Artikel
Perjanjian Penerbitan.
oleh Helmi pada 07 May 2004
PTS berpendapat yang praktis lama mengikat karya penulis sepanjang hayat tidak adil kepada penulis. Jika penerbit tidak dapat menjual karya dengan jumlah yang memuaskan, penulis sepatutnya dibenarkan untuk menerbit karyanya dengan penerbit lain.
Perjanjian penerbitan yang digunakan oleh PTS adalah perjanjian yang dibuat antara PTS Publications & Distributors Sdn Bhd, sebagai penerbit dan pemegang hak cipta. Perjanjian ini mengambil kira beberapa faktor terutamanya dari segi hak penulis, hak penerbit dan kebajikan kedua-dua pihak.
Perjanjian yang digunakan adalah agak standard didalam industri penerbitan buku di negara ini. Antara lain perjanjian ini menggariskan hak pengarang sebagai pemegang hak cipta, hak PTS sebagai pemegang hak menerbit, kadar royalti dan tanggungjawab setiap pihak dalam projek penerbitan.
Perjanjian penerbitan yang digunakan oleh PTS ditambahkan dengan beberapa klausa tambahan. Klausa-klausa yang ditambah berkenaan adalah seperti berikut;
Yang perjanjian ini dikaji semula setiap tiga tahun
PTS berpendapat yang praktis lama mengikat karya penulis sepanjang hayat tidak adil kepada penulis. Jika penerbit tidak dapat menjual karya dengan jumlah yang memuaskan, penulis sepatutnya dibenarkan untuk menerbit karyanya dengan penerbit lain. Dengan beberapa syarat tertentu untuk menjaga kepentingan penerbit asal.
Selain itu, perkembangan pesat dalam teknologi dan medium penerbitan memerlukan perjanjian penerbitan yang fleksibel. Penerbit mungkin menjual karya penulis dalam pelbagai medium yang sesuai. Cara lama mengira royalti dan manafaat penulis cara lama tentu tidak sesuai untuk medium baru. Oleh itu, kami mencadangkan yang kita mengkaji perjanjian setiap 3 tahun supaya sesuai mengikut perkembangan industri.
Yang para penulis mempunyai hak menarik semula hak penerbitan.
Namun begitu para penulis perlu membuat permohonan kepada PTS sebagai penerbit dan memberikan peluang bagi menjual buku selama dua tahun daripada tarikh ulang cetak terakhir.
Perjanjian penerbitan ini dihantar kepada penulis bersama dengan pruf untuk penulis. Para penulis perlu membaca dan menandatangani setiap halaman muka surat perjanjian tersebut dan juga di bahagian belakang perjanjian ini.
Pembahagian royalti juga perlu dinyatakan jika buku tersebut mempunyai lebih daripada seorang penulis. Peratusan dibayar kepada setiap satu pengarang (untuk karya bersama) mesti diletakkan dengan jelas dan ditandatangani oleh semua penulis.
Perjanjian sebenar boleh dilihat oleh pengarang yang berminat untuk menerbit bersama PTS. Sila hubungi pengurus projek untuk melihat perjanjian penerbitan anda.