Kisah Hentakan Kaki Nabi Ismail Mengeluarkan Air Zam-Zam Sebenarnya Palsu

oleh Asri Yussof pada 14 Jun 2016

fullsizerender

“Ke sana ke sini, lari-lari kecil… Bagai Siti Hajar, mencari air… Terpancur sinar di kering pasir… Bekas hentakan kudus kaki Ismail…”

Siapa yang tidak pernah lihat (atau dengar) lirik lagu ini, sila lakukan carian di Google dengan kata kunci ‘Raikan Cinta’.

Lagu ini adalah salah satu daripada puluhan lagu (malah ratusan) yang dipopularkan oleh sifu industri muzik tanah air, Dato’ M. Nasir. Dan, fokus utama kita dalam entri ini adalah petikan lirik seperti yang tertulis di atas.

Jelas sekali, lirik itu menceritakan tentang sejarah. Bagaimana Siti Hajar dan Nabi Ismail AS (yang ketika itu masih lagi bayi), ditinggalkan ketua keluarga mereka, Nabi Ibrahim AS.

Sudahlah ditinggalkan tanpa diberitahu sebabnya, lembahnya pula hanyalah sekadar ditemani sebatang pokok buat berteduh.

Nah, di sinilah dikatakan permulaan sejarah terpancurnya air zamzam. Hasil dari hentakan kaki Nabi Ismail AS yang merengek kehausan akibat kehausan.

Lekas-lekaslah Siti Hajar menyusui anaknya itu, sebelum beliau sendiri membasahkan tekaknya.

Itulah sejarah telaga zamzam yang diperdengarkan kepada masyarakat sehingga kini.

Tetapi, benarkah sebegitu cerita asalnya?

Dikisahkan dalam Sahih al-Bukhari secara jelas daripada hadis Ibnu Abbas,

Ketika Nabi Ismail a.s. dan Hajar berada di puncak bukit Marwah, mereka terdengar satu suara. Lalu Hajar berkata dalam hatinya, “Diamlah.” Hajar maksudnya “Diamlah” itu adalah dirinya sendiri. Kemudian dia berusaha mendengarkannya dan dia dapat mendengar suara itu lagi. Dia berkata, “Kamu memperdengarkan suara kamu jikalau kamu bermaksud memberikan bantuan.

Ternyata suara itu adalah suara Malaikat Jibrail a.s. yang dekat dengan tapak punca air zamzam. Lantas Malaikat Jibrail a.s menguis kawasan itu dengan sayapnya sehingga air keluar memancar. Akhirnya, Hajar dapat minum air dan menyususkan anaknya, Nabi Ismail a.s. kembali.

Kemudian Malaikat Jibrail a.s. berkata kepadanya:

Janganlah kamu takut ditinggalkan. Ini adalah rumah Allah yang akan dibangunkan oleh anak ini dan ayahnya. Sesungguhnya Allah tidak akan mensia-siakan hambanya-Nya.

(Sahih Bukhari, no.3113)

(Secara ringkasnya) selepas Siti Hajar berlari bagi mencari air, beliau berhenti di atas bukit Marwah.

Ketika itu, beliau mendengar satu suara. Seraya berkata: “Aku sudah mendengar, apakah disitu ada pertolongan?”

Apa yang dilihat oleh Siti Hajar adalah, susuk Malaikat Jibril AS sedang mengais tanah dengan kakinya (atau sayapnya seperti dalam hadis yang lain) dan dipukul di atas tempat itu. Kemudian, keluarlah darinya pancaran air.

Huuraian hadis, dan kisah sebenarnya mengenai air zamzam, adalah seperti yang terkandung dalam kitab Al-Bidayah wa An-Nihayah karangan Ibnu Kathir.

Maka jelaslah disini bahawa air zam-zam bukanlah berasal daripada bekas hentakan kaki Nabi Ismail AS.

Tetapi, ia terhasil dari kuisan dan hentakan sayap (atau kaki) Malaikat Jibril AS.

Seharusnya, masyarakat secara umumnya, dan para pendakwah khususnya, perlu mengkaji semula status-status hadis sebelum disebarkan.

Mahu tahu apa lagi hadis yang masyhur tetapi sebenarnya palsu, silakan membaca buku tulisan Mustafar Mohd Suki,

bertajuk 40 Kisah Palsu Tetapi Masyhur Yang Disandarkan Pada Agama.

 Pasti akan terbuka mata kerana hadis-hadis yang biasa kita dengar, sebenarnya palsu!