Artikel
Komik: Fenomena Baru Dunia Melayu
oleh Roziyah pada 08 Aug 2011
Oleh: Wan Zuhairi Wan Zainuddin (Pengurus Penerbitan PTS Pop Sdn Bhd)
Setiap kali menjelang Ramadan, pelbagai persiapan dan acara sambutan diadakan bagi menyambut bulan mulia penuh keberkatan yang muncul setahun sekali ini. Gedung-gedung membeli belah mula membuat jualan istimewa barangan raya. Stesyen televisyen dan radio mula mempromosi pelbagai iklan dan program berkaitan puasa serta raya. Pelbagai jenis media sama ada bercetak, elektronik dan online melebihkan segala-galanya demi memaksimumkan kemeriahan Ramadan.
Penerbit-penerbit buku dan majalah juga tidak ketinggalan dalam hal ini. Buku-buku berkaitan ibadah, khususnya puasa diberi keutamaan dalam pasaran. Majalah-majalah juga diterbitkan dengan edisi bumper yang lebih banyak istimewanya berbanding isu-isu biasa. Begitulah meriahnya sambutan bulan yang penuh keistimewaan dalam masyarakat kita. Semua pihak berlumba-lumba memanfaatkan kehadiran ramadan dan syawal daripada segenap sudut serta penjuru.
Komik juga tidak ketinggalan memeriahkan bulan penuh keberkatan ini. Penerbit-penerbit majalah komik saban tahun menerbitkan edisi bumper istimewa sempena Ramadan dan Syawal. Membaca majalah komik bumper sewaktu berpuasa bukan suatu perkara asing. Bagi kanak-kanak, remaja mahupun dewasa, ia mampu meringankan tekanan dan keletihan ketika berpuasa. Isi kandungannya yang santai dan berjenaka, namun tetap mengandungi teguran serta nasihat menjadikannya lebih akrab pada pembaca.
Apabila Syawal menjelang, majalah komik bumper ini bagaikan satu bahan bacaan yang menyempurnakan sambutan hari lebaran. Sanak saudara yang berkumpul di rumah, saling berkongsi membacanya beramai-ramai menambahkan lagi kemeriahan Syawal. Tetamu yang berkunjung juga dapat membacanya sebagai selingan dalam aktiviti berziarah.
PTS dalam kempen Baca@Ramadan, turut menerbitkan komik berkaitan Ramadan dan Syawal. Judul-judul seperti Kad Raya Dari Syurga, Baju Raya Dari Syurga dan Duit Raya Dari Syurga adalah antara komik yang diterbitkan. Dengan label 'antologi komik pembangun jiwa', komik-komik ini menampilkan konsep himpunan komik-komik pendek bertemakan kisah puasa dan raya. Pelbagai kisah lucu, sedih, aksi, fantasi, misteri dan sebagainya diadun menjadi hidangan buku yang sesuai dijadikan santapan jiwa pada bulan puasa dan raya. Lebih menarik lagi, komik-komik ini dimeriahkan lagi dengan penampilan penulis-penulis hebat PTS seperti Bahruddin Bekri dan Farihah Iskandar.
Selain komik antologi, PTS juga menerbitkan komik raya yang menggabungkan watak-watak komik terbitan Komik-M di bawah siri Komik-M Raya. Watak-watak komik terkenal seperti Dear Yayah, Ultra Qalif, Kecemprengman, Orang Kuat, Meon dan banyak lagi dihimpunkan dalam satu buku. Para pembaca dapat membaca kisah-kisah menarik watak-watak ini menempuhi bulan Ramadan dan Syawal dengan pelbagai aksi dan ragam. Pada tahun ini, Komik-M Raya lebih unik dengan kisah para adiwara Komik-M berpadu tenaga menyelesaikan masalah yang melanda PTS. Ia diberi judul Misi Menyelamatkan Puan Ainon.
Melalui penerbitan komik-komik istimewa sebegini, PTS cuba membawa tradisi baru dalam suasana raya masyarakat di Malaysia. Tradisi memberi duit raya yang dipraktikkan setiap tahun, mungkin dapat kita tukar kepada tradisi memberi komik raya. Harga Komik-M yang berpatutan sesuai menjadi ganti duit raya. Malah, barangkali ia mampu menjadikan bajet duit raya tuan-tuan dan puan-puan lebih jimat serta ekonomi. Tambahan pula, isi kandungan Komik-M yang lebih bermanfaat dijadikan hadiah kepada kanak-kanak serta sanak saudara. Secara tidak langsung ia turut memupuk semangat cintakan buku, bahasa dan minat membaca di kalangan anak-anak.