Artikel
Novelis ke Penulisan Skrip Ubah Industri Filem Tempatan
oleh Roziyah pada 08 Aug 2011
Tinggal di luar negara selama beberapa tahun membenihkan ilham kepada penulis ini dalam menghasilkan karya yang nyata berbeza dengan penulis lain. Melalui latar suasana serta kehidupan negara luar yang jauh berbeza dengan Malaysia membawa kelainan kepada beliau dalam menghasilkan novel Islami.
Tuan Ilham Hamdani, penulis yang sudah mencipta nama dalam penulisan novel tempatan. Hakikatnya, menerapkan latar suasana luar negara yang jauh berbeza dengan latar tempatan sekaligus membawa pembaca mengembara ke negara yang diceritakan.
"Ini adalah kemampuan penulis dalam menghidupkan latar dalam diri pembaca. Penulis sendiri harus kreatif dalam menyampaikan latar suasana yang asing kepada pembaca supaya pembaca dapat mendalami karya yang dihasilkan," jelas Tuan Ilham Hamdani.
Beliau yang baru kembali ke tanah air kini sedang merancang kembali aktif dalam bidang penulisan dengan menghasilkan lebih banyak genry kepada pembaca.
Tuan Ilham Hamdani juga kini juga melebarkan sayap penulisannya dengan cuba menghasilkan skrip televisyen dan filem.
"Hakikatnya negara kita kekurangan skrip yang baik. Kita sendiri perlu membawa apa yang kita mahukan dalam industri dengan menulis skrip yang baik. Melaluinya kita dapat membawa adaptasi novel dengan baik ke layar televisyen," ujar Tuan Ilham lagi.
Beliau mengakui elemen yang wujud dalam novel tidak sepenuhnya dibawa ke dalam drama atau filem yang dihasilkan. Namun, penulis novel perlu menjadi pencetus kepada penghasilan skrip yang baik dan memberi manfaat kepada pembaca.
"Ini adalah pengorbanan penulis awal bagi meralisasikan penghasilan novel dalam bentuk filem dan drama. Lama kelamaan adaptasi ini akan diterima masyarakat terutamanya penggiat filem tempatan. Mungkin dengan hadirnya penulis novel yang menghasilkan skrip dapat mengubah industri filem tempatan," jelas beliau lanjut.