami akan merujuk kepada biodata penulis, untuk mencari penulis yang pakar dalam sesuatu bidang itu. Biodata anda juga membantu kami dalam merancang tajuk-tajuk baru yang boleh anda tulis.

Kedua, ada juga kalanya kami menerima jemputan memberikan ceramah untuk sesuatu penulis. Kami perlu maklumat lengkap anda untuk disampaikan (dengan kebenaran anda dahulu) kepada pihak penganjur.
Tidak tahu atau tidak cukup maklumat?

Jika anda tidak mempunyai cukup maklumat untuk mana-mana soalan diatas - tinggalkan sahaja ruangan itu supaya kosong. Kami akan cuba membuat kajian bersama untuk mencari maklumat yang belum dijumpai itu. Yang penting adalah kertas cadangan anda dihantar kepada kami.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024